Thursday, June 30, 2016

Guan Eng Dibenar Ikat Jamin RM1 Juta, Li Khoon Rm200,000

Guan Eng dibawa ke Mahkamah Sesyen, Georgetown pagi ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Khoon didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini atas tuduhan rasuah sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Georgetown di atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta  pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Pasukan Pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh dan Ramkarpal Singh.

Apandi kemudian memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan hakim membenarkan permohonan itu dan menetapkan sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman Hakim Mahkamah Tinggi George Town, Datuk Azmi Ariffin membenarkan Guan Eng diikat jamin RM1 juta.

Beliau dibenarkan menyimpan pasport tetapi perlu memaklumkan kepada Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah Tinggi dua hari sebelum keluar negara.

Manakala Li Koon dibenarkan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.

Pengurusan kes ditetapkan pada 22 September bagi menetapkan tarikh perbicaraan bersama kedua-dua tertuduh.


Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Guan Eng juga mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid – satu di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan satu lagi di bawah Kanun Keseksaan.

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk kepentingan dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014.

Seksyen 23 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Guan Eng juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan itu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh kepentingan menerusi pembelian sebuah banglo daripada Li Khoon pada harga RM2.8 juta, iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta pada 28 Julai 2015.

Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dipenjarakan maksimum dua tahun, denda dan rampasan hartanah.

Bagi pertuduhan pertama Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015.

Bagi pertuduhan kedua itu Lim didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sementara itu bekas pemilik banglo itu Phang Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wednesday, June 29, 2016

Isu Banglo - Guan Eng DiTahan, DiDakwa Esok Atas Dua Pertuduhan


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung pembelian sebuah banglo yang didakwa di bawah harga pasaran.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dalam satu tweet mengesahkan anaknya, setiausaha agung DAP itu akan dihadapkan ke mahkamah esok atas dua pertuduhan rasuah.

SPRM  telah mengeluarkan waran tangkap kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng dipercayai berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn, pada harga RM2.8 juta.

Perkara itu dinyatakan Exco Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin melalui akan Twitter.

"Waran tangkap telah dikeluarkan dan diserahkan kepada Ketua Menteri di bangunan Komtar. Beliau akan dibawa ke SPRM HQ bila-bila masa tidak lama lagi," demikian tulis Dr Afif.

Beberapa kenderaan polis juga dilaporkan menunggu di luar bangunan itu di mana Lim sebelum ini mempengerusikan mesyuarat exco mingguan.

Pada 4 Mac lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya menuduh beliau membeli sebuah banglo pada harga RM2.8 juta yang didakwa jauh di bawah harga pasaran dan mengaitkannya dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis kepada pemaju swasta.


Lim bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dan berkata tanah berkenaan dijual melalui jawatankuasa tender terbuka yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.

Menurut Kanun Keseksaan, membeli hartanah di bawah nilai pasaran dianggap satu kesalahan bagi seorang penjawat awam.

Menurut blog ini pada 25 Mei lalu menyebut bahawa SPRM ternyata sudah mempunyai bukti lengkap dan cukup kuat untuk mendakwa Guang Eng.

Maknanya, Guan Eng bukan sahaja akan didapati bersalah tetapi mungkin akan hilang statusnya sebagai wakil rakyat – di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen - jika disabitkan kesalahan.


Kehadiran atau istilah ‘serbu’ yang digunakan untuk menjelaskan tindakan kedatangan Pegawai SPRM ke rumah Ketua Menteri Pulau Pinang di Jalan Pinhorn 22 Mei lalu, bukan kehadiran biasa.

Walaupun dilaporkan untuk ‘mengambil keterangan berhubung pembelian banglonya yang dikatakan pada harga di bawah nilai pasaran’, kehadiran itu berlainan sekali dengan kehadiran biasa.

Mereka datang dengan dengan lapan pegawai SPRM menggunakan tiga kenderaan dilihat masuk ke perkarangan banglo Guan Eng  kira-kira 3 petang dan beredar kira-kira sejam kemudian.

Bagaimanapun, tiada barangan atau harta benda yang dirampas dari premis itu dan Guan Eng telah membatalkan semua acara beliau untuk membantu siasatan SPRM.

Penahanan hari ini membolehkan Lim dibawa ke Ibu pejabat SPRM Pulau Pinang dan dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen, Georgetown esok.

"Dia akan dibawa ke Ibu Pejabat SPRM bila-bila masa tidak lama lagi," kata Dr Ariff dalam laman sosial.

Beliau akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Penyokong dan pemimpin DAP mula berkumpul di tingkat 28 petang tadi, manakala aktivis PERKASA pula menunggu di tingkat bawah.

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo pernah dipenjarakan selama setahun bagi kesalahan yang sama.

Lim telah menafikan sekeras-kerasnya berhubung sebarang salah laku.

Katanya, beliau membeli rumah atas dasar kerelaan kedua-dua pihak dan pemilik banglo itu yang juga adalah seorang ahli perniagaan Phang Li Khoon tidak pernah menerima sebarang kontrak daripada kerajaan negeri.

Pada 6 Jun lalu, Jabatan Peguam Negara telah mengembalikan kertas siasatan berkaitan kes penjualan banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada SPRM.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pemulangan kertas siasatan itu dibuat setelah pihaknya meneliti keseluruhan keterangan dan mendapati keperluan untuk beberapa tindakan yang lanjut bagi melengkapkan siasatan kes ini.

