Wednesday, November 18, 2015

PAS Kepala Batas Umum Tarik Diri Pegang Jawatan Dalam JKKK


Tindakan PAS Kepala Batas menarik diri daripada memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Parlimen berkenaan,  berkuat kuasa serta-merta menjelaskan lagi betapa krisis DAP-PAS kian memuncak.

Keputusan itu dibuat setelah meneliti beberapa sebab, antaranya PAS bukan lagi dalam kepimpinan kerajaan Pulau Pinang selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan Pulau Pinang sebagai Kerajaan Pakatan Harapan.

Penarikan diri itu juga dilakukan demi menjaga maruah ahli daripada terus dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana bekerja dengan pimpinan negeri yang berterusan menunjukkan sikap negatif terhadap kepimpinan tertinggi PAS.

Yang DiPertuanya, Bukhori Ghazali berkata Lim juga  dengan sesuka hati mengambil tindakan tidak sewajarnya terhadap rakan yang selama ini beralah dalam banyak perkara.

"PAS tidak sewajarnya dilihat masih melukut di tepi gantang, mana mungkin JKKK dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang PAS bertanding boleh berkhidmat di bawah DAP yang memantau dan menyelaras segala urusan JKKK, dan pada masa sama meminta pimpinan PAS kawasan menolak kepimpinan ulama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kepala Batas, malam tadi.

Bagaimanapun, Bukhori berkata PAS sebagai gerakan dakwah dan siasah tidak menolak perlunya hubungan baik dengan sesiapa sahaja terutama rakyat Pulau Pinang yang tidak bersalah dalam hal itu.

"PAS tetap komited memberi sumbangan kepada masyarakat walaupun tidak melalui saluran pemerintahan seperti yang telah dilakukan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-12," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pendirian PAS Kepala Batas terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man, Bukhori berkata sehingga kini PAS kawasan itu belum membuat sebarang keputusan .

"Bagaimanapun kami menghormati keputusan yang dibuat PAS Permatang Pauh," katanya.

Ahad lepas (15 November), PAS Kawasan Permatang Pauh mengumumkan keputusan memutus hubungan dengan Salleh Man berikutan kenyataannya yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata PAS kawasan itu membuat keputusan tersebut pada mesyuaratnya pada Isnin lepas.

Katanya, pendirian PAS pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Dalam kenyataan pada 2 November, Salleh Man mengumumkan pendirian menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Lim.

Omar yang juga timbalan Yang Dipertua 2 PAS Pulau Pinang, berkata keputusan itu yang mendapat persetujuan PAS negeri, akan dimaklumkan kepada PAS pusat.


Reaksi kepada keputusan itu,  Mohd Salleh berkata beliau akan terus berkhidmat untuk kerajaan Pulau Pinang dan penduduk kawasan berkenaan sebagai ADUN mewakili PAS.

Mohd Salleh berkata beliau tetap akan terus bersama PAS, malah merupakan anggota seumur hidup parti itu.

Ditanya mengenai pendirian PAS pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, Mohd Salleh berkata: "Itu pendirian mereka. Saya tak boleh nak komen. Saya sebagai ADUN Permatang Pasir dan akan terus berkhidmat untuk rakyat Permatang Pasir".

Beliau berkata sehingga sekarang, hubungannya dengan PAS negeri dan pusat masih baik.

Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan sebagai anggota PAS, Mohd Salleh berkata: "Isu itu tidak pernah timbul. Saya tegaskan sekali lagi, saya tetap dengan PAS untuk selama-lamanya".