Thursday, June 25, 2009

ANWAR BUKAN "LEAD" TETAPI "MISLEAD"

anwarisme.blogspot.com

Datuk Seri Anwar Ibrahim terkenal sebagai pemimpin unggul dalam keadaan berpecah belah. Sebab itu beliau muncul sebagai tokoh popular pada 1970-an apabila wujud siri-siri demontrasi.

Kebolehan beliau untuk mempengaruhi kawan dan lawan serta bercakap mengikut khalayak merupakan satu kelebihan luar biasa.

Justeru cadangan agar UMNO memohon maaf kepada PAS merupakan agenda Anwar untuk menukar kedudukan. Jika sebelum ini Pakatan rakyat dilihat “defensive” dan teraba-raba dalam mencari posisi lantaran idea kerajaan perpaduan PAS, hari ini Anwar menukar posisi itu.

Dengan menyatakan UMNO perlu meminta maaf kepada PAS dahulu tentulah ini bermakna beliau menukar kedudukan PAS dan Pakatan Rakyat. Sekarang ini bola dikaki UMNO pula.

Jika dulu PAS perlu membuat keputusan sama ada mahu duduk berbincang dengan UMNO atau tidak, hari ini Anwar cuba menukar kedudukan tersebut kepada UMNO.

Dengan meminta UMNO memohon maaf kepada PAS dahulu, Anwar cuba menarik sokongan PAS dan juga memberi dilema kepada UMNO. Beliau tahu sebagai parti politik dan parti pemerintah, UMNO tidak mungkin memohon maaf kerana implikasi undang-undang dan politik.

Adakah UMNO bersedia memohon maaf kepada PAS demi perpaduan Melayu dan Islam? Jika demikian apakah PAS juga bersedia memohon maaf kerana mengkafirkan UMNO, memecah belahkan rumah tangga, masjid dan perpaduan Islam atas nama agama? Semua ini akan dibangkitkan semula dan akhirnya tiada perbincangan antara UMNO dan PAS.

Dari segi politik, tindakan Anwar ini amat bijak. Ini memang pun kebolehan Anwar sejak dahulu lagi. Anwar tahu secara politik dan perundangan, UMNO tidak akan meminta maaf. Ini kerana dengan meminta maaf, UMNO perlu juga menyatakan kesalahan-kesalahannya.

Tentulah UMNO sebagai sebuah organisasi dan juga parti pemerintah sejak 1957 tidak boleh memohon maaf sewenang-wenangya.

Anwar bukan mahu permohonan maaf tersebut. Jika UMNO meminta maaf pun, Anwar akan meminta pula UMNO meneyenaraikan secara terperinci kesalahan-kesalahan UMNO. Pokok utamanya ialah Anwar tidak akan mahu melihat UMNO dan PAS duduk semeja kerana beliau akan hilang pengaruh dan kuasa.

Sejak di dalam UMNO dahulu Anwar tidak pernah mewujudkan jambatan dengan PAS. Ini kerana jika ada jambatan UMNO-PAS kemungkinan besar status quo beliau sebagai harapan kumpulan yang cenderung kepada Islam di negara ini seperti ABIM, PKPIM, JIM dan sebagainya akan hilang.

Anwar di kalangan lingkungan politik elit terkenal sebagai pemimpin yang berupaya mengawal dan menggunakan keadaan perpecahan dan persengketaan untuk mengukuhkan kedudukan beliau.

Beliau tidak berusaha mewujudkan hubungan UMNO - PAS tetapi beliau secara peribadi mewujudkan hubungan dengan pemimpin PAS dan juga NGO Islam.

Dengan ini beliau berjaya memberi satu situasi bahawa harapan orang Islam dan Melayu hanyalah kepada beliau kerana beliau berada di dalam kedudukan yang baik di dalam kerajaan ketika itu.

Beliau mengutuk dan menghentam PAS dalam kempen politik sehingga wujud kebencian di kalangan pengikut bawahan. Namun beliau juga bijak "membeli" pemimpin PAS dan NGO Islam serta Melayu bagi menyokong beliau secara sulit.

Sebab itu kita lihat dalam PAS dahulu hanya Mohd Sabu yang menghentam Anwar. Lain-lain tidak menghentam Anwar keterlaluan kerana mereka melihat Anwar sahaja harapan mereka untuk perjuangan Islam.

Anwar adalah pemimpin yang dinamik dari segi falsafah perjuangan. Beliau menjadi pejuang kemiskinan ketika isu kemiskinan menjadi perbualan rakyat.