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas siasatan tersebut, Jabatan ini telah mendapati bahawa terdapat beberapa tindakan yang perlu di siasat lanjut bagi melengkapkan siasatan kes ini.

"Oleh itu, Jabatan ini telah pada hari ini mengembalikan kertas siasatan tersebut untuk membolehkan pihak SPRM melaksanakan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan. 

Friday, June 24, 2016

Apabila NGO DiJadikan 'Senjata' Mendapatkan RM300,000 Sebulan...


“Sudah sampai masanya pihak berkuasa melihat kembali dan menyelami peranan dan sumbangan NGO  serta status dan apa dilakukan oleh pemimpinnya. Ditubuhkan untuk apa? Memperjuangkan kepentingan rakyat, membela kerajaan atau untuk kepentingan segelintir atau kepentingan sendiri?”

Baru berusia 32 tahun namun memperoleh kira-kira RM300,000 setiap bulan sejak beberapa tahun.

Hasil berniaga? Hasil judi? Bukan.

Ia hasil peras ugut berselindung di sebalik pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO).

Ini kerja licik dan hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang berani dan tahu selok belok ilmu peras ugut dan kerja-kerja berkaitan kepolisan.

Berikutan itu sudah sampai masanya pihak berkuasa melihat kembali dan menyelami peranan dan sumbangan NGO  serta status dan apa dilakukan oleh pemimpinnya.

NGO ini ditubuhkan untuk apa? Untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, membela kerajaan atau untuk kepentingan segelintir atau kepentingan sendiri.


Walaupun belum dibuktikan bersalah, namun penahanan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan dan pemandunya, seorang lelaki warga India, membuka mata kita untuk menilai kembali NGO yang beratus dan mungkin beribu-ribu di negara ini.

Kemungkinan banyak, bukan hanya terbabit jenayah tetapi mungkin kerja-kerja ‘haram’ lain seperti mengaut keuntungan melalui cara salah, berkepentingan politik, menyokong pembangkang, mendapatkan kedudukan, mendapatkan gelaran atau menggunakan dana serta bantuan kerajaan untuk kepentingan diri dan kumpulan.

Dalam kes Sanjeevan, dia ditahan oleh sepasukan polis dari Unit Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) kerana dipercayai melakukan ugutan jenayah dan peras ugut berdekatan Plaza Tol Nilai, kelmarin.

Mangsa dipercayai mempunyai bukti rakaman suara Sanjeevan ketika berurusan dengan pengusaha itu.

Ini bermakna polis bertindak berdasarkan rakaman perbualan telefon.

Sejauh ini tiada bukti bahawa perbualan Sanjeevan dicuri dengar atau dicuri rakam walapun kini isu dicuri dengar dan dicuri rakaman perbualan seseorang yang didakwa oleh pihak berkuasa sering diperkatakan.

Apabila beberapa akhbar online  mula melaporkan berita penahanan berkenaan yang duat pada 10.50 malam Rabu lalu di Plaza Tol Nilai, banyak persoalan dan teka-neki mengenai siapa.

Tidak disangka ditahan itu adalah Pengerusi MyWatch.


Sanjeevan, baru berusia 32 dan tinggal di Country Heights, Kajang, ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, sebaik menerima wang perlindungan RM25,000 daripada pengadu, seorang pengusaha perjudian haram berusia 38 tahun.

Menurut laporan itu, dalam tangkapan pukul 10.50 malam itu, polis turut menemui wang tunai RM16,080 dalam kereta suspek.

Mahkamah Khas Seremban, polis kelmarin mendapat perintah tahan reman selama dua hari, sehingga hari ini,  terhadap pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Seremban, Nor Anida Norhamdan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang pengadu yang tidak dinamakan, bahawa Sanjeevan mengugut akan menyiarkan fitnah mengenainya jika tidak membayar wang perlindungan sebanyak RM25,000.

“Tangkapan dilaksanakan sebaik sahaja pengadu berjumpa dan menyerahkan wang tunai tersebut kepada suspek di dalam sebuah kereta,” kata Mohmad.

Dalam laporan sebelum ini, sumber sebuah laman portal memberitahu Sanjeevan dikesan membuat peras ugut judi haram di seluruh negara antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Sumber mendakwa pengadu seorang pengusaha judi haram berusia 38 tahun, dan diperas supaya membayar RM25,000 sebulan.

Menurut satu sumber, suspek merupakan ahli kumpulan kongsi gelap 36 namun belum dapat disahkan tahap penglibatannya dalam kumpulan haram itu.

Beliau terkenal dengan pelbagai pendedahan lantang aktiviti berkaitan jenayah seperti judi, maksiat dan kongsi gelap.

Modus operandinya ialah mengugut atau memeras ugut akan mendedahkan mereka yang ada kaitan dengan jenayah seperti judi, maksiat dan kongsi gelap.

Untuk mengelakkan mengalami ‘kerugian’ atau mungkin ditangkap, mereka yang terlibat dengan kegiatan sedemikian terpaksa membayar sejumlah wang.

Terbukti jelas dalam kegiatannya, Pengerusi NGO ini ditahan ketika sedang menerima wang daripada pengusaha judi ekor haram.

Persoalannya berapa ramai mereka yang ‘tahu dia melakukan kesalahan’ bersedia untuk membuat laporan polis kerana diperas ugut sebegini?

