Wednesday, August 31, 2016

Gagalkan Serangan Daesh Di Ambang Merdeka – Terima Kasih Polis


Mengejutkan apabila mengetahui ada cubaan disyaki anggota Daesh.untuk melancarkan serangan pada malam Ambang Merdeka.

Sewajarnya kita berterima kasih kepada polis kerana berjaya menggagalkan rancangan Daesh itu apabila tiga rakyat tempatan ditahan.

Mereka ditahan oleh Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman di sini, Selangor dan Pahang antara 27 dan 29 Ogos.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata hari ini ketiga-tiga suspek yang berumur antara 20 dan 27 tahun ditahan di ibu negara, Selangor dan Pahang menerusi operasi yang dijalankan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas.

Khalid mengesahkan ketiga-tiga mereka adalah warga negara Malaysia yang menganggotai sel yang sama.

Menurut polis, mereka menerima arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Kuala Lumpur, Kuil Hindu di Batu Caves, Selangor serta balai polis atau mana-mana anggota polis.

Serangan akan dilakukan dengan menggunakan bom tangan atau senjata api pada malam Ambang Merdeka 2016.

Menurut kenyataan oleh Khalid hari ini, polis turut merampas sebutir bom tangan jenis K75, sepucuk pistol jenis CZ 2075 RAMI serta 24 butir peluru berukuran 9mm daripada suspek yang ditahan di Selangor.

"Tangkapan pertama 27 Ogos lalu membabitkan seorang pemandu lori berusia 20 tahun di Selangor.


Sebutir bom tangan jenis K75, sepucuk pistol jenis CZ 2075 RAMI dan 24 butir peluru berukuran 9 milimeter (MM) turut dirampas daripadanya.

"Senjata api itu dipercayai dihantar oleh orang perantaraan (kurier) Mohamad Wanndy di negara ini," katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan Bukit Aman, tadi.

Katanya, suspek kedua yang juga penjual daging berusia 27 tahun ditangkap dalam operasi di Pahang, manakala suspek ketiga berusia 20 tahun yang bekerja sebagai penjual air ditangkap di Selangor.

Kedua-duanya ditahan pada 29 Ogos lalu.

Menurut Khalid, ketiga-tiga suspek didapati merancang pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas IS di bawah pimpinan Mohamad Wanndy di sana selepas berjaya melancarkan serangan itu.


Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).