Kenapa ulama dan cendikiawan Islam kita berdiam diri
dalam isu 1Malaysia Development Bank (1MDB) dan pendedahan Jabatan Keadilan
(JOA) Amerika Syarikat?
Tidak kiralah dalam bentuk apa – sokong, bangkang atau
berkecuali – sekurang-kurangnya kita tahu di mana kedudukan mereka.
Dengan menyepi, sebaliknya dalam isu ‘kapir harbi’,
menyokong kedudukan Perdana Menteri, kalimah Allah mereka lantang. Bila tiba
isu ekonomi, pengurusan dan kewangan kenapa mereka membisu?
Apa pula peranan institusi mufti kita?
Apakah ulama dan mufti kita hanya mahir berkaitan feqah sahaja?
Apakah ahli Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis Ulamak
parti-parti politik tidak ada yang mahir dalam bidang berkaitan penyelewengan, rasuah dan
permainan ekonomi antarabangsa?
Tertarik dengan pandangan pelajar di Universiti Al
Al-Bayt, Mafraq, Jordan yang mengatakan bahawa
Islam tidak terhad soal ibadah seperti solat, zakat dan puasa tetapi
juga meliputi hal-ehwal kemasyarakatan, politik, ekonomi dan lain-lain.
Menurutnya, Islam itu menyentuh, termasuk rukun
kemasyarakatan, soal politik dan pentadbiran, menolong orang miskin, membela
orang yang dizalimi serta menegah orang yang melakukan kezaliman.
Malah, maksiat itu bukan sahaja berzina, sepasang kekasih
berpegang-tangan dan mendengar muzik-muzik yang tidak sihat. Namun konsep
maksiat yang sebetulnya adalah segala perkara yang dilarang dan ditegah oleh
Allah SWT dan tidak sahaja terhadap pada perkara-perkara di atas tadi.
Maka sekiranya kita memahami konsep maksiat yang sebenar,
kita akan mengetahui bahawa menyalah guna kuasa itu juga maksiat, rasuah itu
juga maksiat serta mencemarkan alam juga adalah maksiat.
Kerana itu dalam isu 1MDB, jelas Islam menolak penyelewengan yang berlaku di dalamnya dan menuntut orang yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan.
Baca seterusnya
pendapat ini:
Penyelewengan 1MDB juga suatu maksiat
Oleh Ahmad Amirul Rashid Roslan (Pelajar Usuluddin Tahun 3, Universiti Al Al-Bayt, Mafraq, Jordan)
“Seorang muslim mempercayai bahawa Islam merupakan sebuah
agama yang menyeluruh sifatnya. Muslim juga maklum Islam tidak terhad soal
ibadah seperti solat, zakat dan puasa tetapi juga meliputi hal-ehwal kemasyarakatan,
politik, ekonomi dan lain-lain.
Hal ini dapat dilihat dalam puluhan ayat Quran mahupun
hadis yang bukan sahaja menyentuh berkaitan amalan ibadah tetapi juga menyentuh
tentang rukun kemasyarakatan, soal politik dan pentadbiran, menolong orang
miskin, membela orang yang dizalimi serta menegah orang yang melakukan
kezaliman.
Islam juga mengajar kita bahawa maksiat itu bukan sahaja
berzina, sepasang kekasih berpegang-tangan dan mendengar muzik-muzik yang tidak
sihat. Namun konsep maksiat yang sebetulnya adalah segala perkara yang dilarang
dan ditegah oleh Allah SWT dan tidak sahaja terhadap pada perkara-perkara di
atas tadi.
Maka sekiranya kita memahami konsep maksiat yang sebenar,
kita akan mengetahui bahawa menyalah guna kuasa itu juga maksiat, rasuah itu
juga maksiat serta mencemarkan alam juga adalah maksiat.
Antara konsep penting dalam agama Islam adalah menyuruh
kepada perkara kebaikan dan mencegah perkara yang mungkar. Maka maksiat
merupakan antara perkara yang mungkar dan wajib dicegah serta dihalang.
Isu-isu bulan ini
Dalam sebulan ini, kita disibukkan dengan isu fatwa kafir
harbi oleh seorang mufti terhadap golongan bukan Islam yang tidak bersetuju
dengan usul RUU 355 yang dibawa oleh Presiden PAS di parlimen.
Fatwa ini sudah tentu menimbulkan kegusaran kebimbangan
dalam kalangan masyrakat bukan Islam, lebih-lebih lagi fatwa ini muncul selang
beberapa hari selepas Negara Islam (IS) memuat-naik video yang menyeru secara
terang-terangan agar membunuh golongan yang menghalang IS.
Fatwa ini kemudiaan menjadi topik perdebatan hangat antara
ahli-ahli politik dan juga antara agamawan yang menyokong dan mengkritik fatwa
ini. Beberapa agamawan yang tidak bersetuju dengan fatwa ini kemudiannya
membuat penjelasan dan pencerahan terhadap isu ini seperti Dr Mohd Asri Zainal
Abidin, Dr Maszlee Malik dan juga Dr Rozaimi Ramlee.
Minggu ini pula, negara kita ribut seketika ekoran
tindakan kerajaan negeri Selangor yang membenarkan penganjuran konsert penyanyi
terkenal antarabangsa, Selena Gomez di Stadium Malawati, Shah Alam.
