Thursday, March 9, 2017

Penyelewengan Hartanah Bumiputera - SPRM Tahan EXCO Johor


Exco kerajaan negeri Johor Datuk Abd Latif Bandi, hari ini ditahan ketika menghadirkan diri untuk soal-siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat di Johor Baharu, pagi tadi berhubung skandal tanah.

Portal The Star Online memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang kebetulan berada di ibu pejabat akhbar itu di Petaling Jaya sebagai mengesahkan penahanan berkenaan.

Abdul Latif adalah exco atau pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Johor dan memilih untuk bercuti sementara menunggu siasatan kes itu.

Pada 25 Februari lalu, anak exco itu dan pegawai khas beliau ditahan oleh SPRM dalam satu serbuan.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.


Sebanyak 45 akaun bank milik bersama kesemua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.

Pada 28 Februari pula, SPRM turut menahan seorang lagi kontraktor lelaki dipercayai suspek ketujuh dalam kes berkenaan.

Laporan Bernama pada 26 Februari lalu menyebut enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam Johor yang ditahan semalam kerana disyaki terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu, dipercayai terbabit dalam penukaran status rumah-rumah bumiputera kepada bukan bumiputera.

Menurut sumber, aktiviti penukaran status itu dipercayai dibuat sejak tahun 2013 yang melibatkan beberapa pemaju di Johor sehingga menyebabkan mereka yang layak untuk mendapat rumah status bumiputera tidak mampu untuk membeli rumah.

"Penukaran status itu dilakukan kerana apabila rumah-rumah berstatus bumiputera ditukar kepada bukan bumiputera, harga sesebuah rumah itu akan meningkat sebanyak beberapa kali ganda daripada harga asal.

"Ini sekali gus akan menguntungkan pihak pemaju dan mereka yang terlibat dalam aktiviti itu tetapi yang terseksa adalah masyarakat yang ingin memiliki rumah sendiri," katanya .

Mengulas mengenai penahanan Abdul Latiff, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin berkata beliau menyerahkannya kepada SPRM.

“Saya ialah, kita bersimpati tapi saya percaya kita serah kepada SPRM  supaya kita dapat capai keadilan dalam soal ini (rasuah dan penyelewengan hartanah).

“Itu komen saya,” katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas  menghadiri sidang DUN di Kota Iskandar, Johor Baharu, pagi ini.

Mengenai soalan lain jika penahanan itu akan memberi kesan kepada Umno Johor, beliau berakata: "Tak perlu tanya... baru sahaja kan?”

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu telah mula bercuti pada 1 Mac lalu untuk suatu tempoh yang belum diputuskan.


Susulan cuti Abd Latif, Mohamed Khaled semalam  mengumumkan penyusunan semula tiga portfolio Exco kerajaan negeri Johor berkuatkuasa Ahad ini di mana jawatan Abd Latif akan dipangku Datuk Md Jais Sarday.

Difahamkan, Abdul Latif mengambil cuti selepas anak lelaki dan pegawai khasnya ditahan SPRM dalam operasi pada pagi 28 Februari lalu.

Turut ditahan dua pemaju, masing-masing seorang peguam dan orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal sama di Johor.
Khaled, apabila diminta mengulas mengenai penahanan seorang Ketua Pemuda Umno bahagian Johor, berkata ia tidak berkaitan.

Semalam, seorang ketua Pemuda Umno bahagian di Johor ditahan reman bersama teman wanitanya bagi membantu siasatan bersabit kes penipuan tawaran memiliki Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ)
Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan tahanan reman selama tiga hari terhadap suspek yang berumur 41 hingga 43 tahun bermula semalam sehingga Jumaat.

Kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam penipuan tawaran memiliki RMMJ melibatkan empat mangsa dengan jumlah kerugian RM120,000 sejak tahun lalu.
3.6K