Tuesday, July 28, 2009

KAJI KEIKHLASAN PAS HULUR 'TANGAN' KEPADA KERAJAAN PUSAT

NURHANANI ABDULLAH, Bandar Baru Bangi, Selangor
Utusan Online

SEBAIK sahaja membaca laporan berita mengenai kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 'menghulurkan tangan' kepada Kerajaan Pusat, timbul tandatanya sejauh mana pemimpin itu ikhlas berbuat demikian.

Benarkah pemimpin yang terkenal dengan pendirian menjadikan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO 'musuh ketat' benar-benar serius atau sekadar menanam tebu di tepi bibir?

Sejarah menunjukkan Mursyidul Am Pas itu tidak pernah sebulu jauh sekali bersedia untuk bekerjasama dengan BN atau Pas.

Idea kerajaan perpaduan ditolak mentah-mentah oleh pemimpin itu lantaran BN atau UMNO disimpulkan bergelumang dengan dosa dan tidak layak bersama parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu.

Lebih daripada itu, UMNO disamakan dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis kerana kononnya parti itu menolak Islam.

Seolah-olah tidak ada satu pun dasar yang diperkenalkan kerajaan BN yang tonggak utamanya adalah UMNO bercirikan Islam.

Belajar daripada sejarah penolakan sebarang bentuk kerjasama Pas-UMNO oleh Nik Abdul Aziz, mendorong keyakinan bahawa kenyataan terbaru beliau pasti akan ada susulan negatif.

Dan ia terbukti benar hari ini. Di sebalik reaksi positif kalangan barisan pemimpin BN, Menteri Besar Kelantan itu menempelak UMNO. ''UMNO pergi jahanamlah''. Kata-kata sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa keluar dari mulut pemimpin Pas itu. Ayat-ayat lebih teruk daripada itu pun pernah dilontarkan oleh Mursyidul Am Pas tanpa ada rasa bersalah jauh sekali mahu meminta maaf.

Sebab itu apabila ada 'salam Pas untuk Kerajaan Pusat', sepatutnya tidak perlu ada reaksi positif atau mengalu-alukan kenyataan yang tidak diketahui paras keikhlasannya.

Barisan pemimpin kerajaan BN sepatutnya mengambil sikap 'biarkan, tunggu dan lihat'. Perlu juga dikaji apa sebenarnya motif tersembunyi di sebalik cubaan berbaik-baik itu sedangkan selamanya pemimpin Pas itu tidak pernah mementingkan semangat kerjasama dengan UMNO atau BN.

Sebelum Nik Abdul Aziz menghulurkan salam, beliau ada menekankan tentang perbezaan ideologi politik antara Pas dan UMNO terutamanya semasa pilihan raya kecil DUN Manek Urai hanya kerana 'pilihan raya'.

Tetapi hari ini nada Nik Abdul Aziz berbeza. Kesanggupannya bekerjasama dengan kerajaan BN kerana Perlembagaan menetapkan dasar Federalisme. Di bawah dasar itu, kerajaan BN mesti membantu membangunkan kerajaan negeri Kelantan.

Ini kerana, menurut Menteri Besar Kelantan itu, dasar Federalisme meletakkan beban dan tanggungjawab kepada Kerajaan Persekutuan membantu kerajaan negeri. Satu fakta yang tidak disentuh Nik Abdul Aziz adalah UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan BN. Paling penting pemimpin yang menerajui Kerajaan Persekutuan dari dulu sehingga kini adalah dari UMNO.

Mengapa tatkala mahu menjalin kerjasama semata-mata untuk mendapatkan ehsan kerajaan Pusat untuk membawa kemajuan kepada Kelantan, Menteri Besar itu mengetepikan fakta-fakta penting itu?

Mengapa untuk mendapat habuan berkepentingan sendiri, fakta UMNO berada dalam BN dipinggirkan? Bukankah BN itu mewakili UMNO, MCA, MIC dan parti komponen lain yang tidak pernah diterima oleh Pas?

Pemimpin BN perlu belajar daripada insiden seperti ini yang ulang tayangnya bukan sekali malah berkali-kali.

Kaji dulu keikhlasan Pas sebelum menyambut salam yang dihulur. Lihat dulu sama ada tangan yang menghulur itu bersih atau bersalut dengan 'agenda negatif' yang tidak perlu menunggu lama untuk disaksikan kebenarannya.

SOKONG TUN ABDULLAH SERTAI PAS

Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sudah menyatakan mahu menyertai PAS ke?

Kalau tidak jangan nak laga-lagakan orang UMNO.
Apa mainan pemimpin PAS dan akhbar Sinar Harian ini. Ada agenda ke Sinar Harian?

Daripada Sinar Harian

Penyertaan Tun Abdullah Ahmad Badawi ke dalam Pas amat dialu-alukan kerana pendapat bekas Perdana Menteri sering sekata dengan parti itu, kata Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, antara pendapat yang paling jelas ialah cadangan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dilihat sudah tidak relevan seperti yang diperjuangkan Pas selama ini.

“Pas tiada masalah untuk terima Pak Lah. Jika beliau sertai kita, beliau bebas kemukakan pelbagai pendapat dan pandangan dan kita akan berbincang jika pendapat dan pandangan itu bersesuaian.

“Tetapi berlainan jika Pak Lah kekal dengan UMNO, sudah tentu beliau hanya boleh bercakap, tapi tidak boleh bertindak dan ini terbukti selepas beliau tidak miliki apa-apa jawatan dalam politik,” katanya ketika mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu pada Progr:am Pemansuha:n ISA anjuran Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, kelmarin yang menyarankan Abdullah keluar darti UMNO dan menyertai parti itu.

Mohamad berkata, walaupun sudah pencen daripada jawatan kerajaan kata-katanya masih berbisa dan menjadi tamparan hebat pada UMNO dan BN apabila turut menyuarakan ketidak setujuan terhadap akta zalim itu.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, Pas tiada masalah untuk menerima sesiapa saja yang berminat menyertai Pas, malah katanya, terdapat beberapa tokoh dari parti UMNO dan BN itu mempamerkan minat menyertai Pas.

“Cuma, masanya belum sesuai mereka berbuat demikian dan apa yang saya tahu faktor utama tokoh berkenaan berminat sertai Pas kerana perjuangan yang ditampilkan Pas dan juga kepimpinan bersih tanpa rasuah dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Dewan Ulama Pas Pusat menyambut baik sekiranya Abdullah memilih Pas untuk meneruskan perjuangan politik.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, Abdullah adalah pemimpin yang jujur berbanding pemimpin lain dalam UMNO.

“Sememangnya beliau layak duduk bersama di tempat yang banyak memperjuangkan Islam dan Pas parti tepat untuk beliau sertai.

Ditanya kedudukan Abdullah yang dilihat tidak memiliki sebarang kuasa kerana setiap pendapat yang diutarakan ditolak kepimpinan sekarang, Nik Muhammad Zawawi berkata: “Pak Lah mesti membuat keputusan tepat sekiranya beliau mahu perjuangan Islamnya sampai kepada rakyat.”