Sunday, July 2, 2017

Isu PATI – Majikan Degil Atau Syarat Kerajaan Tidak Praktikal?

Isu pendatang tanpa Izin (PATI) sukar dibendung jika kerajaan dan pihak yang berkepentingan dengannya tidak bekerjasama dan saling bertelagah.

Antaranya ialah Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pernah mencadangkan PATI sendiri yang mendaftar dengan Jabatan Imigresen, bukannya majikan.

Supaya nanti bila PATI didaftarkan, majikan boleh memohon mengambil pekerja berkenaan, tetapi sistem sebaliknya digunakan.

Juga diperkatakan ialah isu bayaran RM600 untuk permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad).

Apapun, seramai 1,035 PATI  dan 16 majikan ditahan dalam Op Mega Jabatan Imigresen, yang dijalankan di seluruh negara bermula tengah malam hingga 1 tengah hari semalam, selepas tamat tempoh program pendaftaran E-Kad pada Jumaat.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata operasi itu, yang dijalankan di 155 premis dan memeriksa 3,393 orang, menyaksikan Johor mencatatkan penahanan paling ramai iaitu 414 PATI dan tiga majikan.


"Operasi di Kelantan membawa penahanan 147 PATI manakala di Sabah seramai 69 Pati dan empat majikan ditahan,” katanya.

Beliau berkata, operasi di Terengganu pula merekodkan penahanan seramai 64 PATI diikuti Selangor (51), Kuala Lumpur (48), Melaka (46) dan Perlis (41).

Sementara itu,  operasi di Sarawak merekodkan 36 PATI ditahan dan jumlah sama dicatatkan di Perak dengan seorang majikan ditahan manakala di Pulau Pinang melibatkan 23 Pati dan empat majikan. 

Operasi di Negeri Sembilan pula membawa kepada penahanan 23 PATI sementara di Kedah 20 Pati dan satu majikan ditahan.

"Di Pahang, seramai tiga majikan dan 10 PATI ditahan selain operasi di Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan penahanan tujuh PATI,” kata Mustafar. 

Semalam MEF berkata, tindakan mengenakan bayaran RM600 itu antara faktor “membantut” majikan mendaftarkan PATI.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, tiada bayaran dikenakan pada permulaan pelaksanaan sistem pendaftaran E-Kad, sebelum kerajaan mengenakan bayaran itu kepada majikan di peringkat pertengahan.


“Apabila majikan diminta untuk membayar separuh harga proses berkenaan, majikan tidak berminat kerana mereka tak tahu pun sama ada pekerja yang mereka daftarkan itu boleh diambil bekerja semula,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan ketua pengarah Imigresen yang kedegilan majikan memohon E-Kad sebagai punca jabatan itu gagal mencapai matlamat disasarkan.

Mustafar kelmarin berkata kedegilan majikan berkta  hanya 23% atau 161,056 PATI didaftarkan sehingga 10 malam tadi, iaitu 2 jam sebelum tempoh akhir pendaftaran tamat pada 12 tengah malam.

Beliau berkata ia melibatkan 28,375 majikan dengan sebanyak 145,571 E-Kad dikeluarkan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal 600,000 PATI.

“Adakah program ini gagal? Adakah itu sahaja jumlah PATI di luar sana? Kita anggap tidak berjaya sebab kedegilan majikan untuk tampil mendaftar.

“Kita telah memberikan masa secukupnya sejak 15 Februari lalu, malah hebahan melalui media juga dilakukan secara berterusan bagi membolehkan majikan mengambil tindakan sewajarnya tetapi ia tidak digunakan seperti yang diharapkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi pendaftaran menjelang tempoh akhir proses itu di ibu pejabat Imigresen di sini.

Mustafar berkata jabatan itu juga mengadakan pertemuan dengan persatuan majikan bagi memperincikan mengenai perkara itu agar mereka dapat mengingatkan pihak yang berdaftar di bawahnya supaya mendaftarkan pekerja di bawah seliaan masing-masing.

“Walaupun hanya meletakkan syarat minimum iaitu proses pendaftaran E-Kad perlu diuruskan sendiri, tetapi ia tetap menjadi sesuatu yang terlalu sukar (buat mereka) kerana sifat suka menunggu sehingga saat akhir.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, faktor lain ialah E-Kad sama dengan sistem yang dilaksanakan Jabatan Imigresen sebelum ini.

“Dan kita tahu bila ada sistem sedemikian, tidak ramai majikan yang berminat mendaftarkan PATI mereka.

“Kerana apa yang diminta pihak kerajaan supaya majikan itu datang ke kaunter imigresen dan mengaku mereka mengambil PATI," katanya.

Pada 24 Januari lalu, Mustafar mengumumkan pelaksanaan permohonan E-Kad yang berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah mulai 15 Februari sehingga kelmarin , di semua pejabat imigresen di Semenanjung Malaysia.

Program itu terbuka hanya kepada PATI di Semenanjung dan mereka yang mempunyai majikan tergolong dalam 5 sektor iaitu pembinaan, perladangan, perkhidmatan, perkilangan dan pertanian.


Imigresen tidak menggunakan perkhidmatan orang tengah atau ejen dalam permohonan E-kad, sebaliknya majikan dan PATI perlu hadir ke pejabat imigresen bersama dokumen diperlukan serta kad berkenaan adalah percuma.

Sumber - Bernama & FMT