Bagaimana rasanya pada majlis sambutan Deepavali, kita hadiahkan daging lembu kepada pemimpin yang menyambut perayaan berkenaan?
Sudah tentu akan kecoh dan akhbar seperti The Star yang dimiliki MCA akan memainkan isu ini habis-habisan.
Akan banyaklah modal Datuk Wong Chung Wai yang pernah mendakwa dirinya “Cina Baru” sekitar 1997-1998 - ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri - gembar gemburkan kritikan terhadap Melayu dan Islam.
Bukan penulis sahaja merasakan perasaan seperti ini tetapi bacalah apa yang tertera melalui http://www.malaysiaaktif.com berikut:
Sikap The Star terhadap pencerobohan Majlis Aidilfitri PM
Kopitiam Talk
7 Oktober 2008
TIDAK ada kutukan dari akhbar The Star terhadap tindakan Hindraf menceroboh Majlis Terbuka Hari Raya Perdana Menteri di PWTC baru-baru ini, malah berita mengenainya diperkecil-kecilkan oleh akhbar ini, tidak di besar-besarkan seperti ia membesarkan pencerobohan terhadap kuil Hindu, penahanan Teresa Kok dan wartawan akhbar Sin Chew Daily atau pemusnahan kawasan pertanian haram orang Cina.. Pencerobohan terhadap hari kemuliaan Islam itu tidak kurang sensitifnya kepada orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia. The Star yang mendakwa sebagai akhbar nasional dan suara rakyat secara bijak mempromokan isu-isu bersifat perkauman bukan Melayu. Baginya sesuatu masalah atau isu mengenai kepentingan Melayu bukan isu nasional. Bagi Star pencerobohan terhadap majlis hari raya orang Islam tidak ada nilai kepentingan keselamatan negara dan maruah nasional. Bayangkan bagaimana layanan berita yang akan diberikan oleh The Star kalau orang Melayu pergi menyembelih lembu di majlis Deepavali. Tidak ada rakyat Malaysia yang rasional yang merestukan apa yang dilakukan oleh Hindraf pada hari kemuliaan orang Islam, tetapi Star menjadi tidak rasional apabila melihat isu kepentingan agama Islam. Benar kata bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad bahawa isu-isu sensitif kepada orang Melayu apabila dihebohkan oleh orang Melayu dianggap sebagai rasis, tetapi perjuangan perkauman bukan Melayu dianggap sebagai isu nasional. Akhbar ini adalah akhbar yang dikuasai oleh MCA. Presidennya Ong Ka Ting cukup cepat menunjukan akhbar Melayu sebagai perkauman apabila membangkitkan pencerobohan terhadap sosial kontrak, tetapi dia tidak dapat melihat bagaimana akhbarnya sendiri melanggar dasar dasar yang menjadi asas kepada perpaduan nasional. Kita ingin bertanya kenapa The Star membisu seribu bahasa terhadap tindakan Hindraf menajiskan Majlis Hari Raya Idilfitri yang diberikan oleh Perdana Menteri? Kenapa Star memperkecilkan pekara ini? Pada zaman pemerintahan Tun Mahatir akhbar ini telah menjalankan jarum perkaumannya dengan menggunakan bekas Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman sebagai perisainya, tetapi akhirnya kerajaan terpaksa menggantung pengedarannya beberapa bulan kerana mengapikan isu perkauman. Berikutan dengan itu anggota-anggota jabatan pengarangnya bertempiaran lari ke Hong Kong, Singapura dan Amerika. Pada masa itu timbul cadangan untuk orang Melayu mengambilalih The Star tetapi rancangan ini dibatalkan kerana sifat-sifat toleransi UMNO dan kerajaan. Bagaimanapun keadaan ini menjadi lebih buruk dalam masa pemerintahan Abdullah Badawi. Satu-satunya akhbar Inggeris yang masih di miliki oleh UMNO iaitu NST telah dibiarkan dikuasai oleh orang orang India yang kuat Hindunismenya. Beberapa orang Melayu diberikan kedudukan penting dalam jabatan pengarang NST tetapi mereka hanya menjadi boneka kepada orang India yang beragama Hindu dan juga keturunan India Islam. Sebenarnya tidak ada lagi akhbar perdana bahasa Inggeris di Malaysia yang menjadi suara berani orang Melayu. Nasionalisme dan idealisme yang cuba dibangunkan oleh Tan Sri Samad Ismail setelah berjaya meMalaysianisasikan NST telah hancur sama sekali. Abdullah Badawi telah menyempurnakan kehancuran ini.
MUNSYI ABDULLAH