Monday, November 21, 2016

Apa Sudah Jadi Dengan Dengan Penjawat Awam VIP Kita...

Kes rasuah 14 November lalu.
Dengan adanya satu lagi kes rasuah terbaru di kalangan penjawat awam semalam, amat nyata kejadian itu kini tidak lagi menyelubungi ahli politik, sebaliknya lebih kepada mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan dasar untuk rakyat.

Apakah bentuk pentadbiran awam negara atau negeri sekiranya orang yang diamanahkan menjaga kepentingan rakyat dengan mudah mengumpul harta untuk kepentingan diri dan keluarga melalui jalan salah?

Bukan sahaja akan berlaku ketirisan dan kegagalan kepada projek atau program yang dilaksanakan tetapi rakyat pastinya marah kerana apa yang diharapkan mereka tidak akan pernah menjadi kenyataan.

Isu rasuah di kalangan penjawat awam  akhir-akhirnya semakin dilondehkan dan kerajaan sama ada Putrajaya atau negeri, tidak boleh melepaskan tangan dengan hanya amaran dan janji untuk bertindak semata-mata.

Amaran hendaklah diikuti dengan tindakan tegas.


Usaha pencegahan dan penguatkuasaan perlu dilakukan segera dan janji Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad 13 Ogos lalu bagi memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam masa terdekat, semakin menghampiri kejayaan.

Janji beliau ialah penumpuan akan diberikan kepada agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Tansformasi Kerajaan.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan SPRM sedang siasat seorang pengarah agensi Persekutuan yang dikatakan memiliki wang simpanan jutaan ringgit di dalam beberapa akaun bank dipercayai diperoleh hasil kegiatan rasuah.

Kekayaan yang dimiliki seorang pengarah sebuah agensi kerajaan Persekutuan itu dikaitkan dengan  menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

Kes rasuah di kalangan penjawat awam ternyata serius kerana pada 14 November lalu, seorang pe­ngarah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bergelar Datuk ditahan SPRM di Shah Alam, Selangor kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa dan menerima suapan sehingga memiliki wang simpanan berjumlah RM40.6 juta.

Siasatan polis mendapati sebanyak 10 buah kereta mewah dan lima utas jam tangan berjenama bernilai lebih RM3 juta milik tiga suspek termasuk bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bergelar Datuk dirampas oleh SRM.

Kesemua kenderaan dan jam tangan tersebut dirampas untuk siasatan kerana disyaki dibeli daripada hasil suapan dan salah guna kuasa.


Menurut sumber, 10 kereta mewah tersebut adalah dua buah Range Rover dan masing-masing sebuah Bentley, Daimler, Aston Martin, BMW 4 Series, Mini Coo­per, Audi Q5 dan Audi Q3 yang bernilai antara RM150,000 hingga RM700,000 sebuah.

Jam tangan mewah yang dirampas pula adalah dua utas Frank Muller dan Bvlgari serta seutas Rolex yang kesemuanya bernilai RM230,000.

“Jumlah itu tidak termasuk nilai sitaan beberapa akaun bank berjumlah RM40.1 juta yang te­lah dibekukan sebelum ini. Difahamkan, beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik ketiga-tiga suspek yang nilainya masih belum diketahui juga bakal disita.

Ketika ini SPRM masih mengumpul bukti dan beberapa saksi juga sedang dikesan untuk diambil keterangan.

Tiga hari sebelum itu iaitu pada 11 November pula,  seorang pengurus besar sebuah syarikat GLC berusia 56 tahun yang memiliki sembilan buah rumah bernilai RM8 juta yang dipercayai dibeli secara tunai, empat buah kereta mewah termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi dan wang simpanan berjumlah RM2.5 juta ditahan SPRM di Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa juga kerana menerima suapan.

Pada Oktober lalu pula, SPRM mencatat sejarah tang­­kapan dan rampasan terbesar apabila 22 pegawai kanan termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah ditahan berhubung penyelewengan dana projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion. Hampir RM60 juta wang tunai dirampas dalam operasi tersebut selain aset dan akaun yang dirampas serta dibekukan.

Apakah dengan kes besar seperti ini SPRM berpuas hati dan akan selepas ini akan berdiam diri daripada memperbetulkan perjalanan pentadbiran kerajaan dan agensinya demi kepentingan rakyat?

Dzulkifli sudah memberi jaminan bahawa pihaknya tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah.

Baginya, golongan yang tiada maruah diri inilah yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang serong.

Di samping itu, peranan pegawai integriti akan diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan. Ini akan mengurangkan ketirisan dan terus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang lebih memberangsangkan.

Kerana itu dalam kes terbaru membabitkan pengarah sebuah agensi kerajaan Persekutuan yang berusia 59 tahun, SPRM tidak akan membenarkan kejadian mengumpul harta-harta yang dilakukan sejak menyandang jawatan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Dilaporkan,  wang tersebut adalah hasil daripada aktiviti ra­suah yang diperoleh daripada kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk menjalankan projek-projek di bawah seliaannya.

“Bagi mendapatkan projek bernilai jutaan ringgit tersebut, kontraktor-kontraktor yang dilantik juga disyaki telah memberikan wang suapan di antara puluhan dan ratusan ribu kepada suspek.

“SPRM mula memantau suspek tersebut sejurus menerima maklumat berhubung pemilikan kekayaan luar biasa yang tidak setara dengan jawatan yang dipegangnya baru-baru ini,” katanya sumber yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Malah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki sduah  mengesahkan perkara tersebut.

Hasilnya? Tangkapan terhadap suspek akan dibuat da­lam masa terdekat bagi membantu siasatan.