Beliau kemudian menyertai UMNO apabila melihat Dr. Mahathir melakukan penerapan nilai-nilai Islam dalam kerajaan dan sekaligus melemahkan UMNO. Anwar tidak menyertai PAS kerana beliau tahu dengan dasar-dasar yang dirangka oleh Dr. mahathir yang baru menjadi Perdana Menteri ketika itu, UMNO akan melebarkan pengaruhnya di kalangan orang Melayu.

Anwar masuk UMNO dan “hijacked” segala dasar-dasar pembaharuan yang dilakukan oleh Dr. Mahathir.

Pada 1987, Anwar antara orang yang merencana keadaan politik kacau bilau dan tidak stabil untuk meraih populariti politik dalam parti dan kerajaan. Akibat dari perencanaan itu Operasi Lalang (1987) dilancarkan dan Anwar yang ketika itu merupakan Menteri Pelajaran meraih populariti terbesar di kalangan orang Melayu.

Isu pendidikan kaum yang menjadi alat mencetuskan ketidakstabilan ketika itu dilakukan oleh Anwar untuk menyelamatkan dirinya sendiri yang berada dalam kem Tun Mahathir menentang kem Tengku Razalegh.

Beliau ketika itu dilihat sebagai punca kemunculan kem Ku Li - Musa dan ada kecenderungan untuk perwakilan UMNO mengenepikannya dalam pemilihan ketika itu.

Pada 1992, Anwar juga mewujudkan anarki dalam media massa dan UMNO untuk meletakkan orangnya. Ketika Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zainuddin Maidin bercuti, konco-konco Anwar mewujudkan polemik anti bahasa Inggeris dengan menghentam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana berucap dan kemudian meminta diwawancara dalam bahasa Inggeris oleh TV Indonesia ketika Persidangan NAM 1992. Konco-konco Anwar mempergunakan anak saudara Mahathir, Samad Mahadi untuk menjatuhkan ZAM.

Melihat kekalutan dalam Utusan Melayu apabila Dr. Mahathir sendiri mengambil inisiatif menjawab tuduhan-tuduhan Utusan, Anwar mengambil kesempatan mengusulkan penukaran pengurusan Utusan.

Dr. Mahathir bersetuju dan Anwar diberi tanggungjawab. Berjayalah Anwar mengubah keadaan dengan membawa masuk lebih ramai konco-konconya ke dalam Utusan ketika itu.

Pada 1997 Anwar sekali lagi mengambil kesempatan dari masalah kewangan dunia dengan meningkatkan kadar faedah. Ini menimbulkan kemarahan ramai orang kepada kerajaan.

Kemarahan ini diikuti dengan "serangan" terhadap Tun Dr. Mahathir dengan isu kronisme, nepotisme melalui proksinya. Anwar juga memprojek diri sebagai pemimpin baru dalam kebangkitan Asia (Asian Rennaisance).

Malangnya Anwar gagal kali ini dan tercampak keluar dari hirarki kepeimpinan negara.

Pada 1998 beliau mula melancarkan mantera baru anti kronisme dan nepotisme. Mantera ini cukup berkesan kepada anak muda yang baru kenal sepak terajang politik. Kepada golongan yang arif politik mereka melihat mantera ini tidak lebih dari meludah ke langit dan tindakan menepuk air di dulang.

Apabila keluar dari penjara, Anwar membawa mantera baru kesamarataan, anti korupsi dan ketelusan. Ini juga mantera abad 21, mantera internet dan mantera baru kapitalis barat.

Anwar tidak akan peduli kepentingan Melayu mahu pun Islam. Melayu dan Islam akan dinyanyikan jika ia membawa faedah kepada beliau.

Hari ini kerana ramai kaum bukan Melayu yang menyokongnya maka beliau menyanyikan lagu-lagu "baru" meninggalkan perjuangan agama dan bangsa yang pernah beliau perkudakan suatu ketika nanti.

Memang benar kata Dr. Mohamad Khir Toyo dalam blognya, bahawa orang Melayu tidak akan bersatu selagi mendengar cakap Anwar.

Anwar adalah pemimpin politik kapitalis yang tulen dan unggul. Beliau boleh menjadi popular walau apapun mantera yang beliau gunakan kerana beliau peka kepada komunikasi semasa.

Dalam konteks ini, Anwar bukan memimpin rakyat tetapi membawa apa yang disukai rakyat biarpun ia mungkin merosakkan rakyat dalam masa akan datang.

Anwar bukan memimpin (lead) tetapi menyesatkan (mislead) masyarakat.