Penganjuran konsert ini mendapat bantahan daripada
sebahagian NGO dan kumpulan islamis atas beberapa alasan seperti penyanyi
terlalu seksi, mencemar kemuliaan bulan Syawal dan membawa budaya hedonisme
kepada pemuda-pemudi negara kita.
Maka pelbagai kempen bantahan dilakukan bagi mendesak
kerajaan negeri Selangor membatalkan penganjuran konsert ini antaranya
demostrasi dan penyerahan memorandum bantahan oleh Dewan Ulama, Dewan Pemuda
dan Dewan Muslimat PAS Selangor.
Tidak cukup dengan itu, masjid-masjid di Selangor juga
telah diseru untuk melaksanakan Solat Hajat bagi memohon agar konsert tersebut
dibatalkan.
Beberapa hari lepas pula, negara digemparkan pula dengan
pendedahan skandal bernilai billion ringgit melibatkan sebuah syarikat milik
kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Amerika Syarikat.
Skandal ini didalangi oleh beberapa individu besar, antaranya
individu yang disebut sebagai Malaysian Officer 1. Pendedahan ini telah
menimbulkan kemarahan rakyat lebih-lebih apabila wang rakyat yang diseleweng
ini digunakan untuk melangsaikan hutang judi.
Marilah bermuhasabah
Tulisan ini bukankah bertujuan untuk membahaskan dengan
panjang lebar isu-isu di atas. Tulisan ini hanya mahu menimbulkan beberapa
persoalan di sebalik isu ini dan mengajak kita semua untuk bermuhasabah.
Dalam isu fatwa kafir harbi misalnya, kita tidak
bersetuju dengan fatwa ini dan tidak melihat keperluan kepada fatwa ini
lebih-lebih lagi istilah kafir harbi sudah tidak lagi bersesuaian dengan
situasi dunia hari ini.
Namun sehingga ke hari ini, kita masih menanti fatwa yang
dilihat sebagai fatwa yang paling penting dan ditunggu-tunggu buat rakyat
Pahang, iaitu fatwa berkenaan pencemaran yang berlaku disebabkan perlombongan
bauksit.
Pencemaran yang serius ini bukan sahaja mengganggu
ketenteraman dan keselesaan awam, bahkan ianya membawa pula kepada pencemaran
lain seperti pencemaran sungai.
Membuat kerosakan kepada alam sekitar itu juga merupakan
satu perkara maksiat yang ditegah Islam, apatah lagi ianya memberi kesan buruk
kepada manusia, flora dan juga fauna, pasti ianya lebih-lebih lagi ditegah.
Berkenaan isu bantahan konsert, penulis juga tidak
bersetuju dengan konsert ini. Cuma dalam isu ini kita melihat gelagat golongan
islamis ini begitu serius dan konsisten membantah.
Namun dalam masa yang sama, kelompok islamis yang sama
masih lagi bermain tarik-tali dalam isu yang lebih besar dan nasional seperti
isu 1MDB.
Jika kita membandingkan mudarat antara konsert Selena
Gomez dan 1MDB, sudah tentu kesan mudarat yang berlaku akibat skandal 1MDB
lebih berat.
Mudarat 1MDB pastinya akan memberi kesan kepada seluruh
negara dan menjejaskan nama negara di mata dunia, berbanding mudarat hedonism
konsert tersebut hanya terhad sekurang-kurangnya kepada golongan yang
menghadirinya sahaja.
Adalah lebih menarik sekiranya kelompok islamis ini juga
serius dalam isu 1MDB seperti mana keseriusan mereka terhadap bantahan konsert.
Penyelewangan wang rakyat dan salahguna kedudukan juga
merupakan sebahagia daripada kemungkaran yang wajib ditegah, apatah lagi
sekiranya ianya telahpun dibuktikan oleh badan-badan yang berautoriti.
Kesimpulan
Tulisan ini jauh sekali dari bertujuan untuk memburukkan
institusi mufti di negara kita ataupun memperkecilkan sumbangan kelompok Islamis.
Tulisan ini hanyalah mahu mengajak agar institusi mufti
memainkan peranan penting persoalan yang dekat dengan isu-isu penting
masyarakat, seterusnya akan mengangkat martabat institusi mufti sendiri di mata
muslim dan bukan Islam.
Tulisan ini juga mengajak agar kelompok Islamis untuk
tidak bersikap selektif dalam memainkan isu. Islam menyuruh kita untuk mencegah
segala jenis maksiat dan kemungkaran, dariapada sekecil-kecil kemungkaran
sehinggalah ke sebesar-besar.
Sikap selektif ini seterusnya akan menimbulkan salah faham
terhadap Islam serta gagal menonjolkan sebagai agama yang mencakupi seluruh
aspek kehidupan.
Akhir sekali, tulisan ini adalah untuk memberitahu kepada
bukan Islam bahawa Islam bukanlah agama yang sekadar membantah konsert dan
menjadi perisai kepada kezaliman pemerintah akan tetapi Islam adalah agama yang
menyuruh penganutnya mencegah segala perkara yang salah dan mungkar.
Dalam isu 1MDB, jelas Islam menolak penyelewengan yang
berlaku di dalamnya dan menuntut orang yang bersalah dihadapkan ke muka
pengadilan.