Risiko diri atau kumpulan ialah - dia akan turut didakwa kerana kegiatan haram -  terpaksa diambil tetapi hakikatnya benarlah pepatah mengatakan, ‘hanya pencuri boleh tangkap seorang pencuri.”


Pengajaran di sebalik ini juga berdasarkan kedudukan penting Sanjeevan dalam NGO ialah, ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih’.

Thursday, June 23, 2016

PDRM, Cybersecurity M'sia Perlu Kerjasama Kesan Aktiviti Pedofil


Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia bagi mengesan aktiviti jenayah terancang seperti pedofil di negara ini.

Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP, Datuk Akhbar Satar berkata mereka yang terbabit dalam aktiviti pedofilia ini menggunakan platform internet iaitu 'dark web', yang merupakan jaringan sejagat (wwww) dengan jaringan tindihan menggunakan internet awam menerusi perisian tertentu bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

"Segala aktiviti seperti gambar dan video mangsa pedofil dimasukkan ke dalam'dark web' dan banyak lagi aktiviti yang menyalahi undang-undang dibuat menerusi talian itu.

"Oleh itu, kaedah penyiasatan tradisional seperti soal siasat secara bersemuka tidak lagi berkesan dalam era globalisasi ini," katanya kepada Bernama selepas program Ruang Bicara Bernama News Channel yang bertajuk "Pedofil: Awasi Anak Anda" yang dihoskan Sherkawi Jirim di ibunegara malam tadi.

Selain itu, Akhbar mencadangkan pihak berkuasa menggunakan khidmat penggodam profesional di Malaysia untuk mengenal pasti penjenayah itu.

"Malaysia mempunyai banyak penggodam beretika dan tidak salah jika agensi penguat kuasa mendapatkan khidmat mereka untuk selesaikan isu ini," katanya.


Pada 5 Jun lepas, Richard Huckle, seorang warganegara Britain, dikenakan hukuman penjara seumur hidup sebuah mahkamah di London selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Media Britain melaporkan Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemukan lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Baru-baru ini, media Britain melaporkan Huckle, seorang jurufoto bebas, mungkin melakukan penderaan seksual melibatkan 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsa adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur.

Wednesday, June 22, 2016

Pelan Integriti PDRM 2016-2020 Ke Arah Kepolisan Bertaraf Dunia


Elok sangatlah...banyak sudah yang dipersoalkan.

Kalau mahu  disenaraikan memang banyak perkara yang diperkatakan mengenai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Berikutan itu amat baik sekali ada pelan integriti untuk PDRM. tetapi ia mestilah dipatuhi bukan untuk publisiti semata-mata.

Kita hanya boleh berharap pelan meningkatkan integriti ke arah peningkatan kapasiti dan kemampuan membanteras jenayah rasuah akan menjadi kenyataan.

Jangan jadi seperti pelan yang lalu – ada – tetapi kebanyakan rakyat Malaysia tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam PDRM itu. jangan hanya meletakkan harapan yang tidak menjadi kenayataan.

Semalam dilancarkan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 bagi memastikan misi mencapai standard perkhidmatan polis bertaraf dunia dapat dilaksanakan sebaiknya.

Khalid berkata pelan berkenaan merupakan kesinambungan kepada Pelan Integriti PDRM yang terdahulu.

Menurutnya,  penambahbaikan pelan ini bertujuan memastikan visi dan misi PDRM direalisasikan dalam mencapai matlamat utama PDRM iaitu memberi perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia kepada masyarakat.

"Saya akur bahawa integriti adalah satu nilai penting kepada sesebuah organisasi seperti PDRM yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran.

http://bcp.crwdcntrl.net/5/c=5593/b=31525197
"Isu integriti bukan semata-mata merujuk kepada isu-isu salah laku atau rasuah tetapi ia turut merangkumi segala amalan positif dalam sesebuah organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani nota kerjasama PDRM dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Institut Integriti Malaysia serta pelancaran buku Kod Etika PDRM, Pelan Integriti PDRM 2016-2020 dan Manual Pematuhan Standard PDRM di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Khalid berkata pelan berkenaan mengandungi enam elemen nilai teras iaitu sifat integriti itu sendiri, bermoral, beretika, keagamaan, kerohanian dan profesionalisme.

"Keenam-enam elemen ini adalah seiring bagi memberi sinergi bagi meningkatkan integriti dan pematuhan standard warga kerja PDRM," katanya.

Khalid berkata ke arah mencapai sasaran itu juga, pihaknya turut memeterai kerjasama strategik dengan tiga agensi, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Arkib Negara menerusi pelaksanaan pelbagai program.

"Menerusi usaha sama dengan SPRM, kami akan berkongsi kepakaran dan maklumat dalam aspek operasi, pencegahan dan latihan selain program meningkatkan integriti ke arah peningkatan kapasiti dan kemampuan membanteras jenayah rasuah.

"Usaha sama dengan IIM pula membabitkan program latihan di samping kajian penyelidikan meliputi kajian keberkesanan untuk melihat hasil program atau aktiviti yang dilaksanakan. Kajian pembangunan juga akan dilakukan dalam membantu meningkatkan integriti dan produktiviti warga pasukan," katanya.

Monday, June 20, 2016

SPRM Tahan Tiga Dalang Sindiket Daftar Nikah

Gambar hiasan
Tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung menerima rasuah bagi memudahkan pendaftaran nikah sempadan khususnya di Thailand.
Seorang daripadanya adalah pegawai Jabatan Agama Islam dan dua lagi adalah pegawai kerajaan berlainan agensi.

