Sunday, October 11, 2009

BN ada peluang cerah tawan DUN Bagan Pinang - Penganalisis politik

Sumber: mStar

Proses berkempen sudah tamat. Pagi ini, mulai jam 8.00 pagi akan bermula pengundian.

Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan diadakan hari ini.

Beberapa penganalisis politik tempatan berpendapat PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil ini tidak berjaya menimbulkan keraguan kepada pengundi walaupun menggunakan faktor isu peribadi calon BN dan pembangunan setempat.

Bagi Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein, beliau meramalkan kemenangan bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang akan berpihak kepada BN berdasarkan beberapa faktor.

Pertamanya menurut beliau faktor calon yang popular dan diterima penduduk tempatan memberikan kelebihan kepada BN.

"Secara dasarnya kita menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada BN walaupun calonnya pernah menghadapi masalah dalam laluan politiknya sebelum ini.

"Rakyat Negeri Sembilan khususnya di Bagan Pinang pastinya akan mengenangkan jasa dan sumbangannya kepada penduduk setempat dengan membawa banyak pembangunan," katanya kepada mStar Online.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN yang diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dan PAS diwakili Pesuruhjaya negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal September lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Tambah Ahmad Atory, berdasarkan hasil kajiannya terhadap trend pengundian bagi pengundi di kawasan Pantai Barat semenanjung Malaysia, rakyat lebih mengutamakan faktor calon yang mampu membawa kemajuan dari segi pembangunan.

Jelasnya keadaan ini berbeza dengan pengundi bagi kawasa Pantai Timur yang lebih mementingkan faktor agama.

"Jadi di sini jelas bahawa Mohd Isa telah terbukti dari segi keupayaan kepimpinannya untuk membangunkan Negeri Sembilan Port Dickson.

"Namun faktor ini masih belum dapat dibuktikan oleh calon PAS... ini mungkin menjadi faktor penyekat untuknya," katanya.

Ditanya sama ada faktor sejarah politik Mohd Isa seperti yang dibangkitkan PAS akan mengubah pendirian pengundi terhadap BN, Ahmad Atory berkata beliau yakin isu tidak tidak begitu memberi kesan kepada BN.

"Mana ada orang yang benar-benar sempurna, memang benar beliau pernah melakukan kesalahan... tapi itu cerita lama.

"Malah kalau kita hitung dari segi sumbangannya kepada rakyat Negeri Sembilan amnya dan penduduk Bagan Pinang khusnya, saya yakin faktor kebaikkan Mohd Isa akan menenggelamkan keburukkannya.

"Inilah kelebihan calon BN kali ini, kalau dalam pilihan raya kecil sebelum ini orang lebih nampak perkara-perkara tidak elok calon BN, tapi kali ini senarionya berbeza... kebaikkan Mohd Isa mengatasi segalanya," katanya.

Selain itu Ahmad Atory juga berkata faktor undi pos di kalangan anggota tentera dan polis juga memberi kelebihan untuk BN.

"Kita tak boleh tolak faktor kelebihan dari segi undi pos ini buat BN, sebab itulah PAS begi memberi perhatian kepada soal ini.

"Saya sangat yakin bahawa secara lazimnya kakitangan kerajaan sudah pasti akan menyokong kerajaan yang memerintah kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kerajaan," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tidak timbul faktor wujudnya penyelewengan dan pecah amanah di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mempengaruhi undi pos hingga memihak kepada BN seperti yang didakwa PAS.

"Saya yakin soal SPR tak telus itu tidak timbul, SPR dan buat kerja mereka dengan baik dan telah melakukan banyak transformasi dari segi pengendalian pilihan raya.

"Tak perlu timbulkan terlalu banyak keraguan terhadap mereka, dalam hidup ini kalau asyik tak percayakan orang sahaja susah juga... susah nak hidup," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik dan Strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman juga berpendapat BN dilihat mempunyai laluan mudah dalam pilihan raya kecil kali ini.

Katanya peluang untuk BN memenangi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang adalah melebihi 50 peratus.

"Ada beberapa faktor yang memberi peluang kepada BN iaitu majoriti penduduk di Bagan Pinang adalah Melayu yang pastinya menyokong Umno.

"Manakala bagi PAS mereka sememangnya mengharapkan undi di kalangan kaum Cina dan India... tapi jumlah itu tidak besar," katanya.

Selain itu, Ahmad Nizamuddin juga berpendapat faktor undi pos akan memihak kepada BN.
"Perkara ini sukar untuk kita sangkal kerana kebiasaannya pengundi pos akan menyokong kerajaan.

"Oleh itu kita tak boleh meletakkan andaian bahawa jika mereka menyokong kerajaan bermakna mereka ini telah ditekan atau menerima ugutan... kebiasaannya kita akan memberi sokongan kepada pemimpin kita," katanya.

Tambah Ahmad Nizamuddin, beliau yang sempat meninjau perjalanan proses berkempen di Bagan Pinang beberapa hari lalu mendapati sokongan penduduk terhadap BN masih kuat.

"Pada zahirnya boleh dikatakan penduduk setempat menyokong BN memandangkan parti itu telah banyak melakukan transformasi mengikut kehendak rakyat.

"Jelas sekali BN telah melalui proses perubahan yang cukup ketara bagi memenangi kembali hati rakyat," katanya.