Riuh rendah pasal Zaid Ibrahim. Geger dibuatnya.
Ada mengatakan beliau tidak wajar tinggal di Kelantan lagi. Jadi ke mana?
Beliau tidak hairan kerana ada rumah di Kuala Lumpur dan di Australia.
Zaid banyak duit, dia tidak hairan!
Menurut Berita Harian, selain meminta maaf kepada seluruh umat Melayu, kalangan pakar dan pejuang Melayu mahu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mengatakan konsep ketuanan Melayu gagal di negara ini diberi pendidikan politik.
Selain itu, mereka juga menggesa Zaid keluar dari Kelantan dan Malaysia yang ditadbir raja-raja Melayu seiring konsep ketuanan Melayu yang diamalkan di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata semua pihak mesti menerima dan mengakui hak ketuanan Melayu yang termaktub dalam sejarah negara sejak dulu lagi.
Tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bukan saja menolak hakikat sejarah tetapi juga boleh menimbulkan masalah di kalangan masyarakat majmuk di negara ini, katanya.
Katanya, bekas pemimpin Umno itu mesti sedar bahawa beliau tidak boleh menyentuh dan menyinggung perasaan orang Melayu kerana ia akan menimbulkan masalah lain.
“Oleh itu, adalah wajar beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mengakui apa yang dinyatakan sebelum ini melukai dan menyentuh perasaan orang Melayu kerana itu adalah yang terbaik kerana hakikat sejarah tidak sepatutnya dipertikaikan sesiapa pun,” katanya.
Zaid dalam ucapannya pada persidangan LawAsia di Kuala Lumpur minggu lalu, berkata konsep itu juga menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar negara.
Ketua Umum, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, berkata kenyataan Zaid menunjukkan beliau seorang yang bukan saja tidak berjiwa Melayu tetapi sanggup menghina bangsanya sendiri, dan keadaan itu adalah lebih jahat daripada tindakan penjajah.
“Kami mengutuk keras kenyataannya itu dan akan menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu,” katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Zaid itu sebagai keterlaluan.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata menyatakan ketuanan Melayu sebagai konsep yang gagal adalah juga penafian kepada sumbangan institusi kesultanan dan politik Melayu selama ini.
“Entah kenapa pandangan sedemikian seperti ‘dengungan’ pandangan liberal parti pembangkang yang terdesak mempamerkan wajah ’sama rata’ hingga sanggup mengorbankan kepentingan bangsa,” katanya.
Pejuang Bahasa Melayu, Prof Datuk Dr Zainal Kling, berkata kenyataan Zaid menunjukkan kejahilannya terhadap perjuangan bangsanya sendiri.
Justeru, katanya, Umno perlu memberi pemimpin seperti Zaid pendidikan politik supaya faham sejarah dan fakta sebenar kerana perkara yang berhubung kait dengan hak istimewa dan konsep ketuanan Melayu sudah digariskan dalam perlembagaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment