Sunday, December 28, 2008

ERDOGAN + KLON vs ULAMA

Oleh Hambali Abdul Latiff (hambali1.blogspot.com)

Sambil minum pagi di Rusila Coffee House, Hotel Primula, pagi ini (Ahad lalu) saya bersembang dengan beberapa kawan wartawan dan orang politik.

Tajuknya adalah siapa lawan siapa. Atau lebih jelas, siapa akan berdepan dengan Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, 28 November lepas.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Razali selaku penyandang, menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini sentiasa menjadi medan tempur tradisi antara BN (UMNO) dan PAS, dengan kedua belah pihak sentiasa melayannya penuh cermat dan berhati-hati.

Jawatankuasa PAS Pusat hari ini mengadakan mesyuarat untuk menentukan bakal calon. Selepas nama calon dipilih, PAS akan serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persoalannya, sejauh manakah berkuasanya Majlis Syura itu atau apakah nama itu perlu dipersetujui oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga kebetulan pemimpin PAS di Terengganu?

Hadi sudah menyatakan, walau apa sumber – termasuk blog- bagi menilai calon yang akan dikemukakan, akan diberikan perhatian dan pandangan.
Bagi saya, walau siapa juga yang dipilih menjadi calon PAS, rasa tidak puas hati dan pertelingkahan akan berlaku!

Kenapa saya katakan demikian?

Perhatikan, siapa yang mempengaruhi Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menonjolkan nama Mohamad Sabu (Mat Sabu) awal-awal lagi.

Kenapa Nik Aziz membuat cadangan terlalu awal sehinggakan PAS Terengganu terpaksa ‘membuka pencak bersilat’ (berdiplomasi) dalam menimbang cadangan Nik Aziz itu.

Tidakkan kumpulan ‘Erdogan’ dan klon yang mempengaruhi Nik Aziz supaya cepat-cepat menonjolkan calon pilihan mereka?

Ada pendapat daripada kalangan PAS sendiri mengatakan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di belakang tindakan ‘melatah’ Nik Aziz itu.

Husam diketahui harapan dan plan besarnya – menjadi Presiden PAS dan jika calon tajaannya dipersetujui, dia akan berhabis-habisan kempen. Jika tidak, jawapnya pandai-pandailah PAS Terengganu.

Walaupun sukar, PAS Terengganu jelas sekali awal-awal lagi menolak Mat Sabu yang dicadangkan oleh Nik Aziz itu. Ada tiga calon ditonjolkan iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Wan Mutalib Embong muka baru, Mohd Khazani Abdullah, seorang ahli perniagaan dan anak didik Harun Taib.

Walaupun Mohd Khazani dilihat termasuk dalam kumpulan Erdogan, dia masih boleh diterima oleh kumpulan ulama PAS.

Maknanya, Terengganu ada calonnya sendiri dan tidak payahlah ambil orang luar untuk bertanding. Dengan kedudukan itu pintu tertutup rapat untuk Mat Sabu.

Namun nama Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi, turut diapung-apungkan selepas nama Mat Sabu makin lesap.

Syed Azman dikenali rapat dengan Husam dan ia adalah antara ahli ‘Erdogan’.

Hadi menyembunyikan sesuatu apabila berkata ketokohan seseorang pemimpin itu penting memandangkan pilihan raya kecil itu diadakan di sebuah bandar raya, dengan kemudahan infrastruktur bukan menjadi masalah kepada pengundi.

Ia hanya sebagai ‘menutup api dalam sekam’ yang sedang membakar PAS gara-gara tekanan puak Erdogan berkenaan.

Kerana itu diminta mengulas pandangan Nik Aziz yang terus-terusan berharap Naib Presiden parti itu, Mohamad Sabu dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya kecil itu, Hadi berkata setiap PAS negeri mempunyai pandangan mereka sendiri.

"Kita dengar semua pandangan. Sebagai presiden, saya tidak mempunyai halangan jika Mohamad Sabu dicalonkan. Tetapi, akhirnya keputusan dibuat oleh suara majoriti," katanya.

Daripada penjelasan Hadi itu, ternyata bahawa Hadi mengelak daripada bertelingkah secara terus dan terbuka dengan Nik Aziz. Ini menggambarkan suasana tidak sihat dalam PAS ketika ini kerana kedua-dua puak – Erdogan + Klon sedang berperang dengan puak ulama Terengganu yang berusaha menonjolkan calon mereka.

