Monday, October 24, 2016

Subsidi Minyak Masak Kekal – Kenapa Pula Bekalan Berkurangan?


Apakah barangan yang paling dikejar pengguna ketika ini?

Jawapannya minyak masak. Kenapa? Kerana banyak kedai runcit, pasar raya dan pasar besar sedang menghadkan penjualannya.

Ada yang menayangkan papan tanda ‘ dua botok untuk satu keluarga satu hari'.

Berita kekurangan minyak masak yang disubsidi kerajaan ini bukan sahaja berkisar di Malaysia tetapi akhbar-akhbar di Singapura turut melaporkan berita ini.

Kekurangan bekalan mi­nyak masak didapati berlaku di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan keluhan ramai pengguna serta peniaga makanan.

Di beberapa negeri, walaupun subsidi minyak masak belum lagi ditarik balik, tetapi beberapa kesan sudah dapat dilihat.


Dalam sekelip mata, botol dan paket minyak masak bersubsidi, sudah lenyap dari rak-rak di pasar raya di Pulau Pinang.

Ini berikutan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membelinya berikutan pengumuman bahawa harga minyak masak akan meningkat bulan depan ekoran penghapusan subsidi.

Di Kuantan, dilaporkan tiada  masalah bekalan minyak masak berlaku di di daerah itu,  namun isu lain pula timbul iaitu harga yang dibeli oleh peniaga daripada pemborong lebih tinggi daripada biasa.

Seorang pengusaha kedai runcit, Mohamad Hafizul Naim Mu­chlis berkata, untuk satu kotak yang mempunyai 17 peket minyak masak, dia membelinya daripada pemborong dengan harga RM45 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Sehubungan itu, harga satu peket minyak masak akan jadi RM2.63 sen, tetapi saya masih kena jual pada harga RM2.50 yang merupakan harga kawalan.

Mohamad Hafizul...masalah
Beberapa peniaga runcit yang ditemui dalam tinjauan Utusan Malaysia di Kuala Lumpur mendakwa, perkara itu berlaku setelah mereka tidak menerima bekalan daripada pemborong sejak minggu lalu sebaik tersebarnya khabar angin mengenai kemungkinan harga minyak sawit akan naik berikutan penstrukturan semula subsidi.

Ketika ini hanya terdapat minyak masak berasaskan kacang tanah dan jagung sahaja yang tidak melibatkan subsidi kerajaan banyak dijual di kedai-kedai.

Pemborong pula maklumkan yang pesanan akan dihantar awal bulan depan iaitu selepas Deepavali.

Keadaan ini pastinya sukar untuk pekedai untuk maklumkan apa kepada pe­langgan malah ada yang curiga kononnya pekedai engaja menyimpan stok bagi meraih keuntungan apabila harga dinaikkan kelak.

Berikutan itu  peruncit berharap masalah ini dapat di­atasi segera dan pada masa sama tidak ada pemborong yang sengaja menyimpan bekalan.

Kenapa kejadian seperti ini berlaku sedangkan kerajaan sudah memberi jaminan bahawa subsidi tidak akan ditarik balik. Selain itu jaminan turut diberikan menteri dan pegawai KPDNKK sudah memberi jaminan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan subsidi minyak masak tidak akan dimansuhkan seperti yang didakwa persatuan tersebut.
Namun kenapa berlakunya kekurangan minyak di pasaran?

Apakah kerana berita yang melaporkan bahawa minyak masak di seluruh negara dijangka terputus dalam dua minggu akan datang berikutan ramai pengguna akan membeli sebelum harga dinaikkan pada 1 November depan.

Pada 21 Oktober lalu,Sinar Online melaporkan Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, dengan kenaikan minyak masak antara RM0.40 hingga RM1.90, sudah pasti akan berlaku pembelian panik daripada pengguna sama ada orang perseorangan mahupun peniaga.

Chee Meng berkata, keputusan kerajaan untuk mengurangkan subsidi minyak masak akan menyebabkan rakyat jelata terus tertekan setelah harga barang-barang keperluan harian yang lain semakin hari semakin mahal.

Beberapa hari sebelum itu sudah ada khabar angin bahawa harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan depan, berikutan susulan pemansuhan subsidi oleh kerajaan.
  
