Monday, October 7, 2013
Nasi Kangkang Masih DiAmalkan Di Dungun?
Kisah nasi kangkang bukan cerita dongeng, sebaliknya sihir itu masih lagi menjadi amalan segelintir kecil wanita untuk mencapai matlamat songsang mereka.
Seperti pasangan suami isteri dari Dungun yang dirawat kelmarin, mereka terkena nasi kangkang yang diberikan seseorang sehingga pasangan ini jadi saling membenci dan apa yang kita boleh lihat, matlamat penyihir mungkin untuk merampas suami atau harta atau mahu melihat keluarga ini hancur akibat hasad dengki dengan kebahagiaan keluarga ini.
Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, Datuk Shamsuri Safie mendedahka, berdasarkan pengakuan mangsa yang kedua-duanya bekerja sebagai polis, bukan sahaja mereka sekeluarga terkena sihir itu, malah seluruh penghuni di blok sama dengan rumah mereka turut mengalami nasib sama apabila kesemuanya saling berbalah.
Menyedari sesuatu yang aneh, pasangan terbabit masing-masing berumur 43 dan 41 tahun membuat keputusan berpindah dari kawasan perumahan itu sejak dua bulan lalu sebelum mendapatkan rawatan secara Islam sempena Rawatan Perdana Pusat Rawatan Islam At-Tobibi di Surau As-Soliheen, Taman Desa Solehah, Kampung Mak Chili Paya, di Kemaman, kelmarin.
Katanya, perasaan hasad dengki sangat bahaya, justeru masyarakat Islam diingatkan supaya berhati-hati daripada menerima apa-apa termasuk makanan daripada individu mencurigakan, di samping mengamalkan membaca ayat suci al-Quran dan doa pelindung sebelum menjamah makanan.
Bagaimanapun, sepanjang pengalaman beliau merawat ramai pesakit, Shamsuri berkata, tidak ramai yang terkena sihir nasi kangkang berikutan amalan itu hanya dipelajari daripada keturunan dan mempunyai jampi atau mantera khusus.
Shamsuri berkata, ada antara pengamal nasi kangkang sudah insaf seperti yang berlaku pada seorang warga emas di Johor yang bertaubat pada usia 63 tahun selepas dia diuji dengan kematian suami dan enam anaknya silih berganti.
“Kes ini terjadi pada 2005, nenek ini mula menjadi bomoh nasi kangkang sejak berusia 32 tahun dan ketika itu, ramai wanita datang berjumpanya bagi mendapatkan nasi kangkang hingga yang paling dahsyat, ada isteri sanggup meletakkan darah haid ke dalam nasi.
“Suami nenek ini turut terkena sehingga menjadi bodoh dan disepak terajang olehnya, namun selepas diuji dengan kemiskinan dan kematian suami serta anak-anak, nenek ini berfikir selama tiga tahun untuk meninggalkan perbuatan syiriknya dan akhirnya dia bertaubat,” katanya.
Pada program rawatan perdana itu, kira-kira 150 pesakit dari seluruh Terengganu termasuk dari Kuantan, Pahang hadir untuk mendapatkan rawatan dan ramai antaranya mengalami masalah sakit misteri.
Pengerusi Surau As-Soliheen, Mohd Kamal Shafie berkata, program rawatan perdana itu adalah yang kedua diadakan dan dijadikan sebagai aktiviti surau setiap bulan.
Program seterusnya akan diadakan pada 2 November depan bermula jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang dan sehari sebelumnya iaitu pada Jumaat rawatan akan diadakan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Kerteh 6 bermula jam 2.30 hingga 6.30 petang.
Mereka yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi talian 013-2898296 untuk maklumat lanjut.
Sinar Harian
Subscribe to:
Posts (Atom)