Suspek ditahan di pejabatnya semalam. |
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong
Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaludin Elias pagi tadi.
Lelaki berusia 56 tahun itu dibawa ke pekarangan lokap
Kompleks Mahkamah Alor Setar di pukul 10.10 pagi dengan diiringi oleh
pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa keluar
dari kompleks mahkamah itu kira-kira pukul 11 pagi.
SPRM menahan penjawat awam itu di rumahnya di Kampung Sungai Daun, Alor Setar
pukul 11.30 pagi semalam selepas dipercayai melakukan kesalahan terbabit
membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil
daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Seksyen 17(a) ASPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara
tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan,
mengikut mana lebih tinggi.
Bagi AMLATFPUAA 2001 pula, akta tersebut memperuntukkan
hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali
ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.
Suspek ditahan oleh SPRM semalam. |
Menurut sumber, SPRM sudah merakamkan
percakapan seramai 12 individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik,
kakitangan jabatan berkenaan dan tujuh orang kontraktor.
"Suspek dipercayai melakukan kesalahan terbabit
sejak 2012 dan siasatan kini tertumpu kepada beberapa kontraktor kroni dan
mengenal pasti jumlah sebenar wang suapan yang diterimanya sejak memegang
jawatan itu empat tahun lalu.
"Sekiranya kontraktor terbabit tidak mahu membayar
wang rasuah, suspek akan menyenaraihitamkan mereka. Suspek akan meminta rasuah
menerusi aplikasi WhatApps dari syarikat yang dilantik menerusi permohonan
sebut harga," katanya.
Sumber berkata, pembayaran rasuah kepada suspek akan
diberi secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau di dalam
kenderaan milik suspek.
"Siasatan awal mendapati suspek sudah
menganugerahkan sebanyak 28 projek kepada tujuh kontraktor yang ada kepentingan
bernilai RM650,000.
"SPRM juga dikatakan telah menyita fail yang ada
kaitan dengan projek kerja naik taraf jalan di daerah Sik pada 2016,"
katanya.
SPRM juga sedang menyiasat jumlah wang suapan yang telah
diterima oleh suspek dan suspek dipercayai telah menerima wang suapan daripada
sekurang-kurangnya enam kontraktor di negeri ini sejak mula memegang jawatan
itu empat tahun lalu.
Difahamkan, suspek akan menghubungi dan meminta rasuah
daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan projek menerusi aplikasi WhatsApp
atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menetapkan jumlah, lokasi dan waktu
untuk menyerahkan wang rasuah setelah syarikat mereka dilantik menerusi
permohonan sebut harga .
Menurut sumber lagi, SPRM telah menyita fail-fail sebut
harga bagi projek kerja di Daerah Sik, Kedah pada 2016 ketika melakukan
penggeledahan di pejabat suspek pada jam 8.30 pagi.