Wednesday, June 21, 2017

Bekas Pengarah KEMAS Selangor DiDakwa Guna Wang Hasil Aktiviti Haram


Bekas pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selangor, Mohd Adnan Md Daud dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam kelmarin (19 Jun) atas pertuduhan menggunakan cek bernilai RM100,000 hasil aktiviti haram bagi tujuan pembayaran deposit rumah, 2 tahun lepas.

Mohd Adnan, 54, yang kini pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti KEMAS Putrajaya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Sehari sebelum itu (Ahad, 18 Jun),  beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Alor Setar atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM159,053.22 membabitkan dua pertuduhan.
Beliau membuat pengakuan itu ketika pertuduhan kepadanya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Pegawai Pembangunan KEMAS Selangor, didakwa menerima suapan RM73,000 daripada Sah Hizam Halim bagi melantik syarikat milik Sah Hizam iaitu Perniagaan Naluri Pertama menjalankan kerja membekal susu tepung kepada Tabika dan Taska PERMATA.

Tertuduh juga melantik syarikat Alpha Elite Resource yang juga milik Sah Hizam untuk menjalankan kerja membekal serbuk malt coklat kepada Tabika dan Taska PERMATA.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Alor Setar pada 14 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Adnan didakwa menerima rasuah berjumlah RM86,053.22 daripada Sah Hizam bagi melantik lima syarikatnya, iaitu Perniagaan Naluri Utama, One Blue Diamond Enterprise, Golden North Enterprise, Malbery Enterprise dan LD Dinamik Enterprise bagi kontrak pembekalan pelbagai barangan untuk Tabika.

Iaitu syarikat Perniagaan Naluri Utama mendapat kontrak membekalkan biskut jenama Jacob dan susu tepung ke Tabika.


Syarikat One Blue Diamond mendapat kontrak membekalkan makanan tambahan, syarikat Golden North membekalkan bijirin Koko Krunch jenama Nestle, Malbery Enterprise pula membekalkan biskut untuk Tabika.

Syarikat LD Dinamik pula mendapat kontrak membekalkan Koko Krunch dan makanan tambahan untuk Tabika.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu pada 7 Januari 2015 di Maybank Alor Setar

Di Mahkamah Shah Alam kelmarin, Mohd Adnan didakwa menggunakan cek Malayan Banking Bhd (Maybank) bernilai RM100,000 bagi tujuan pembayaran deposit rumah berkembar 2 tingkat di Seksyen U13, Setia Alam di mana sejumlah RM86,053.22 daripada jumlah asal diperoleh daripada hasil aktiviti haram.

Mohd Adnan didakwa melakukan kesalahan itu di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tingkat 2 & 3, Kompleks PKNS pada 8 Januari 2015.

Dia didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,

Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail mencadangkan supaya Mohd Adnan dibebaskan dengan jaminan RM100,000 serta seorang penjamin.

Peguam Lissa Sukri yang mewakili Mohd Adnan bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan ikat jamin paling minimum atas alasan anak guamnya dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, semalam atas tuduhan menerima rasuah RM159,053.22 yang melibatkan transaksi sama.

“Semalam pihak pendakwaan juga cadangkan jaminan RM100,000 dan mahkamah benarkan anak guam saya dijamin RM80,000. Mohon mahkamah ambil kira anak guam saya adalah seorang penjawat awam berjawatan pengarah dan tiada sebab untuk dia melarikan diri.

“Anak guam saya juga perlu menanggung 6 anak di mana 4 masih kecil iaitu yang bongsu berumur 2 bulan sementara 2 masih menuntut di institusi pengajian tinggi. Selain itu, beliau perlu menanggung ibu yang menghidap sakit tulang belakang,” katanya.

Hakim Ahmad Zamzani kemudian menetapkan ikat jamin ke atas Mohd Adnan sebanyak RM90,000 serta seorang penjamin.

Hakim turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dibicarakan bersama kes rasuah yang dihadapi tertuduh selain menetapkan tarikh sebutan yang sama iaitu pada 31 Julai depan.

Di Alor Setar, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Hafiizh Abu Bakar menawarkan jaminan RM100,000 dan seorang penjamin, bagaimanapun wakil kepada peguam tertuduh Abdul Hadi Ahmad memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh perlu menyara lapan anak, seorang daripadanya bayi berusia 55 hari.


Malah akaun bank tertuduh juga sudah dibekukan sejak lima bulan lalu.