Daripada http://hambali1.blogspot.com/
Pada ketika pemimpin pembangkang mengatakan UMNO bergolak dan tidak sehaluan, DAP Pulau Pinang begitu menyerlah dengan masalahnya.
Malah di kalangan penyokong India dalam parti itu ada menggelar Ahli Dewan Undangan DAP di Pulau Pinang sebagai ‘pengkhianat masyarakat India.'
Pertelingkahan Pengerusi DAP dan timbalannya semakin terserlah hari ini dan banyak kemungkinan lain akan berlaku jika kedua-duanya tidak dapat didamaikan.
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy yang terheret dalam perbalahan dengan ketuanya Karpal Singh kerana melabelkan pemimpin veteran itu sebagai “godfather” atau “bapa angkat” akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib.
Berikutan itu, beliau sedia meninggalkan DAP jika diminta berbuat demikian oleh jawatankuasa pusat eksekutif berhubung dakwaan beliau melabelkan pengerusi parti itu, Karpal Singh sebagai ‘godfather’ atau ‘bapa angkat.
Ramasamy menegaskan tidak berniat memperkecilkan mana-mana pemimpin DAP dan tidak bertujuan membidas mereka dengan dengan sebarang kenyataan yang kontroversi.
Ramasamy beliau bersedia berbincang dengan Karpal Singh jika pemimpin veteran itu merasakan dirinya dihina dengan kenyataan berkenaan dan menuntutnya membuat permohonan maaf serta menarik balik kenyataan tersebut.
"Jika perlu, saya boleh mohon maaf. Tetapi, saya juga mesti diberi muka. Saya bukan orang biasa, saya juga mempunyai maruah. Sekiranya parti mahu saya tinggalkan DAP, saya akan tinggalkan,” katanya kepada 1,000 perwakilan pada konvensyen tahunan DAP negeri di Pulau Pinang, hari ini.
"Saya tidak berminat memegang kuasa atau mengejar kedudukan. (Saya katakan ini) kerana ada dakwaan dan komplot (menuduh) saya sedemikian," katanya.
Sebenarnya, isu menggelarkan Karpal yang juga pengerusi DAP sebagai god father bukan segala-galanya sebaliknya Ramasamy dikatakan mempunyai agenda lain dalam parti berkenaan.
Dalam akhbar-akhbar berbahasa Tamil, Ramasamy dipetik sebagai berjanji memberi kerusi kepada calon-calon pilihan raya yang disokongnya. Ramasamy bagaimanapun menafikan beliau membuat kenyataan berkenaan.
Ramasamy yang juga ADUN Perai dilaporkan telah mengumumkan dalam satu majlis baru-baru ini bahawa beliau dan tiga calon wanita India bakal bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.
Ramasamy telah berulang-kali menafikan dakawaan itu seperti yang disiarkan di akhbar berbahasa Tamil dan berkata beliau cuma menyatakan bahawa agihan kerusi adalah preregotif jawatankuasa pusat eksekutif DAP.
Karpal ketika mengulas laporan itu, berkata tidak seharusnya terdapat “panglima perang” dalam DAP tetapi Ramasamy membalas dengan berkata, pernanan “bapa angkat” juga tidak sepatutnya ada dalam DAP.
Karpal yang juga adalah ahli parlimen Bukit Gelugor menegaskan :"Jika laporan (akhbar) salah, ia mesti dibetulkan dengan serta-merta. Itu yang kita sentiasa lakukan atau tidak, kenyataan yang dibuat itu kekal."
Kemelut itu semakin kusut apabila dua lagi ADUN DAP - RSN Rayer (Seri Delima) dan A Thanasekharan (Bagan Dalam) diheret sama dan menuntut permohonan maaf dan penarikan balik daripada Ramasamy kerana keterlanjurannya itu.
Menariknya konvensyen tahunan DAP Pulau Pinang hari ini menjadi medan bagi Karpal Singh bagi membidas timbalan ketua menteri P Ramasamy berhubung kenyataan “godfather” atau “bapa angkatnya”. Pada ucapannya di konvensyen itu, Karpal yang juga adalah pengerusi DAP menuntut Ramasamy untuk memohon maaf atas keceluparannya dan mendesak beliau menjaga akhlaknya serta menghormati sumbangan pemimpin veteran.
"Siapa yang bina DAP? Pemimpin veteran yang membina parti dan jangan sekali-kali lupa pengorbanan pemimpin-pemimpin ini. Parti ini tidak akan berada di kedudukan sekarang tanpa pengorbanan pemimpin-pemimpin veteran dan pemimpin-pemimpin hari ini tidak akan menjadi pemimpin tanpa pengorbanan mereka," katanya.
Bagi Karpal, "Godfather menggambarkan imej kumpulan mafia, DAP tidak pernah bertoleransi dengan mafia," katanya.
Menurut Karpal tindakan Ramasamy menyertai parti itu dan cuba melakukannnya mengikut caranya sendiri adalah salah. "Tiada siapa pun yang boleh menjadi panglima perang dalam DAP, termasuk Ramasamy dengan cuba menamakan nama calon-calon pilihannya," katanya.
Menghangatkan krisis politik di Pulau Pinang itu, kira-kira 200 penyokong Ramasamy berhimpun di luar Hotel Pearl View Butterworth, pagi ini, bagi meluahkan sokongan mereka kepada pemimpin itu.
Kumpulan yang sebahagian besarnya berbangsa India sejak jam 8 pagi tadi, membawa sepanduk dan melaungkan slogan membidas ADUN Seri Delima dan Batu Kawan - RSN Rayer dan A Thanasekharan - kerana menuntut Ramasamy menarik balik kenyataannya mengenai “bapa angkat” dan memohon maaf kepada pengerusi DAP, Karpal Singh.
Kumpulan yang mendakwa diri mereka pengundi di kawasan Nibong Tebal dan Batu Kawan itu, termasuk anggota NGO dari Hindraf dan Makkal Sakhti menjerit "Kami mahu Ramasamy" dan "Rayer adalah pengkhianat masyarakat India".