Monday, November 3, 2008

TERENGGANU ATAU MARANG LEBIH PENTING?

Oleh Putera Gunung Tebu

Datuk Ahmad Said tiada kuasa memaksa sesiapa pun untuk tidak bertanding Ketua Bahagian UMNO.

Tetapi tidak bolehkah beliau menasihatkan mereka?

Soalnya apakah Exconya mahu memberi tumpuan kepada pembangunan Terengganu atau satu bahagian sahaja?

Dan untuk apa memegang banyak jawatan? Demi akar umbi atau demi kedudukan peribadi?

Maka berkatalah Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, "Ahli-ahli Umno tidak boleh dihalang daripada bertanding jika mereka layak.”

Kemudian kononnya rata-rata pemimpin Umno menyifatkan tindakan Ahmad mahu menggugurkan Ahli Exco negeri yang bertanding merebut jawatan ketua bahagian Umno pada pemilihan baru-baru ini disifatkan membelakangkan perlembagaan parti.

Ahmad sudah menyatakan mahu menggugurkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Yahya Khatib Mohamad, dan dua lagi Ahli Exco dalam rombakan Exco kerana mengingkari nasihatnya supaya tidak bertanding merebut jawatan utama pada pemilihan Umno bahagian.

Sambil mahu Yahya meletak jawatan, Ahmad kelmarin menegaskan Ahli Exco itu 'degil' kerana tidak mendengar nasihatnya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Yang menariknya Ketua Umno Bahagian Marang itu menegaskan: "Saya bersedia dengan apa juga tindakan, daripada melihat Umno Marang hancur."

Ini membawa erti, kalau dia tidak menjadi Ketua UMNO Bahagian itu, UMNO akan hancur.
Apakah selama ini UMNO Marang tidak bergolak?

Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, Alias Abdullah yang mulanya mahu bertanding Ketua tetapi membuat persefahaman dengan Yahya berkata, Yahya akur segala kemungkinan termasuk jika Ahmad tidak berganjak untuk menggugurkan beliau daripada barisan Exco, kerana beliau diberi kepercayaan tinggi oleh ahli peringkat akar umbi yang mahu melihat perubahan kepemimpinan pada Umno bahagian itu.

Bagaimanapun, Alias yang juga pengamal perundangan berkata, walaupun Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menggugurkan anak buahnya daripada barisan Exco, beliau masih perlu mendapatkan restu dan perkenan daripada pihak istana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat itu berkata tindakan Ahmad Said itu jelas menghalang amalan demokrasi dalam Umno dan menafikan hak serta kehendak ahli akar umbi.

Alias turut mempersoalkan tindakan Ahmad yang tidak menghalang dan mempertikaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat yang bertanding jawatan timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu menentang Datuk Rosol Wahid.

Kita tinggalkan sementara pendirian Exco berkenaan tetapi menasihati Ahli Exco jangan bertanding Ketua Bahagian bukanlah tidak ada precedent.

Jadi tidak timbul soal memaksa sesiapa tetapi hanya menasihat dan jika ada yang mahu bertanding juga, mereka sebenarnya tidak melanggar disiplin parti/
Kenapa beliau menasihat?

Ada beberapa perkara di sini yang perlu difikirkan:

1. Ketika Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar Kedah, beliau pernah mengeluarkan arahan supaya Exconya tidak bertanding Ketua Bahagian dan jika mahu bertanding, letak jawatan. Exco berkenaan letak jawatan dan menang. Beliau dilantik semula. Kenapa Yahya tidak mengambil pengajaran daripada kes ini untuk mengelak dicop sebagai mengingkari nasihat Menteri Besar yang juga berperanan melantiknya sebagai Exco?

2. Sejak adanya krisis pemilihan calon pilihan raya umum lalu, pergolakan politik begitu kuat di kalangan pemimpin UMNO dan jika apa pertandingan peringkat Bahagian UMNO, ini akan ‘melukakan lagi UMNO’ yang sudah berdarah;

3. Isu pelantikan Menteri Besar juga memberikan kesan kepada UMNO Terengganu yang masih belum reda sebenarnya dan sebarang pertembungan merebut jawatan di Bahagian akan menyebabkan ‘luka luka lama berdarah kembali”;

4. Nasihat bukanlah sesuatu yang tidak wajar dipatuhi. Walaupun bersifat larangan, sewajarnya Exco Kerajaan Negeri patuhilah ‘nasihat’ berkenaan. Untuk apa banyak-banyak jawatan sedangkan yang penting ialah berkhidmat untuk negeri bukan bahagian sendiri semata-mata.

5. Kalaupun benar “Marang Akan Hancur’, Abdul Rahman bukan orang baru dan beliau pastinya tahu selok belok untuk memperbetulkan keadaan dengan syarat semua pihak duduk semeja. Dengan menyalahkan orang lain, masalah bersama tidak akan selesai.

6. Apa jaminan Ketua Bahagian baru untuk menjadikan Marang tidak bergolak? Dengan slogan ‘Marang Baru’ itu, apakah beliau boleh menjamin tidak timbul lagi pergolakan?

7. Ahmad sudah dapat merasakan jika Exconya bertanding sudah pasti mereka akan menggunakan jentera kerajaan. Ini tidak sewajarnya berlaku kerana Menteri dan Timbalan Menteri turut diarahkan jangan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

Soalnya kalau benar kata-kata Rahman bahawa Yahya sudah berjanji dengannya dan juga Menteri Besar, untuk tidak akan bertanding tetapi kemudian melakukan sebaliknya, ia adalah perbuatan kurang bijak.

Perbuatannya itu bukan sahaja sebagai suatu pengkhianatan tetapi juga sengaja melakukan sesuatu dengan sebab-sebab tersendiri untuk menggugat Menteri Besar.

Apakah perbuatan mementingkan diri serta mengkhianati janji, selain tidak ‘hormat dan patuh kepada nasihat bosnya’ tidak layak untuk beliau digugurkan.

Kalau benar Yahya ada maruah dan sedar melakukan kesilapan, undurlah cara terbaik dan jayakanlah manifesto ‘Marang Baru’ sebaik-baiknya agar Marang tidak hancur.

Dengan cara ini bukan Marang sahaja tidak hancur tetapi UMNO juga tidak berpecah-belah kerana kewujudnya dalam Barisan Exco bagaikan ‘unta masuk kampung’ selepas apa yang beliau cuba ‘tegakkan benang basah’ mengenai keenganannya menuruti nasihat Ketua Perhubungan UMNO Terengganu itu!