Yang menariknya, kumpulan Erdogan kini benar-benar berharap Syed Azman diterima selepas usaha menonjolkan Mat Sabu tidak berjaya.

Sementara kumpulan yang lagi satu – diketuai oleh Hadi – berharap calon mereka sama ada Mustapa atau setidak-tidaknya Khazani akan menjadi pilihan.

Tarik tali dan perbezaan pendapat ini sudah pasti tidak menguntungkan PAS dan akan menjadikan usaha BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan menjadi lebih mudah!

Hakikatnya, Kuala Terengganu bukanlah kerusi yang selamat sama ada bagi BN atau pembangkang. Ia berubah tangan beberapa kali. BN menang pada 1986, 1990, 2004 dan 2008, tetapi Parti Melayu Semangat 46 memenangi kerusi itu pada 1995 manakala PAS pula menang pada 1999.

Pada pilihan raya umum tahun ini, PKR dan PAS sama-sama mengutip 33,729 undi bagi empat kerusi di Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Kuala Terengganu atau 1,795 undi lebih daripada kerusi Parlimen yang ditandingi calon Mohd Sabu.

Ini bermakna BN memperoleh 50 peratus daripada undi Parlimen dan 48.3 peratus daripada undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Walaupun PR hanya memenangi 49 peratus daripada undi persekutuan bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, ia menguasai pertandingan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan yang sama dengan memenangi 51.7 peratus.

Apapun, menurut sumber PAS, sehingga pagi ini, calon yang dijangka menentang Wan Farid ialah Mustapa dan kalau ada perubahan yang dibuat, maknanya PAS Terengganu terpaksa mengalah kepada tuntutan pihak-pihak Erdogan dan Klon yang dilihat semakin berpengaruh dalam PAS.

Dalam konteks UMNO dan BN, mereka sebenarnya jelas tidak mengharapkan PAS bertelingkah kerana calon mereka – Wan Farid – diterima oleh semua pihak dalam BN dan semua 103 cawangan UMNO dalam Bahagian UMNO Kuala Terengganu.

Setiap ahli UMNO di Kuala Terengganu mahu melihat ‘bos’ mereka yang kini sudah masuk penggal kedua sebagai Ketua Bahagian dipilih sebagai calon Parlimen bagi meneruskan kerja-kerja dan khidmat untuk rakyat seperti ditunjukkan oleh Allahyarham Razali sebelum ini.

Pada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Markas Tarbiyah Pas Kuala Terengganu semalam mengatakan PAS sudah mengenal pasti seorang profesional sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Bagaimanapun namanya hanya akan diumumkan 1 Januari ini.

Dengan tempoh masa seminggu lagi, apa-apa sahaja boleh berlaku.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata, calon pilihan Pas itu mempunyai ketokohan dan lebih berkelayakan untuk menang berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Kita sudah ada calon... dalam poket saya. Insya-Allah... tunggu 1 Januari depan.
Beliau seorang profesional dan berjiwa rakyat,” kata Hadi?

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.

Ditanya adakah calon yang dipilih itu dari kalangan anak Terengganu atau Mat Sabu seperti yang dicadangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau berkata, perkara itu akan diketahui 1 Januari ini.

Hadi boleh kata apa sahaja, tetapi hakikatnya Wan Farid adalah peguam dan sudah memasuki penggal kedua sebagai Ketua Bahagian. Jangan lupa, beliau juga adalah Timbalan Menteri.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Wan Farid pasti dapat memberikan sepenuh tumpuan untuk memastikan kemenangan parti.

Beliau berkata, pemilihan tersebut juga akan mengelakkan timbul sebarang masalah dalaman parti sepanjang kempen berlangsung.

"Parti yakin sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya. Sekiranya calon bukan ketua bahagian, ia agak sukar sedikit untuk memberikan kerjasama dengan parti," katanya.

Juga penting, calon BN akan menyambung legasi yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Usaha gigih terutama dalam memajukan bidang pendidikan di Terengganu yang dilakukan bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu memerlukan kesinambungan oleh pengganti yang benar-benar ingin merubah masa depan penduduk di situ.