Sumber SPRM berkata, ketiga-tiga suspek lelaki itu berusia antara 30 hingga 43 itu ditahan semalam di sekitar Kuala Terengganu untuk diambil keterangan.

Menurutnya lagi, penahanan mereka sekali gus berjaya  membongkar sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah tidak sah.

"Suspek pertama yang berusia 43 tahun merupakan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama ditahan di sekitar Kuala Terengganu kira-kira jam 12.30 tengah semalam.

"Manakala suspek kedua merupakan kakitangan kerajaan juga ditahan di sekitar negeri itu pada jam 5.30 petang bersama sejumlah wang bernilai RM1,300," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, suspek ketiga berusia 34 tahun ditahan sekitar jam 1130 malam.
"Turut ditemui wang tunai berjumlah RM1,300 pada suspek," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan terdapat sindiket yang memudahkan proses perkahwinan yang dalangnya merupakan kakitangan kerajaan.

Menerusi cara ini pasangan yang terdesak ingin bernikah tidak perlu lagi bersusah payah untuk berdepan sebarang prosedur perundangan tanpa memikirkan risiko.

Jelas sumber itu lagi, berdasarkan siasatan awal, sindiket dipercayai menawarkan bayaran sebanyak RM3,500 bagi setiap individu khususnya suami yang ingin berpoligami bagi mendapatkan dokumen pernikahan tidak sah tersebut.

"Tangkapan pertama dibuat selepas pegawai tersebut menerima bayaran akhir berjumlah RM1,000 bagi menyerahkan sijil dan kad akuan nikah kepada pasangan yang mendapatkan khidmat beliau.

"Sindiket ini juga menguruskan pernikahan mana-mana pasangan berkaitan di negara jiran tanpa perlu kebenaran isteri pertama atau melalui proses di mahkamah sekiranya ingin berpoligami.

Kedua-duanya kini ditahan untuk membantu siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesemua suspek akan direman jam 11 pagi ini di Terengganu.


Thursday, June 16, 2016

Penyelewengan LPG - Ikan Bilis Masuk Pukat, Jerung Berenang Sebebas-Bebasnya....


"..amalan rasuah termasuk membocorkan maklumat operasi dan kutipan bulanan oleh sesetengah anggota agensi penguat kuasa didakwa menjadi punca penyelewengan LPG terus berleluasa."

Isu penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bukan isu kecil. Ia memerlukan tindakan bersungguh-sungguh dan berterusan oleh pihak berkuasa, bukan bermusim.

Kejadian seperti itu mewujudkan kebimbangan bahawa kerugian lebih RM880 juta pada tahun lepas akan berulang pada tahun ini.

Memang pihak berkuasa bertindak, namun sejauh ini rampasan LPG yang cuba diselewengkan hanya kira-kira RM20 juta, selain menahan beberapa anggota sindiket sejak tahun lepas - dilihat dlam  jumlah yang tersangat kecil.

Dengan kata lain, kesn penguatkuasaan yang sekelumit berbanding dengan bencana ketirisan yang dialami kerajaan.

Janji kerajaan memang akan tangani dan perangi habis-habisan sindiket ini. Ini kerana kumpulan inilah yang menyebabkan persepsi seolah-olah kerajaan tidak melihat perkara ini sebagai satu perkara yang amat penting. Itu cakap Menteri.

Hakikatnya,  kementerian bertanggungjawab tidak ada mekanisme yang sesuai dan berkesan untuk menanganinya.

Lebih memalukan, wujud dakwaan bahawa serbuan pihak berkuasa ke atas beberapa stor perniagaan yang menyelewengkan LPG didakwa hanya melibatkan individu peringkat bawahan atau ‘ikan bilis’ sahaja.

Berita Harian pada 19 Februari 2016 yang lalu pernah melaporkan bahawa pihak berkuasa membekukan 17 akaun bernilai RM7.4 juta milik pengarah dan pemilik sebuah syarikat berhubung siasatan kes penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi susulan operasi yang dijalankan

Operasi itu dikoordinasi oleh Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Jabatan Peguam Negara di Ipoh. Ia dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan Perak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman yang dikoordinasikan NRRET ke sebuah stor LPG berlesen di Kawasan Perindustrian Ringan Seri Rapat, di Ipoh pada

Ia membabitkan rampasan tong gas LPG dan kenderaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM1 juta, manakala jumlah subsidi yang disalahgunakan RM70,000. Rampasan di stor berkenaan membabitkan 1,631 tong berisi gas berkuantiti 12 kilogram (kg), 14kg dan 50kg dan 1,404 tong kosong manakala enam kenderaan dirampas adalah sebuah treler dan lima lori yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pembelian dan penjualan gas yang diselewengkan.

Kelmarin dalam serbuan terbaru di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, Kedah, tauke di sebalik perniagaan itu tidak ditangkap, sebaliknya hanya empat warga Myanmar yang ditahan.

Berikutan itu Persatuan Perlindu­ngan Pengguna Malaysia berkata, peniaga yang memiliki lesen LPG industri secara pukal yang menjadi dalang dalam sindiket masih lagi bebas.

Operasi yang dilakukan pihak berkuasa hanya membabitkan pemborong dan tangkapan hanya melibatkan pekerja sahaja tetapi ‘jerung masih bebas’.

