"... sama ada menerima atau menolak tawaran itu, ia bergantung kepada portfolio yang dinyatakan dalam surat terbabit. Mungkin juga semua yang hadir raptai pada hari ini, tidak hadir esok (majlis angkat sumpah).." - Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul
Apa dah jadi ni? Apakah majlis angkat sumpah pelantikan Exco esok akan ditangguh dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan berdepan 'tuntutan' letak jawatan?
Amat jelas kerajaan pakatan pembangkang Kedah yang diketuai PAS kini sedang bergolak hebat.
Malah, yang hadir pada raptai hari ini pun belum dijamin akan menerima tawaran daripada Menteri Besar itu.
Mereka yang hadir pada raptai hari ini terdiri daripada Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Agama, Pelajaran dan Koperasi), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan) serta Abd Ghani Ahmad (Penerangan dan Pembangunan Usahawan).
Turut hadir ialah dua Exco dari PKR iaitu Lim Soo Nee (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia) dan Tan Chow Kang (Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan).
Mereka adalah penyandang jawatan, yang disebut-sebut akan dilantik semula bagi penggal 2012 menghadiri majlis raptai yang diadakan di Istana Anak Bukit pagi ini.
Kemelut politik di Kedah menyebabkan PAS Pusat terpaksa campur tangan dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang berhadapan dengan kemelut berkaitan pelantikan anggota Exco.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub akan ke Kedah esok bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco berkenaan.
Mustafa tetap menafikan berlaku cubaan menggulingkan Menteri Besar, namun tidak menolak berlaku perbezaan pendapat bagi menangani isu-isu tertentu dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah.
Pada pertemuan 17 Februari itu, Presiden parti telah dimaklumkan dengan isu yang berlaku dalam pentadbiran negeri dan Menteri Besar juga telah beri jaminan kepada Presiden, semua Exco yang berkhidmat akan dikekalkan. Namun berikutan beberapa perkembangan terkini hanya lapan anggota Exco kerajaan negeri Kedah akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, esok.
Namun walaupun lima Exco dari PAS hadir hari ini, belum dapat dipastikan sama ada kesemua yang hadir hari ini akan ‘datang kembali’ esok.
Ini kerana setiap daripada mereka mahu melihat dahulu apa jawatan yang ditawarkan untuk mereka.
Baca dengan teliti apa kata Mohamed Taulan pagi ini. Menurutnya, sama ada menerima atau menolak tawaran itu, ia bergantung kepada portfolio yang dinyatakan dalam surat terbabit.
"Mungkin juga semua yang hadir raptai pada hari ini, tidak hadir esok (majlis angkat sumpah)," katanya.
Apakah ini menggambarkan antara Exco itu ada yang sudah menetapkan jawatan yang mereka kehendaki, bukannya bergantung kepada kuasa melantik Menteri Besar?
Tidakkah ini menggambarkan bahawa pemimpin parti PAS sebanarnya bukanlah yang jenis boleh menerima apa sahaja dan redha tetapi mereka jenis ‘menuntut' dan mendesak?
Kedudukan ini pastinya akan menjadikan kerajaan pembangkang di Kedah akan semakin terumbang ambing dan jika ada yang tidak puashati dan menuntut berbagai-bagai, kestabilan kerajaan pimpinan PAS akan membawa kepada keadaan lebih serius.
Mohamed Taulan dikatakan akan mendahului senarai Ahli Exco yang dijadual mengangkat sumpah jawatan esok selepas giliran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan akan diikuti oleh Amiruddin dan Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan dan Kebudayaan, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib.
Lima lagi nama yang turut disebut dalam raptai yang diadakan kira-kira jam 9 pagi tadi ialah Datuk Siti Ashah Ghazali (Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat), Datuk S Manikumar (Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam), Soo Nee, Abd Ghani dan Chow Kang.
Reaksi awal yang daripada kesemua Exco yang menghadiri majlis raptai, dilihat senada apabila menyatakan belum menerima surat tawaran rasmi dan dimaklumkan untuk menghadiri raptai menerusi panggilan telefon.
Amiruddin berkata, beliau belum melihat surat tawaran dan tidak pasti portfolio yang akan ditawarkan kepadanya.
“Setakat ini (pagi ini), saya belum menerima surat, surat kad kredit ," katanya dalam nada berseloroh.
Berseloroh-berselorohlah…tetapi yang nyata, bukan sahaja Azizan sedang diuji tetapi kepimpinan PAS Kedah turut diuji dan segalanya mungkin akan berlaku.
Apakah majlis angkat sumpah PAS esok akan ditangguh dan Azizan ditekan terus untuk melepaskan jawatan?
Apakah kerajaan Kedah yang 'membarah dari dalam' kini benar-benar retak dan menunggu belah?