Sunday, July 4, 2010

AWANG SELAMAT & NAPOLEON

Mingguan Malaysia (4 Julai 2010)

Tulisan Awang bertajuk KSU paling berkuasa... dalam ruangan ini minggu lalu mengundang perhatian banyak pihak. Ramai yang ingin tahu siapakah KSU yang dimaksudkan. Ada yang meminta agar didedahkan nama KSU itu dalam tulisan kali ini.

Seperti yang dinyatakan minggu lalu, Awang tidak berhasrat menamakan KSU berkenaan. Itu bukanlah tujuan sebenar. Awang tidak mahu mengaibkan sesiapa. Ia sekadar mahu membuka mata semua pihak tentang adanya seorang KSU yang kelihatan begitu berkuasa dan membuat banyak percaturan mengikut apa yang beliau suka.

Siapa yang makan cili dia yang terasa pedas. Kepada kebanyakan KSU, usahlah gundah kerana mereka diakui menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik, cekap dan profesional.

Pada Awang, yang dilihat menjadi maharaja atau Napoleon kecil cuma seorang.

Pejabat Awang turut menerima panggilan daripada seorang pegawai yang mewakili pihak atasan (bukan menteri atau pemimpin politik). Pegawai itu yang mendapat arahan daripada bosnya mahu tahu siapakah KSU yang dimaksudkan.
Pegawai yang sama membayangkan bahawa bosnya tidak senang dengan tulisan itu. Katanya lagi, kesemua KSU kecewa. Sama ada ia benar atau tidak, tidak dapat dipastikan.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Di Malaysia, ternyata kita mudah melatah apabila ada aduan dan maklum balas sedemikian. Malah kita lebih cenderung mengambil sikap tidak berpuas hati.

Lain keadaannya dengan budaya perkhidmatan awam di beberapa negara maju. Di Jepun misalnya, para pemimpin perkhidmatan dan jabatan awam akan merasa tidak gembira jika mereka kurang menerima kritikan dan aduan.

Mereka bukan sahaja sentiasa positif bahkan mahu menjadi lebih relevan dengan mengurus banyak kritikan demi kepentingan rakyat dan pengguna. Apakah pimpinan perkhidmatan awam hanya mengharapkan pujian semata-mata, yang Awang harap tidak begitu. Kalau pegawai peringkat sederhana, rendah dan kakitangan awam diasak untuk berubah dan mendokong integriti serta profesionalisme, bagaimana pula mereka?

Dalam pada itu, Awang berharap sesiapa yang berkenaan dapat memantau pegawai kanan seperti KSU yang bermasalah dengan pendekatan lebih pro aktif dan menerusi mekanisme tertentu. Janganlah hanya menunggu keluhan dan maklum balas menerusi media baru mahu bertindak.

Dalam kes KSU berkenaan, cakap-cakap negatif mengenainya sudah lama kedengaran tetapi seolah-olah tidak diberi perhatian. Siasat dan nilailah. Jika tidak benar, Awang yang sekadar membawa keluhan banyak pihak, sedia memohon maaf. Tetapi jika benar, buatlah apa yang wajar. Awang sudah tolong lontarkan isu tersebut, carilah sendiri jawapannya dengan hati yang lapang dan dada terbuka.

Baca tulisan asal Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia 27 Jun 2010:

KSU paling berkuasa...

SEBENARNYA sudah lama Awang mahu lontarkan hal ini. Tentang seorang Ketua Setiausaha (KSU) di sebuah kementerian yang dikatakan begitu berkuasa sehingga membuat banyak percaturan mengikut apa yang beliau suka.

Ramai yang resah, kecewa dan marah dengan tindak-tanduk beliau termasuk daripada kalangan pegawai dalaman. Malah ada yang membuat dakwaan serius terhadap KSU berkenaan, yang melibatkan soal integriti dan kecelaruan tadbir urus. Khabarnya, jika dibuat undian sulit di kalangan pegawai dan kakitangan semua peringkat di kementerian tersebut apakah wajar KSU itu dikekalkan, keputusannya pasti majoriti mahukan perubahan.

Itulah maklum balas yang Awang terima sejak tahun lepas lagi. Cakap-cakap dan desas-desus mengenai beliau makin banyak, sebahagiannya agak panas. Malah ada yang mendakwa KSU berkenaan dikatakan bijak memanipulasi keadaan agar segala keputusan sentiasa memihak kepada percaturan beliau.

Tetapi adalah tidak adil untuk menjatuhkan rumusan apatah lagi hukuman tanpa memberi beliau peluang membuat penjelasan dan membela diri. Mungkin ia lebih kepada persepsi dan salah tanggapan. Namun dalam kita mendokong integriti, segala maklum balas berkaitan beliau tidak harus diambil ringan.

Apakah motif Awang bangkitkan hal ini? Awang hanya menyalurkan suara keluh kesah dan aduan banyak pihak selain mahu melihat sistem penyampaian yang berkesan seperti yang sentiasa ditekankan oleh Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak.

Mana-mana KSU tidak seharusnya menjadi maharaja atau Napoleon kecil, yang hanya akan menjejaskan lagi imej pentadbiran kerajaan. Mereka harus tahu batas kuasa dan benar-benar menerapkan akauntabiliti.
Siapakah KSU yang dimaksudkan? Awang tidak bercadang untuk mendedahkan namanya. Awang percaya dengan secebis kisah kecil ini, mungkin ada yang boleh bayangkan siapakah KSU berkenaan? Terserah kepada tafsiran masing-masing.