Semalam, Presiden persatuan itu, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pihaknya musykil mengapa perkara ini berlaku dan sehingga kini tiada seorang dalang pun yang ditahan. Ini yang kita maksudkan ‘tangan ghaib’ melindungi ‘jerung-jerung’ sehingga mereka berleluasa menjalankan perniagaan haram.

“Pihak berkuasa hanya fokus kepada tong gas berisi berkapasiti 12, 14 dan 50 kilogram sahaja tetapi tidak melihat kepada sindiket yang menjalankan ke­giatan menggunakan tong berskala besar seperti 14,000 kilogram.

“Malah, sindiket mampu me­ngaut keuntungan jutaan ringgit dalam tempoh sebulan dengan menjalankan perniagaan ini ke­rana membeli gas pada harga subsidi tetapi menjualnya kepa­da kilang-kilang pada harga industri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut Mohd. Firdaus kegiatan penyelewe­ngan LPG akan terus berleluasa sekira­nya pihak berkuasa tidak membanteras ‘tangan ghaib’ yang melin­dungi aktiviti haram tersebut.

Mohd. Firdaus menegaskan sekali lagi ba­hawa pihaknya hanya akan menyerahkan bukti berkaitan kegiatan penyelewengan LPG kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan di peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Perkara ini penting bagi membolehkan siasatan yang dijalankan secara telus dan membawa kepada penahanan individu tidak bertanggungjawab.

“Setakat ini, saya hanya me­ne­rima panggilan daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Pe­nguatkuasaan (EAIC) dan mereka meminta untuk berjumpa dalam masa terdekat bagi memboleh­kan siasatan dijalankan,” katanya.

Menghairankan, walaupun isu ini sudah dilaporkan berlaku kesekian lama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) masih belum mempunyai mekanisme yang sesuai dan mampu menangani persoalan ini.

Kementerian itu semalam mengumumkan akan memperkenalkan beberapa mekanisme baharu untuk membanteras isu ketirisan penjualan tong gas petroleum cecair (LPG).

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mekanisme itu hanya akan diumumkan selepas diluluskan oleh Kabinet tidak lama lagi.

"Saya telah memikirkan satu mekanisme baharu supaya selepas ini kami tidak akan beri peluang sindiket (penjualan LPG) ini melakukan keuntungan yang besar.

"Sebenarnya kepentingan yang kami berikan adalah untuk membantu rakyat tetapi sindiket yang mereka lakukan ini semata-mata untuk mencari keuntungan yang besar dalam tempoh jangka pendek," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Pengguna Bersama KPDNKK di Kuala Kangsar (pada kempen pilihan raya kecil ) semalam.


Tindakan yang lambat – mekanisme yang memerlukan kelulusan Kabinet sudah tentu mengambil masa dan kementerian itu hanya menunjukkan reaksi apabila ditanya oleh akhbar.

Hamzah menyatakan hasrat kerajaan itu mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu semalam  mengenai sindiket penyelewengan bahan bersubsidi khususnya LPG terus berleluasa di negara ini.

Laporan akhbar itu menyebut amalan rasuah termasuk membocorkan maklumat operasi dan kutipan bulanan oleh sesetengah anggota agensi penguat kuasa didakwa menjadi punca penyelewengan LPG terus berleluasa.

Kenapa tidak ada tindakan terhadap pegawai dan syarikat terbabit walaupun sudah ada laporan?

Atau sekurang-kurangnya mendakwa mereka jika benar ada usaha memerangi habis-habisan gejala ini.

Jelas dalam isu ini, bukan gas yang bocor tetapi kebocoran (ketirisan ) yang berlaku ialah maklumat operasi dan wang negara RM800 juta setahun.

Kenapa kerajaan terus membiarkannya?

Wednesday, June 15, 2016

Apa yang tidak BERSIH di PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar


Gabungan reformasi sistem pilihan raya BERSIH semalam  mengeluarkan senarai dakwaan rasuah pilihan raya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kebetulan, tiga daripadanya selari dengan dakwaan portal pro-BN MYKMU yang menyenaraikan dakwaan rasuah pilihan raya pembangkang.

Contoh yang diberikan oleh portal berkenaan ialah:

Minyak hitam motor percuma (Amanah/PKR)
Jual gula tanpa GST RM2/kg (PAS)
Bas percuma untuk penduduk Sungai Besar (PKR)
Bubur Lambuk - edar jam 1 tengahari (Amanah/PAS/PKR)
Cucian kereta percuma (Amanah)


Perkara itu, yang diedarkan bersama kenyataan medianya semalam,  termasuk pemberian sayur sawi oleh Pakatan Harapan (DAP dan sayur sawi) di Kuala Kangsar selain servis motosikal percuma oleh PKR dan PAS di Sungai Besar.

Bagaimanapun daripada 14 dakwaan yang disenaraikan oleh BERSIH, hanya lima melibatkan pembangkang, manakala selebihnya melibatkan BN.

BERSIH antaranya mendakwa BN, melalui parti komponen dan agensi kerajaan, memberi pelbagai perkara daripada makan malam, cabutan bertuah, arak, beras, baja, peralatan bertani, sehinggalah kepada bola dan bulu tangkis.

Kesemua kesalahan didakwa melanggar Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyebut pemberian dan tawaran wang atau balasan yang bernilai untuk mendorong pengundi adalah kesalahan rasuah.