Kenyataan Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) pada 20 Oktober seperti dipetik Oriental Daily berkata, di bawah program penstabilan minyak masak baharu yang akan mula dilaksanakan November ini, harga 1kg minyak masak peket plastik dinaikkan 40 sen kepada RM2.90, manakala minyak masak botol 5kg naik RM1.90 kepada RM15.25.

Program baharu itu dibahagikan kepada 2 peringkat, di mana peringkat pertama mulai 1 November ini sehingga 31 Disember nanti, manakala peringkat kedua mulai 1 Januari 2017 dan hanya minyak masak peket plastik akan menikmati subsidi kerajaan pada tahun depan.

Untuk peringkat pertama, subsidi minyak masak campuran botol seberat 500g, 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg serta minyak masak sawit tulen botol seberat 500g, 1kg, 2kg dan 3kg, akan dimansuhkan.

Ini bermakna, tanpa harga siling ditetapkan kerajaan, harga minyak masak perlu mengikut apungan pasaran dan ditentukan peniaga.

Minyak masak sawit tulen botol seberat 5kg masih diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini, sebelum ia dihapuskan mulai 1 Januari 2017.

Sebelum ini, pengeluar minyak masak diberikan kebebasan untuk menggunakan subsidi yang diberikan kerajaan, tetapi mulai bulan depan, mereka perlu memperuntukkan 70% subsidi itu untuk menghasilkan minyak masak peket plastik 1kg, baki 30% lagi untuk minyak masak botol 5kg.

Beikutan ini, dikatakan harga makanan yang dijual juga dijangka meningkat.

Menyalahkan peniaga dan orang ramai kerana kurangnya bekalan minyak masak?

Jika demikian, apakah tindakan kerajaan terhadap pembawa dan penyebar berita bahawa kerajaan akan menarik subsidi minyak masak ini?

Kelmarin Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta kementerian tidak hanya menyiasat peniaga yang menyorokkan stok minyak masak daripada terus dijual kepada pembeli di pasaran.

Sebaliknya menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pemeriksaan juga harus dibuat ke atas kilang-kilang pengeluar minyak masak yang dikhuatiri sengaja menyekat bekalan pengedaran minyak masak.

PPIM khuatir ada pembekal yang sengaja mengurangkan jumlah pengedaran minyak masak sehingga bulan depan. Ini membolehkan mereka memperoleh lebih keuntungan berbanding penjualan harga minyak masak dengan harga subsidi asal.

Ketika ini, terdapat 260 pemborong dan pembekal minyak masak di seluruh negara.

PPIM sudah melakukan tinjauan di sesetengah lokasi dan memang didapati kebanyakan premis perniagaan telah kehabisan minyak masak.

Sebelum ini ada nasihat agar orang ramai tidak perlu buat belian panik memandangkan bekalan minyak masak masih mencukupi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, di Kelantan sebanyak 4,800 metrik tan bekalan minyak dibekalkan di negeri ini untuk tempoh sebulan.

Jumlah itu dijamin mencukupi untuk seluruh penduduk di Kelantan dalam tempoh terbabit termasuk pada musim perayaan Deepavali yang akan disambut akhir bulan ini.

Dalam keadaan sebegini, apakah yang akan dilakukan kerajaan?

Kita amat yakin kerajaan tidak akan berdiam diri tetapi lama mana lagi?

Jika semakin lama kerajaan menunggu untuk bertindak, akan semakin besar kepercayaan rakyat memang berita yang dibawa oleh Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia akan menjadi kenyataan.

Lagipun, kerajaan tidak menyebut langsung soal subsidi minyak masak ini akhir-akhir ini sama ada ketika pembentangan Bajet 2017 atau sidang media berkaitan dengannya.

Sedangkan isu ini sedang panas dan kini rakyat menunggu keputusan tindakan kerajaan untuk mengembalikan tawaran yang mencukupi kepada pengguna.

Yang dimahukan rakyat ialah rak-rak minyak masak penuh semula sama ada di kedai runcit, pasar raya atau pasar borong untuk menafi atau menyatakan bahawa berita yang dibawa oleh Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia dan Meoma itu tidak benar sama sekali.


Sebaliknya jika keadaan berubah, apakah rakyat dan pengguna mahu dipersalahkan jika wujud persepsi bahawa memang benar harga minyak masak akan naik bulan depan.