"SPRM sepatutnya mengumumkan kajian...Biar kerajaan dan Dr Ahmad Zahid dilihat bertanggungjawab dan telus...yang membuat janji untuk menyiasat perlulah mengotakan janjinya agar kenyataan memerangi rasuahnya berwibawa."
Bagaimana Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor boleh menjawab bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) dalam isu banjir kilat di Kuala Lumpur dan Putrajaya?
Apakah kerana dia menteri maka tugas SPRM pun di bawah
seliaan beliau?
Bukankah secara automatik apabila disebut siasatan
terhadap banjir kilat di Kuala Lumpur, ia melibatkan keseluruhan struktur,
termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, menterinya, timbalan menterinya,
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak-pihak berkepentingan lain?
Bukankah ini bermakna Tengku Adnan boleh dianggap sebagai orang yang ada kaitan dengan siasatan? Apakah Menteri dan kementeriannya terkecuali?
Aneh apabila Tengku Adnan berkata pada 25 Mei lalu, SPRM
tidak menemui sebarang elemen rasuah yang boleh dikaitkan dengan kejadian
banjir kilat di ibu kota baru-baru ini.
Mengenai isu banjir kilat ini, Transparency InternationalMalaysia (TI-M) turut membuat ulasan bahawa banjir kilat yang menenggelamkan
beberapa kawasan di ibu kota itu membuka
mata pelbagai pihak mengenai natijah daripada kepincangan aspek pelaksanaan
andai benar ia terpalit dengan rasuah.
Pegangan bahawa wang berkuasa membuatkan segelintir pihak
'tutup sebelah mata' meskipun segala kekurangan seperti spesifikasi pembinaan,
kualiti dan ketahanan terpampang ketika pemeriksaan akhir terbukti mengundang
padah apabila ratusan rakyat terkandas dalam banjir.
Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata arahan Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai perlunya kajian
hendaklah dilaksana dengan membawa pihak tidak bertanggungjawab tanpa mengenal
pangkat dan darjat kerana mengambil rasuah ke muka pengadilan.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa
Kabinet Mengenai Bencana Alam itu sebagai semboyan memerangi kepincangan
mencatur pembangunan dek rasuah hingga menyusahkan rakyat.
Bukan sahaja di ibu negara, Kuala Lumpur. Di Putrajaya
seminggu sebelum itu, iaitu pada Sabtu 7 Mei, juga berlaku banjir kilat.
Dalam kejadian banjir kilat 12 Mei lepas, hampir 100
kenderaan ditenggelami air di Jalan Tuanku Abdul Halim (dulunya dikenali Jalan
Duta) dan Jalan Bangsar.
Apakah kenyataan Tengku Adnan itu hanya berasaskan kajian DBKL semata-mata yang mendapati banjir kilat di
Jalan Tuanku Abdul Halim adalah kesan daripada kerja pembangunan di kawasan
itu.
Bagi Jalan Pantai Baharu berhampiran Universiti Malaya
(UM), Tengku Adnan berkata kolam pembendungan di UM didapati penuh dengan
lumpur akibat kerja pembangunan di universiti itu, sekali gus tidak mampu
menampung kadar air hujan yang banyak.
Persoalannya apakah SPRM tidak bebas membuat kenyataan sendiri,
sebaliknya mesti menteri yang membuatnya?
Juga aneh, sehari sebelum itu, Timbalan Menteri Wilayah
Persekutuan, Datuk J.Loga Bala Mohan berkata, SPRM telah membuat lawatan di
kawasan terlibat dengan banjir kilat yang melanda ibu negara pada 12 Mei lepas.
Katanya, siasatan terperinci perlu dibuat (saya ulangi PERLU DIBUAT) sebelum
sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam elemen
rasuah sehingga mengakibatkan banjir kilat. (apakah ini bermaksud belum siap?)
Loga menjawab celahan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mengenai
kemungkinan banjir kilat itu berlaku kerana terdapat elemen korupsi seperti
yang Dr Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul khas kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, 24 Mei lalu.