Badan itu sekali gus menolak penjelasan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) yang dibuat oleh seorang anggotanya Datuk Abdul Aziz Khalidin semalam.

Aziz berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melihat sebarang masalah dalam pengumuman bantuan khas RM500 kepada 388,111 pekebun kecil getah seluruh negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Razak semasa kempen di Kuala Kangsar.

Begitu juga dengan parti dalam komponen lain seperti MCA dan Gerakan yang mengagihkan beras kepada pengundi serta pembangkang memberi penyokongnya sawi dilihat masih tidak melanggar peraturan.

“Itu perlu lihat daripada aspek kempen pilihan raya masing-masing. SPR menjalankan pilihan raya mengikut peraturan yang sedia ada.

“Terpulang kepada tafsiran ahli politik masing-masing. Kita tidak nampak apa-apa masalah pun setakat ini. Tak nampak apa-apa yang melanggar peraturan pun,” katanya ketika ditemui di Kuaters polis di Kuala Kangsar.

BERSIH berkata kenyataan itu dilihat mengesahkan pemberian habuan dan imbuhan serta memberi gambaran bahawa bahawa “undang-undang pilihan raya tidak memberikan apa-apa makna”.

“Sebagai seorang bekas Hakim dan peguam, beliau seharusnya lebih arif dalam mentafsir peraturan-peraturan pilihan raya,” kata BERSIH.

BERSIH juga menuntut penjelasan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohamad Hashim Abdullah mengenai segala dakwaan-dakwaan kesalahan itu.

“Jika SPR masih gagal untuk memahami akta-akta atau peraturan-peraturan pilihan raya yang telah dilakukan, adalah lebih baik mereka meletakkan jawatan kerana gagal bertindak mengikut lunas undang-undang untuk melaksanakan pilihan raya bersih,bebas dan adil,” katanya.

Wednesday, June 8, 2016

Janji Percuma, Kenapa Pula Felcra Kena Bayar Berjuta-Juta Ringgit Untuk Menaranya?


Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad)  ialah sebuah agensi kerajaan ditubuhkan dengan tujuan membangunkan sektor luar bandar. Ia membantu penduduk menyertai aktiviti ekonomi negara bertujuan meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan peserta.

Selepas membuktikan ia mampu menjadi sebuah agensi pembangunan rakyat luar bandar dan kini bergerak dalam sektor pembinaan, kejuruteraan dan perdagangan, Felcra diuar-uarkan akan mempunyai ibu pejabatnya sendiri yang tersergam megah.

Malah, seiringan dengan menara 35 tingkat pejabat, Felcra juga dikatakan akan mendapat untung daripada pembinaan sebuah menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah di tanahnya di Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak) di Kuala Lumpur.

Malah, dilaporkan pada awal tahun lalu (2015), Felcra dijanjikan mempunyai ibu pejabat baharu itu tanpa mengeluarkan satu sen pun.

Sudah pasti mereka yang terlibat dengan Felcra secara langsung dan tidak langsung, berbangga dengan pencapaian dan apa yang akan dilakukan oleh Felcra itu.

Namun, apa yang terjadi sejak setahun lalu?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan projek yang dikenali sebagai Menara Felcra itu pada bulan Mei 2015.
Semalam (7 Jun 2016), Malaysiakini mengaitkan Felcra dengan dua isu yang menuntut jawapan telus sama ada daripada kerajaan,  Felcra sendiri dan mereka yang bertanggungjawab terhadap pengurusan agensi itu.

Malaysiakini menyebut,  kini timbul persoalan bagaimana Felcra tanggung RM687 juta untuk pejabat yang sepatutnya percuma selain isu  percanggahan pemakluman dalam pelaburan agensi berkenaan.

Malaysiakini mengaitkan Felcra dengan sebuah syarikat pemaju iaitu kumpulan WZR Property Sdn Bhd yang dipertanggungjawabkan membiayai dan membina projek pembangunan campuran bagi pihak agensi itu.

Ia termasuk sebuah menara 35 tingkat pejabat, sebuah menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah di tanahnya di Kuala Lumpur. Dilaporkan Felcra pejabat baru itu akan dibina tanpa perlu membayar satu sen pun.

Surat daripada Menteri Kewangan Diperbadankan pada 18 Feb 2015 menyebut : "Permohonan Felcra Bhd untuk melaksanakan pembangunan bercampur dengan kod RM550 juta... yang akan dimajukan oleh WZR, diluluskan memandangkan Felcra tidak perlu mengeluarkan sebarang dana untuk menanggung pembangunan projek ini.”

Kata Malaysiakini, menurut mereka yang biasa dengan perkara itu, Felcra akan mendapat 12 tingkat di menara pejabat dan sebuah dewan bankuet, manakala WZR akan mendapat semula pelaburannya dengan menyewakan seluruh ruang pejabat dan daripada jualan unit-unit kediaman.

Semuanya ketika itu berjalan dengan baik, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan projek yang dikenali sebagai Menara Felcra itu pada bulan Mei 2015.

Bagaimanapun setahun kemudian, segalanya tidak berjalan seperti yang dirancang.

Felcra bukan sahaja gagal mendapat ibu pejabat baru secara percuma tetapi sebaliknya terpaksa membiayai keseluruhan projek.