“Allahyarham telah meninggalkan nama baik di Kuala Terengganu, dengan memberi penekanan bagi memajukan modal insan di Kuala Terengganu. Cintanya kepada bidang pendidikan amat mendalam.

“Pantang bagi beliau sekiranya ada anak-anak di sini yang gagal masuk universiti kerana tidak ada wang. Allahyarham sering cakap kepada saya, hidupnya didedikasikan kepada bidang pendidikan,” Wan Farid.

Apapun, isu paling ketara sebelum ini iaitu PAS Terengganu mahukan calon tempatan tetap diperkatakan.

Malah, persoalan lebih besar ialah apakah PAS mampu mendinginkan pertentangan antara kumpulan Erdodan + Klon melawan kumpulan ulama khususnya di Terengganu.

Pertelingkahan ini sebenarnya turut memberikan kesan kepada kerjasama mereka dengan komponen Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia bukan sekadar pemilihan calon tetapi akan terbawa-bawa sehingga kempen.

Sudah pasti dalam kempen PAS dan usaha merampas kerusi ini daripada BN, akan ada perbuatan ‘main belakang’, sabotaj dan ‘cas keting’.

Jika kita ingat kembali, siapa bermati-matian di Permatang Pauh? Mereka adalah kumpulan Erdogan + Klon, khususnya Datuk Husam Musa. Malah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup bertongkat pada hari penamaan calon.

Di mana pula kumpulan ulama ketika itu?

Ini bermakna kemungkinan tetap ada bahawa PKR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan ‘memboikot’ PAS jika kumpulan ulama berjaya mempengaruhi Majlis Syura PAS untuk meletakkan calon bukan Erdogan.

Jadi di Kuala Terengganu ini, berdasarkan kriteria yang diumumkan itu Hadi itu, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kini terkeluar daripada senarai calon.

Memang persefahaman cuba ditunjukkan oleh PAS melalui pertemuan-pertemuan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Anwar. Namun, Anwar jelas lebih selesa dengan kumpulan Husam + Nik Aziz.

Bagaimanapun, rasanya jika Mat Sabu tetap dipilih menjadi calon, ini juga akan menggugat kehadiran Anwar untuk berkempen.

Kenapa?

Semuanya gara-gara “Al Juburi”. Mat Sabu pernah menggelarkan Anwar “Al Juburi” dan semua orang PAS dan UMNO dengar dan tahu panggilan Mat Sabu terhadap Anwar.

Mungkin sekarang Mat Sabu tidak lagi menggunakan gelaran itu tetapi mungkin meninggalkan kesan mendalam terhadap Anwar, apalagi gelaran itu sepopular “Mahazalim” dan “Mahafiraun” terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipopularkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan PAS.

Apa pun sebelum ini Mat Sabu tetap menaruh harapan beliau akan terpilih apabila, Nik Aziz berharap parti itu terus mengekalkan Mat Sabu sebagai calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Mursyidul Am PAS yakin Mat Sabu yang juga Naib Presiden Pas itu mampu membawa kemenangan kepada parti. Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.

Mat Sabu, calon yang kalah dalam pilihan raya umum lalu bagi kerusi berkenaan berkata pada 11 Disember lalu , beliau akan tetap memberi sokongan kepada siapa sahaja calon yang dipilih parti itu untuk bertanding pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Dan kini selepas nama Mat Sabu semakin tenggelam, nama lain kumpulan Erdogan + Klon ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Nawawi, bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu sepenggal (1999-2004).

Syed Azman memang dianggap antara intelektual PAS tetapi PAS Terengganu melihat contribution kepada parti dalam konteks Terengganu agak terbatas, lebih-lebih lagi dengan kuatnya pengaruh kumpulan ulama di negeri berkenaan, berbanding kuatnya pengaruh Erdogan + Klon di Kelantan.

(Saya akan membandingkan PAS Terengganu dan Kelantan dalam posting akan datang)

Bagi kumpulan ulama di Terengganu, mereka mempunyai calon yang dianggap paling sesuai, iaitu Datuk Mustapa Ali dan Wan Mutalib Embong.

Seorang lagi calon ialah kombinasi “Erdogan + Ulama’ ialah tetapi dekat paling dekat dengan kriteria disebut Hadi semalam ialah seorang ahli perniagaan yang juga bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Khazani Abdullah.

