Monday, July 12, 2010

KERAJAAN SELANGOR ABAI KEBAJIKAN BELIA

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kesal dengan sikap kerajaan Selangor yang dikatakan tidak memberi sokongan kepada persatuan dan pertubuhan belia di negeri itu melaksanakan aktiviti mereka.

Beliau berkata, pihaknya mendapat banyak aduan daripada persatuan belia bahawa mereka mengalami kesukaran untuk menyewa kemudahan seperti bangunan dan dewan dan turut dikenakan sewa yang lebih tinggi berbanding ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri itu.


"Mereka (kerajaan negeri) tidak boleh diskriminasi kerana bukan mereka yang bina kemudahan itu...sekarang dia rasa dia ada kuasa dan tidak memberi kemudahan kepada persatuan belia dengan mengenakan caj lebih mahal.

"Kerajaan Persekutuan dah buat stadium baru, padang baru tetapi kita tidak nampak mereka buat perkara yang sama," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Hari Belia Selangor dan melancarkan Kempen 1Belia 1Malaysia di Kuala Selangor, malam semalam.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata, kementerian akan mengumpul maklumat untuk mencari aternatif lain bagi membolehkan persatuan belia di negeri itu menjalankan program mereka tanpa kekangan daripada kerajaan Selangor.

Noh ketika mengenai perkara itu berkata, pertubuhan belia seperti Majlis Belia Selangor (MBS) ditubuhkan ketika BN memerintah dan pada masa itu MBS diberi peruntukan RM1 juta untuk melaksanakan aktiviti belia serta diberi kebenaran menggunakan kemudahan secara percuma.
"Sekarang ini, saya difahamkan MBS terpaksa bayar sewa di bangunan kompleks belia sebanyak RM4,000 sebulan dan setakat ini kerajaan negeri tidak beri apa-apa peruntukan pun kepada MBS," katanya.

Terdahulu ketika berucap merasmikan perhimpunan itu, Ahmad Shabery berkata, kementerian merancang mengadakan sambutan hari belia tahun depan lebih awal bagi membolehkan setiap negeri mengadakan sambutan hari belia masing-masing sebelum kemuncak sambutan peringkat kebangsaan diadakan.

"Perancangan ini bagi membolehkan kita mengumpul seramai satu juta belia untuk meraikan sambutan hari belia peringkat kebangsaan di Putrajaya tahun depan.

"Kita nak golongan belia faham bahawa ada satu tempat yang begitu tepat untuk mereka berkumpul dan melakukan aktiviti," katanya.

KERAJAAN SELANGOR GAGAL TURUNKAN KADAR CUKAI PINTU

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional membidas tindakan kerajaan Selangor yang belum mengotakan janji untuk mengurangkan kadar cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus yang dibuat pada pilihan raya umum lalu.

ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus, berkata walaupun sudah lebih dua tahun mentadbir Selangor, kerajaan pakatan pembangkang masih tidak dapat memberi jaminan bila rakyat Selangor akan menikmati pengurangan cukai itu.


"Kerajaan negeri Pakatan Rakyat membuat janji ini dan itu dalam manifesto pilihan raya, tetapi tidak beritahu bila ia akan dilaksanakan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Di Shah Alam.

Terdahulu, pada persidangan DUN itu, Ronnie Liu Tian Kiew (DAP-Pandamaran), berkata kerajaan negeri masih mengkaji sama ada akan menurunkan kadar cukai pintu kerana kedudukan kewangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) belum kukuh.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri bercadang menurunkan kadar cukai pintu seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

Ronnie berkata, berdasarkan Penyata Kewangan PBT sehingga 31 Disember 2009, analisis terhadap baki tunai berbanding purata perbelanjaan bulanan PBT Selangor mendapati hanya lima PBT yang mampu beroperasi jika cukai pintu tidak dikutip iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya.

"Manakala tujuh PBT lain tidak dapat menampung operasi sekiranya tiada cukai dikutip dalam tempoh setahun," kata ahli EXCO itu yang bertanggungjawab terhadap PBT di Selangor.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang mengambil langkah memastikan kutipan cukai pintu semasa mencapai sasaran 90 peratus dan tunggakan cukai dikutip sehingga 70 peratus.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata, beliau tidak dapat memberi jaminan bila rakyat Selangor akan menikmati pengurangan cukai seperti yang dijanjikan kerana ia bergantung sepenuhnya kepada jumlah peruntukan kewangan kerajaan negeri.