Persoalannya, apakah benar seperti dakwaan Malaysiakini  bahawa status WZR difahamkan sudah berubah daripada pemaju projek bertukar menjadi kontraktor yang diupah oleh Felcra.

Juga pakah benar pemaju itu tidak mempunyai wang untuk membiayai pembinaan itu.

"Apa yang berlaku kontraktor gagal memperolehi sumber pembiayaan daripada bank,” kata sumber yang menyedari perkara itu tetapi tidak mahu nama mereka disiarkan, dakwa Malaysiakini.

Malah,  WZR juga berhujah adalah lebih baik bagi Felcra membiayai projek itu sendiri selain Felcra mampu membuat keuntungan yang lebih sebagai pemaju hartanah bukan hanya sebagai pemilik tanah.

Bagi isu kedua, iaitu percanggahan pemakluman dalam pelaburan amanah saham melibatkan nilai RM150 juta,  Malaysiakini melaporkan pada  27 Mei 2016 lalu, Pengerusi Felcra Datuk Bung Mokhtar Radin mungkin memberitahu lembaga pengarah syarikat itu, dan MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) melalui maklumat bercanggah antara satu sama lain.

Dokumen dikatakan minit mesyuarat Felcra pada 24 November 2014 menunjukkan cadangan RM300 juta untuk pelaburan baru.

Daripada jumlah ini, hanya RM50 juta untuk amanah saham. Selebihnya RM200 juta diperuntukkan untuk pengurusan tunai dan RM50 juta lagi untuk deposit tetap.

Mesyuarat itu menyimpulkan bahawa terdapat risiko kerugian jika harga amanah saham jatuh dan “pengurusan perlu mendapatkan kelulusan daripada MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan)” sebelum membuat sebarang pelaburan.

Menurut Malaysakini, dalam surat untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah, Bung bagaimanapun dikatakan mungkin menukar angka-angka pelaburan itu.

Pada 23 April 2015, Kementerian Kewangan memberikan lampu hijau untuk melabur RM150 juta dalam amanah saham, dengan syarat ia mesti selalu dipantau bagi mengelakkan risiko jika harga saham merudum.

Malaysiakini mendakwa ia dimaklumkan oleh satu sumber bahawa pelaburan amanah saham itu yang dibuat pada 18 Mei 2015 telah susut nilai sebanyak RM15 juta.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Bung Mokhtar enggan mengulas.“Saya rasa tak perlu untuk dijawab, ini perbuatan orang khianat,” katanya.

Isunya ialah apakah benar dakwaan Malaysiakini bahawa anggota parlimen Kinabatangan itu dikatakan menulis Felcra setuju melabur RM150 juta, bukan RM50 juta, dalam bentuk amanah saham?


Untuk menyokong klulusan itu, Bung Mokhtar didakwa melampirkan salinan minit mesyuarat bertarikh 24 November yang menyebut Felcra meluluskan pelaburan itu.

Bagaimanapun Malaysiakini mengakui ia tidak jelas sama ada Bung melampirkan dokumen sama yang dilihat Malaysiakini atau terdapat dokumen lain dengan angka yang lain.

Sehingga kini belum ada maklum balas daripada Felcra walaupun diminta oleh Malaysiakini.

Berbalik kepada isu hubungan syarikat pemaju WZR dengan Felcra, Malaysiakini melaporkan, WZR dikatakan  memberitahu Felcra bahawa ia akan memiliki aset bernilai RM1.1 bilion berdasarkan nilai pembangunan kasar projek itu (GDV) dan bukan hanya RM288 juta jika  Felcra membiayai sendiri pembinaan Menara Felcra.

WZR juga didakwa berkata Felcra akan mendapat hasil RM26.4 juta setahun daripada menyewa plot komersial dan dewan di pusat konvensyen itu, selain daripada wang mengutip bayaran tempat letak kereta.

Akhirnya Felcra bersetuju mengambil alih projek itu selepas mesyuarat pada 21 Januari tahun ini. Berikutan itu, Felcra kini dilaporkan memerlukan wang tambahan.

Malah, mengikut surat Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditujukan kepada Bung sebagai Pengerusi Felcra pada 12 April lalu, WZR kini adalah kontraktor projek berkenaan.

Ia dipertanggungjawab terhadap reka bentuk dan pembinaan, manakala pembinaan menara itu telah diambil alih oleh Felcra Properties Sdn Bhd.

Surat itu juga menyatakan bahawa WZR akan dibayar modal permulaan sebanyak RM20 juta untuk kerja-kerja permulaan. Kontrak ditawarkan untuknya tidak akan melebihi RM687.5 juta. Ia akan dibayar secara interim berdasarkan pembangunan kemajuan.

Nyata sudah kini WZR daripada sebuah syarikat pemaju menjadi kontraktor.

Namun, menurut satu laporan Kumpulan WZR yang dilantik itu sebagai kontraktor utama itu akan mambangunkan projek yang meningkat kosnya sehingga RM 850 juta.

Satu lagi laporan menyebut untuk kerja asas dan piling, WZR menyerahkan kerja kepada anak syarikat Econpile Holdings Bhd iaitu Econpile(M) Sdn Bhd dengan nilai kerja berjumlah RM120.5 juta.

Menurut Malaysiakini, Bung Mokthar apabila ditanya mengenai perubahan itu berkata perkara itu "bukan satu isu".