Kalau mengikut Mohd Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com) PAS ada dua nama sahaja, iaitu selain Mustafa Ali ialah Dr Khazani. Inilah dua nama yang sedang dipertimbangkan oleh Pas Terengganu. Perhatian sekarang ini kepada dua nama ini sahaja, itu kata Sayuti.

Saya sebenarnya lebih merasakan Dr Khazani akan terpilih walaupun Sayuti lebih memilih Mustafa.

Bagi Mat Sabu:"Saya akan tetap sokong siapa jua calon yang dipilih oleh parti," katanya mengulas mengenai kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani yang mahukan bakal calon PAS terdiri daripada anak tempatan.

Mat Sabu sebagai veteran PAS berkata perkara tersebut biasa berlaku dalam parti dan sesiapa sahaja boleh mengemukakan pandangan dalam isu berkenaan.

KE MANA HALUAN S MANIKAVASAGAM?

Keputusan keluar Parti Keadilan Rakyat adalah muktamad! Tetapi haluan mana yang dituju oleh Ahli Parlimen Kapar ini?

Keputusan ini memang satu tindakan yang keras dan sudah membuat keputusan muktamad.

Ia dianggap sebagai hadiah tahun baru kepada PKR. Kata Manikavasagam: “...kali ini, saya sudah buat keputusan dan tidak bercakap dengan mereka (Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang lain). Saya tidak mahu bercakap dengan mereka, saya sudah membuat keputusan muktamad saya.”

Jelas sekali Manikavasagam sudah berkerat rotan dan bakal mengumumkan pendirian secara rasmi untuk keluar dari PKR sebelum Rabu ini. “Keputusan ini memang satu tindakan yang keras dan sudah membuat keputusan muktamad. Ia akan menjadi hadiah tahun baru kepada parti,” kata Manikavasagam.

Manikavasagam, 43, juga merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan salah seorang daripada tiga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor memenangi kerusi Parlimen Kapar pada 8 Mac lalu menewaskan penyandangnya, yang juga Ketua Wanita MIC, Komala Devi Perumal dengan majoriti 12,297 undi.

Manikavasagam, adalah antara antara pemimpin lantang bersuara dalam PKR, mengakui beliau pernah menyatakan hasrat untuk keluar parti dan meletakkan jawatan sebelum ini tetapi telah dipujuk oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.

“Tetapi kali ini, saya sudah buat keputusan dan tidak bercakap dengan mereka (Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang lain). “Saya tidak mahu bercakap dengan mereka, saya sudah membuat keputusan muktamad saya,” kata beliau.

Dua hari lalu, Manikavasagam melahirkan hasrat untuk keluar PKR dan mahu menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat. Menurutnya, pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga didakwa tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka, selain segelintir berlagak sombong serta enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap isu yang diketengahkan. Manikavasagam menambah, beliau sudah kecewa dengan perkembangan sejak sembilan yang lalu.

“Saya sudah kecewa. Pengundi-pengundi saya tahu saya bekerja untuk mereka, saya tidak mahu ditipu lagi selepas mengalami nasib yang sama selama 50 tahun yang lalu,” katanya.

“Selain tidak mendapat sokongan daripada pemimpin PKR sendiri, wakil rakyat PKR juga dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat khususnya DAP.

Kata Manikavasagam lagi, apabila dikritik oleh pemimpin parti komponen, tiada pemimpin PKR yang tampil mempertahankan beliau dan wakil-wakil rakyat yang lain. Dalam penjelasan itu, Manikavasagam secara langsung merujuk kepada kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Teng Chang Khim, yang didakwa menuduhnya berlagak seperti pembangkang dan pembohong kerana terbabit dalam bantahan pemindahan stesen bas dan kereta sewa dari pusat bandar Klang ke lokasi baru, di Klang Sentral, Kapar.

Dua bulan lalu Manikavasagam juga pernah mengugut akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri jika kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Sebelum ini, Manikavasagam mencetuskan kontroversi apabila mengkritik secara terbuka dan menuduh Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR Negeri, Tan Sri Abdul Khalid sebagai tidak prihatin kerana tidak turun padang melawat mangsa ribut Oktober lalu.