Wednesday, October 28, 2009

TEORI DOMINO LANDA PKR

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK (mStar)

NAMPAKNYA momentum teori domino dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kian memuncak apabila satu demi satu pemimpinnya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu.

Perkembangan terkini yang berlaku benar-benar menyerlahkan keadaan sebenar kepincangan yang meledak terutamanya dari aspek kepimpinannya.

Tak ubah seperti permainan domino, bila satu tiang itu dijatuhkan, maka jangkitannya bukan satu atau dua, sebaliknya implikasinya akan menyerang secara berantai.

Pergolakan yang berlaku dalam PKR semakin ketara bermula dengan pengumuman 'cuti politik' oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim selama enam bulan berkuatkuasa serta merta selepas Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan menghalangnya daripada menghadiri program parti itu di Sabah.

Malah laporan media sebelum ini juga ada menyebut kononnya hasrat Zaid untuk ke negeri itu tidak direstui oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Bagaimanapun Azmin menafikan mengenai perkara itu dan dakwaan kononnya terdapat pergeseran antara beliau dan Zaid.

Lanjutan isu Zaid yang mendakwa beliau dihalang daripada menghadiri program parti itu di Sabah, timbul pula isu konflik kepimpinan yang melanda PKR Sabah yang pada ketika itu diterajui oleh Azmin sebagai Pengerusi PKR negeri.

Kepimpinan Azmin dikatakan ditolak oleh pemimpin negeri itu yang mahukan anak tempatan menerajui PKR Sabah.

Menyedari kesan yang bakal berlaku jika perkara ini berlarutan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera membuat rombakan bagi jawatan pengerusi PKR negeri termasuk Sabah dan Sarawak yang sebelum ini dipegang oleh pemimpin dari Semenanjung.

Bagaimanapun kekalutan yang berlaku bukan sekadar 'ribut dalam cawan', apabila Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan anggota majlis tertinggi dan biro politik.

Tindakan Dr Jeffrey jelas sekali memberi satu tamparan hebat kepada PKR dalam usaha mereka untuk mengukuhkan kedudukannya di Sabah.

Adalah dipercayai majoriti ketua-ketua bahagian termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin dinamakan sebagai pengerusi PKR negeri minggu lepas selepas sekumpulan ketua-ketua bahagian melahirkan rasa tidak percaya terhadap Naib Presiden PKR Azmin Ali menerajui PKR negeri.

Nampak permainan domino ini tidak terhenti begitu sahaja kerana dalam masa kurang 24 jam selepas Dr Jeffrey mengumumkan pendiriannya semalam, Ketua Bahagian Kota Kinabalu Christina Liew pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti hari ini.

Liew bagaimanapun berkata beliau kekal sebagai anggota parti dan mengekalkan jawatan ketua bahagian Kota Kinabalu.

Liew sebenarnya kecewa kerana selama ini beliau percaya yang parti itu adalah adil dan telus sehingga kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi PKR Sabah diambil alih oleh Datuk Kong Hong Ming atas sebab yang tidak diketahui.

Belum sempat isu Dr Jeffrey diselesaikan, timbul pula isu Liew.

Perkembangan ini semestinya memberi tamparan hebat kepada PKR kerana pengaruh kedua-dua pemimpin berkenaan terutamanya di peringkat akar umbi cukup kuat.

Tambahan pula Dr Jeffrey tidak menolak kemungkinan menyertai semula Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai abangnya Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Jika Dr Jeffrey mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN), tidak mustahil beberapa ketua bahagian PKR yang lain serta penyokongnya akan mengikut jejak langkahnya.