“Sebenarnya tak ada isu, segala yang berlaku diputuskan dalam mesyuarat penuh BoD (lembaga pengarah) Felcra dan dipersetujuia oleh MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) selaku pemegang saham, yang lainnya tak dapat saya maklumkan kerana ia strategi perniagaan,” katanya.

Menurut Bung Mokhtar yang juga adalah ahli parlimen Kinabatangan, WZR memenangi projek Menara Felcra itu melalui tender terbuka. Telus?

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Malaysiakini melaporkan, Pengarah Urusan WZR Ahmad Kamal Kasani juga enggan mengulas ketika dihubungi, dengan alasan beliau berada di Mekah.

Malaysiakini juga telah menghubungi Kementerian Kewangan untuk mendapatkan ulasan berhubung dakwaan berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diaju soalan berkata beliau tidak nampak ada sebarang ‘salah laku’ dalam projek Menara Felcra. Tidak ada laporan aduan mengenainya.

Beliau juga mengatakan tidak mendengar sebarang ‘kekeliruan atau masalah’ dengan pembangunan berkenaan.


Persoalan kini ialah jika tiada salah laku atau apa-apa yang berkaitan perkara 'tidak betul' kenapakah  Malaysiakini sengaja menimbulkan  dua isu ini?

Bagi tujuan ‘kepentingan tertentu’ atau sengaja menggangu Bung Mokhtar kerana sebab-sebab Malaysiakini yang tersendiri?

Tuesday, June 7, 2016

Tidak Kira Siasat Siapa, SPRM Tetap Kena Maki – Shukri


"...tidak kira ahli politik mana yang disiasat suruhanjaya itu, mereka tetap dimaki dan dianggap “anjing”, “hantu” atau “barua...masalah di Malaysia ialah rakyat suka mempolitikkan masalah rasuah."


Cabaran terbesar yang dihadapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah rakyat suka mempolitikkan masalah rasuah.

Malah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, tidak kira ahli politik mana yang disiasat suruhanjaya itu, mereka tetap dimaki dan dianggap “anjing”, “hantu” atau “barua”.

“SPRM sangat bebas, tidak kira siapa (suspek itu) kami akan siasat. Tetapi masalah di Malaysia ialah rakyat suka mempolitikkan masalah rasuah.

“Jika kami siasat seorang ahli politik, orang ramai akan menganggap SPRM sebagai alat parti lawan. Contohnya ketika siasat kerajaan, kami akan dianggap alat parti lawan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama China Press menjelang persaraannya pada Oktober nanti.

Beliau bagaimanapun berpendapat, dimarahi kerajaan atau parti pembangkang bukannya perkara buruk kerana ia boleh membuktikan SPRM adalah badan yang bebas.

Shukri memberi contoh ketika SPRM menyiasat orang UMNO, kes kematian Teoh Beng Hock dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pelbagai pihak mengadakan demonstrasi jalanan besar-besaran dan menuding jari ke arah SPRM.

Beliau menjelaskan, siasatan ke atas ahli politik paling sukar, justeru beliau menggesa rakyat mengubah cara pemikiran dan memberi sokongan penuh kepada SPRM atau orang jahat (merujuk kepada SPRM) akan terus wujud.

“Yang saya sedih ialah di Singapura, Hong Kong malah Thailand tidak ada keadaan seperti ini.

“Saya kagum dengan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK). Apabila mereka siasat sesiapa pun termasuk ahli politik, hampir semua rakyat akan menyokong mereka sepenuhnya, tiada orang yang akan menyusahkan mereka.

“Jika ada pihak yang menyusahkan KPK, rakyat akan bersatu mengadakan demonstrasi, inilah sokongan rakyat dan ini juga faktor suruhanjaya pencegahan rasuah di negara itu berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Shukri mendedahkan ada pihak yang cuba menganiaya beliau pada 1987 dengan menyembunyikan dadah dalam kereta.

Kejadian itu berlaku ketika beliau memegang jawatan Ketua Bahagian Siasatan SPRM Pulau Pinang.

“Pada hujung minggu itu, selepas selesai makan tengah hari saya tiba-tiba hendak mengemas kereta dan secara tidak sengaja menemui dadah seberat 1 kilogram disembunyikan di bawah karpet tempat memandu.

“Saya segera membawa beg kuning itu ke balai polis untuk membuat laporan dan keesokannya saya ditahan polis ketika bertugas di Seberang Perai.

“Saya masih ingat ketika itu tangan saya digari, polis memeriksa kereta saya dengan teliti namun tidak jumpa apa-apa pun.

“Saya tidak dapat bayangkan jika polis tangkap saya ketika ‘memiliki dadah’ sehari sebelumnya, macam mana saya hendak nafikan?” soalnya.

Sehingga hari ini, Shukri masih tidak tahu siapa yang menganiayanya, namun beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada dendam.

“Selepas kejadian itu, saya ditukarkan ke ibu pejabat SPRM namun saya tidak gentar sebaliknya terus berkhidmat dalam SPRM,” tegasnya.

Mengenai rancangannya selepas bersara, Shukri berkata, beliau belum ada sebarang perancangan namun matlamatnya sudah tercapai dan beliau tidak akan kembali kepada SPRM lagi.

“Saya ada terima beberapa tawaran tetapi belum putuskan. Saya mungkin jadi pesara sepenuh masa. Sekarang saya akan fokus selesaikan tugas saya sehingga Oktober ini, masih ada banyak kerja yang perlu diselesaikan sebelum bersara,” katanya.