Wednesday, June 22, 2016

Pelan Integriti PDRM 2016-2020 Ke Arah Kepolisan Bertaraf Dunia


Elok sangatlah...banyak sudah yang dipersoalkan.

Kalau mahu  disenaraikan memang banyak perkara yang diperkatakan mengenai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Berikutan itu amat baik sekali ada pelan integriti untuk PDRM. tetapi ia mestilah dipatuhi bukan untuk publisiti semata-mata.

Kita hanya boleh berharap pelan meningkatkan integriti ke arah peningkatan kapasiti dan kemampuan membanteras jenayah rasuah akan menjadi kenyataan.

Jangan jadi seperti pelan yang lalu – ada – tetapi kebanyakan rakyat Malaysia tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam PDRM itu. jangan hanya meletakkan harapan yang tidak menjadi kenayataan.

Semalam dilancarkan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 bagi memastikan misi mencapai standard perkhidmatan polis bertaraf dunia dapat dilaksanakan sebaiknya.

Khalid berkata pelan berkenaan merupakan kesinambungan kepada Pelan Integriti PDRM yang terdahulu.

Menurutnya,  penambahbaikan pelan ini bertujuan memastikan visi dan misi PDRM direalisasikan dalam mencapai matlamat utama PDRM iaitu memberi perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia kepada masyarakat.

"Saya akur bahawa integriti adalah satu nilai penting kepada sesebuah organisasi seperti PDRM yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran.

http://bcp.crwdcntrl.net/5/c=5593/b=31525197
"Isu integriti bukan semata-mata merujuk kepada isu-isu salah laku atau rasuah tetapi ia turut merangkumi segala amalan positif dalam sesebuah organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani nota kerjasama PDRM dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Institut Integriti Malaysia serta pelancaran buku Kod Etika PDRM, Pelan Integriti PDRM 2016-2020 dan Manual Pematuhan Standard PDRM di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Khalid berkata pelan berkenaan mengandungi enam elemen nilai teras iaitu sifat integriti itu sendiri, bermoral, beretika, keagamaan, kerohanian dan profesionalisme.

"Keenam-enam elemen ini adalah seiring bagi memberi sinergi bagi meningkatkan integriti dan pematuhan standard warga kerja PDRM," katanya.

Khalid berkata ke arah mencapai sasaran itu juga, pihaknya turut memeterai kerjasama strategik dengan tiga agensi, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Arkib Negara menerusi pelaksanaan pelbagai program.

"Menerusi usaha sama dengan SPRM, kami akan berkongsi kepakaran dan maklumat dalam aspek operasi, pencegahan dan latihan selain program meningkatkan integriti ke arah peningkatan kapasiti dan kemampuan membanteras jenayah rasuah.

"Usaha sama dengan IIM pula membabitkan program latihan di samping kajian penyelidikan meliputi kajian keberkesanan untuk melihat hasil program atau aktiviti yang dilaksanakan. Kajian pembangunan juga akan dilakukan dalam membantu meningkatkan integriti dan produktiviti warga pasukan," katanya.