(1 Jun 2018): Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
bersetuju menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) bagi
menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan
anti rasuah di negara ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini
turut mengumumkan, perdana menteri bersetuju melantik bekas Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed
menerajui GIACC.
Menurut kenyataan itu, GIACC akan bertanggungjawab dalam
merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan
kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi
kepada perbuatan rasuah.
Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui Perdana Menteri
adalah memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah
yang terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan
dalam fasa tertentu, katanya.
“Kesemua cadangan penambahbaikan oleh GIACC itu akan
dibentangkan di Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) untuk
diputuskan,” kata Pejabat Perdana Penteri.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, JKKMAR yang bakal
ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan
Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK).
JKKMAR akan berperanan dalam penentuan dasar dan hala
tuju tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini melalui kerangka Pelan
Anti-Rasuah Nasional (NACP) yang bakal digubal, katanya.
“Penubuhan GIACC ini tidak akan menyebabkan berlakunya
pertindihan bidang dan tanggungjawab dengan agensi sedia ada,” menurut
kenyataan itu,
Pejabat Perdana Menteri berkata agensi-agensi tersebut
sebaliknya akan distruktur semula agar lebih efektif atau dibubarkan mengikut
kesesuaian dengan mengambil kira penubuhan GIACC.
Mengenai Abu Kassim yang menerajui GIACC, menurut
kenyataan itu, beliau berpengalaman luas dalam bidang tadbir urus, integriti
dan anti rasuah sama ada di dalam dan luar negara.
Abu Kassim ketika ini turut menganggotai Pasukan Khas
Siasatan 1MDB dan merupakan pakar di International Anti-Corruption Academy,
Austria.