Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (gambar kiri) berkata, setakat ini pihaknya merampas 17 kenderaan berkenaan sementara baki 46
lagi sedang dikesan termasuk empat lagi dalam siasatan.
Berikutan itu, SPRM menggesa agar pemilik kenderaan
berkenaan segera menyerahkan kenderaan itu dalam tempoh seminggu sebelum notis
dihantar atau mereka berdepan dengan tindakan undang-undang.
SPRM sudah mengenalpasti pemilik kereta berkenaan dan
akan mengesan mereka.
Bercakap pada sidang media di Alor Setar semalam, Ahmad
Khusairi berkata ekoran penahanan membabitkan kakitangan JPJ itu pihaknya turut
mengenalpasti modus operandi sindiket kereta klon itu.
“Ini adalah modus operandi baharu apabila kereta
berkenaan didaftarkan dengan mengunakan dokumen palsu oleh suspek,” katanya.
Utusan Malaysia melaporkan semalam (20 September 2016), kegiatan
licik seorang wanita yang mengaut keuntungan dengan menyalahgunakan sistem
pendaftaran dokumen JPJ terbongkar apabila dia dan suaminya diberkas SPRM.
Suspek berusia 31 tahun yang bertugas sebagai kerani di
bahagian pendaftaran kenderaan JPJ negeri ini ditahan di pejabatnya sebelum
dibawa ke bangunan SPRM kira-kira pukul 9.15 pagi.
Suaminya yang merupakan seorang ejen kereta lusuh dari
Singapura berumur 36 tahun pula ditahan di rumah mereka di Kulim.
Difahamkan, suspek disiasat kerana dipercayai
bersekongkol dengan sindiket kereta klon yang turut dianggotai suaminya untuk
mengubah status lebih 100 kenderaan mewah yang telah dilupuskan di Singapura
agar boleh dijual dengan harga terpakai di negara ini.
Suspek dikatakan menerima komisen RM2,000 hingga RM5,000
bagi setiap kenderaan yang dijual.
Sementara itu, siasatan lanjut yang dijalankan terhadap
kedua-dua suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun di
Kuantan, Pahang kira-kira pukul 2.30 petang berkenaan.
Lelaki itu yang merupakan peniaga dalam talian berperanan
sebagai individu yang membawa masuk dan membekalkan kenderaan kepada pasangan
suami isteri terbabit.
Suspek kini ditahan di pejabat SPRM Pahang.
SPRM juga akan memeriksa kediaman suspek ketiga yang
terletak di Selangor untuk mendapatkan bahan bukti.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, ekoran penahanan
ketiga-tiga suspek tersebut, beberapa individu lain akan ditangkap bagi
melumpuhkan sindiket kereta klon yang aktif beroperasi di negeri ini.
SPRM masih menyiasat peranan mereka dalam sindiket yang
dipercayai aktif menjalankan kegiatan mereka sejak tujuh bulan lalu itu.
“Wanita terbabit disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta
SPRM 2009 manakala suaminya dan seorang lagi suspek disiasat mengikut Seksyen
16 (a)(A) akta sama. Ketiga-tiga mereka akan direman esok pagi di Kedah dan
Pahang,” ujarnya.
Tambah sumber, setakat ini sudah lebih 20 buah kenderaan
mewah antaranya Mini Cooper, Toyota Wish, Toyota Vellfire dan Toyota Estima
yang dipercayai dijual sindiket berkenaan berjaya dirampas dari seluruh
Semenanjung menerusi Op Piang.
Akhbar hari ini melaporkan, seorang kakitangan
agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran kenderaan
bersekongkol dengan sindiket kereta klon bagi mendapat keuntungan
berganda.
Ia dilakukan dengan menipu orang ramai yang menyangka
kenderaan dibeli telah dirampas dan dilucutkan hak oleh Jabatan Kastam Diraja
Malaysia (KDRM).
Hasil perbuatannya yang menyalahgunakan sistem pendaftaran
kenderaan JPJ, suspek bukan sahaja menyebabkan pembeli yang membuat
pinjaman rugi selepas status kenderaan itu terbongkar dan dirampas pihak
berkuasa tetapi tidak dapat membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku
kemalangan.