Sunday, January 15, 2017

Pengarah JANS Rayu Jaminan RM12 Juta DiKurangkan, KSU & Anak DiBebaskan...


Peguam bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya, Fauziah Piut dijangka memfailkan rayuan terhadap perintah ikat jamin sebanyak RM12 juta yang dikenakan terhadap mereka pada 20 Januari depan.

Difahamkan, peguam tertuduh akan mengemukakan rayuan itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bersama surat tunjuk sebab.

Sementara seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian bergelar 'Datuk' dan seorang anaknya yang direman 11 hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan hari ini.

Mahkamah Magistret di Putrajaya membenarkan lelaki berusia 59 tahun dan anak lelakinya yang berumur 34 itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas reman ke atas mereka tamat hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan KSU itu dibebaskan dengan jaminan RM200,000 manakala anaknya RM25,000.

KSU  dibebaskan Mahkamah Magistret di Putrajaya.
Dalam kes Skandal Air Sabah, pada hujung bulan lalu, peguam pasangan itu, PJ Pareira berkata beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Januari bagi pihak Ag Mohd Tahir yang didakwa dengan 12 tuduhan anti pengubahan wang haram dan Fauziah yang menghadapi 19 tuduhan yang sama.

"Kami berhasrat untuk meneruskan perkara ini kerana ia adalah mustahil bagi anak buah saya mendapatkan jumlah wang ikat jamin mereka," katanya.

Beliau berkata, Ag Mohd Tahir dan isterinya tidak dapat mencagarkan mana-mana harta mereka yang telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ag Mohd Tahir mengaku tidak bersalah terhadap lapan tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam empat akaun bank, dua tuduhan memiliki secara salah enam kenderaan mewah dan satu tuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersama-sama isterinya, Fauziah, terhadap dua tuduhan memiliki secara salah barang kemas, manakala Fauziah dikenakan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Peng, 62, yang digantung tugasnya, menghadapi satu tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan tiga tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara dalam kes KSU yang dituh rasuah pula, beliau dan anaknya sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 4 hingga 11 Jan lalu dan disambung selama empat hari lagi sehingga hari ini.

KSU ketika dibawa ke mahkamah pagi ini.
Mahkamah sebelum ini mengeluarkan arahan reman ke atas suspek dan dua anaknya bagi tempoh tujuh hari.

Pada Rabu lepas, mahkamah membebaskan seorang lagi anak lelaki KSU tersebut yang berusia 29 tahun dengan jaminan RM10,000 selepas siasatan ke atasnya selesai.

Terdahulu, KSU dan anaknya itu dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira 11 pagi berpakaian biasa dengan wajah masing-masing ditutupi baju.

KSU itu ditahan dirumahnya di USJ, Subang, Selangor pada 8 pagi, manakala dua anaknya ditahan selepas memberi keterangan di ibu Pejabat SPRM, hari yang sama.

Dua anak lelaki KSU itu merupakan pengarah urusan dua syarikat berbeza.


Ketiga-tiga individu itu yang ditahan pada 4 Jan lepas disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

mStar & Berita Harian