Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan Ketua
Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew hari ini bagi membantu
siasatan berhubung pembelian banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn dan
penjualan tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di Georgetown.
.
Pengarah
Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, Guan Eng dan isteri dijangka memberi
keterangan di pejabat SPRM, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown kira-kira pukul
9.30 pagi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
"Guan Eng
dan isteri akan dirakam percakapan di SPRM Pulau Pinang jam 9.30 pagi
esok," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata
sehingga kini 62 saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung perkara
itu.
Guan Eng |
Sebelum ini
beberapa pihak termasuk Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno Pulau Pinang membuat
laporan kepada SPRM dan meminta pihak berkuasa menyiasat pembelian banglo oleh
Guan Eng yang didakwa di bawah harga pasaran dan urusan jual beli tanah Taman
Manggis, Jalan Zainal Abidin di Georgetown.
Betty |
Pembelian banglo
oleh ketua menteri Pulau Pinang itu menjadi kontroversi apabila Ahli Parlimen
Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan
Dewan Rakyat, Mac lepas.
Shabudin, yang
juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, turut meminta Jabatan
Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian ke atas hartanah berkenaan.
Shabudin turut
meminta SPRM menyiasat penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang
dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat
Termiskin.
Kelmarin (4 Mei), Pejabat
Peguam Negara memutuskan kes terhadap dakwaan penipuan dalam kandungan akuan
berkanun Phang Li Koon, pemilik asal banglo Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan
Eng, ditutup dan tiada tindakan lanjut akan diambil (NFA).
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata keputusan itu dibuat beberapa hari lalu selepas pihak Peguam Negara di Putrajaya meneliti hasil siasatan yang dijalankan pihak polis negeri dan Bukit Aman.
"Pihak pendakwaan sudah memutuskan bahawa kes ini NFA ... jadi kes ini ditutup. Keputusan dibuat dua tiga hari lepas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Georgetown kelmarin.
Polis sebelum ini membuka siasatan terhadap Phang selepas beberapa pihak membuat laporan polis mendakwa akuan berkanun Phang mempunyai maklumat yang kurang tepat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini dilapor berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berkenaan dakwaan penipuan kandungan akuan berkanun itu dan pada 1 April Phang hadir ke Ibu Pejabat Polis Dearah Timur Laut untuk memberi keterangan.
Pembelian banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown oleh Lim dengan harga RM2.8 juta itu mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat, dan mendakwa harga itu adalah di bawah nilai pasaran.
Shabudin dilaporkan berkata, rumah itu dibeli daripada Phang dengan harga RM2.8 juta, sedangkan penilaian bebas menunjukkan nilai semasa banglo terbabit dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta.
Proses jual beli itu juga didakwa mempunyai kaitan dengan penjualan tanah negeri di Taman Manggis yang diperuntukkan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin.
Sehubungan itu pada 22 Mac lepas, Phang membuat akuan berkanun menyatakan bahawa beliau tidak meninjau nilai pasaran sebelum menjual banglo itu kepada Lim pada harga RM2.8 juta, dan wanita berkenaan juga berkata dia tidak mempunyai hubungan perniagaan dengan kerajaan negeri.