Usul berkenaan dibawa oleh Anggota Parlimen Lembah
Pantai, Nurul Izzah Anwar yang antaranya menggesa DBKL bertanggungjawab atas kemusnahan harta benda
terutamanya kenderaan selain mahu langkah efektif diambil bagi menjamin keselamatan
orang ramai ketika banjir kilat.
Aneh, hanya sehari Timbalan Menteri berkenaan menjawab di
Dewan Rakyat yang menggambarkan siasatan sedang dijalankan, Tengku Adnan
mengatakan tiada unsur rasuah pada keesokan harinya.
Kenapa SPRM sendiri tidak mengeluarkan hasil siasatan?
Apakah secepat itu kajian atau siasatan SPRM mengenai isu
banjir ini?
Apakah ini caranya kajian atau siasatan yang dimahukan
oleh Timbalan Perdana Menteri?
Sedangkan laporan Bernama pada 14 Mei, menyebut bahawa Timbalan Perdana
Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib perlu menjalankan siasatan
itu dan menyediakan laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan
susulan diambil.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.
Amat nyata, Timbalan Perdana Menteri mahukan laporan
lengkap dan apakah Tengku Adnan bercakap selepas laporan lengkap dibuat dan
penilaian ke atasnya dilakukan secara menyeluruh?
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, SPRM juga mendapati tiada elemen rasuah
terbabit dalam pemberian kontrak bagikerja saliran dan pembersihan sungai yang
mengakibatkan banjir kilat itu.
“Perkara pertama adalah tiada sebarang eleman rasuah…kami
beri kontrak kepada kontraktor berdasarkan keperluan. Jika kontraktor itu tidak
mencapai piawaian, kami akan tamatkan kontrak,” katanya.
Ditanya sama ada siasatan lanjut akan dilakukan mengenai
insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, Tengku Adnan berkata: “Tak ada apa lagi
yang nak disiasat.”
Kita menyanjung tinggi pendapat TI-M agar penilaian
menyeluruh perlu digerakkan mencakupi setiap rantaian pembinaan iaitu daripada
peringkat pemberian tender kontrak sehingga sesebuah projek menerima sijil
Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Sikap pemberian tender kepada kroni perlu dihindarkan,
sebaliknya syarat kelayakan untuk menerajui pembinaan wajib bersandarkan rekod
kemampuan, selain berwibawa melaksanakan pembangunan tanpa wujud tindakan
mengaut keuntungan lebih dengan mengabaikan mutu bahan, kata TI-M lagi.
Dengan kenyataan Tengku Adnan itu apakah kerajaan sudah memperkemas aspek ketelusan dalam pembinaan
dengan mengadakan pemeriksaan mengejut dan berkala?
Selain itu apakah penilaian projek bukan sekadar
dilakukan selepas ia siap kerana ketika itu luarannya tampak cantik, tetapi
sistem saliran di bawah tanah caca marba?
Kita berharap sangat SPRM sendiri mengumumkan kajian atau
siasatannya agar keresahan dan kemarahan rakyat dapat diredakan. Biar kerajaan dan Dr Ahmad Zahid dilihat bertanggungjawab dan telus.
Kenyataan oleh Tengku Adnan itu bagaikan ‘melepaskan
batuk ditangga’ dan banyak perkara boleh dipersoalkan.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri yang membuat janji
untuk nmenyiasat perlulah mengotakan janjinya agar kenyataan memerangi rasuahnya berwibawa!!!
1 comment:
1. Pertama SU Agong Umno itu bukan menteri sprm
2.Sepatut SPRM yang boleh memberi kata putus samada ada unsur rasuah atau tidak
3. Untuk tentu ada kes atau tidak ia memerlukan siasatan rapi bukan secara ' cowboy'
4. P Ramlee sudah berkata Inilah sendiwara dunia.
5. Sprm pun tak telus dan bebas
6. PM ada terlalu byk kuasa yg membolehkan beliau lantik dan buang jika mahu
7. Peguam Negara mempunyai kuasa ' kun fakun'. Tidak ada negara didunia yg AG menpunyai kuasa seperti ini
8. Selagi sistem demokrasi terpimpin di malaysia masih digunapakai selagi itu rakyat akan tertipu dan dipermainkan.
Akhbar Satar
Post a Comment