Enam individu sudah dipanggil memberi keterangan bagi
membantu siasatan kes kehilangan sebuah kontena dipercayai mengandungi
peralatan radar tentera berteknologi tinggi dari Pelabuhan Tanjung Pelepas,
Johor baru-baru ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu
kenyataan berkata enam individu terbabit adalah kakitangan Jabatan Polis
Bantuan dan pegawai kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Kesemua mereka yang berusia antara 37 dan 48 tahun itu
hadir di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 11 pagi semalam (4 Julai 2017).
Menurut kenyataan itu lagi, SPRM berkata mereka juga
dalam proses meneliti beberapa dokumen berkaitan yang diperolehi daripada pihak
pelabuhan berhubung kejadian tersebut.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam
Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Malah, katanya SPRM kini dalam proses mengenalpasti
sekiranya wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam insiden tersebut.
"Kita (SPRM) akan mengambil tindakan yang tegas
terhadap mana-mana individu sekiranya mereka didapati terlibat dalam perbuatan
rasuah dan salah guna kuasa dalam isu ini," tegas beliau.
Azam juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu
akan dipanggil jika perlu bagi membantu pasukan penyiasat melengkapkan siasatan
berhubung kes tersebut.
Kelmarin, SPRM berkata pihaknya akan menghantar pasukan
penyiasat ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor berhubung dakwaan ‘kehilangan’
sebuah kontena yang dikatakan mengandungi peralatan sistem radar tentera
berteknologi tinggi di pelabuhan itu baru-baru ini.
SPRM dalam satu kenyataan media berkata pegawai
penyiasatnya akan mendapatkan maklumat berhubung perkara itu sebelum tindakan
lanjut diambil.
Menurut SPRM, pasukan penyiasat akan menilai
maklumat-maklumat yang diperolehi untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur
rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian itu.
"SPRM juga telah menerima aduan berhubung perkara
itu dan akan mengambil keterangan daripada beberapa pegawai Jabatan Kastam
Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.
"Selain itu, SPRM juga akan bekerjasama dengan pihak
polis yang turut menjalankan siasatan ke atas dakwaan kehilangan peralatan
radar itu,” kata SPRM.
SPRM berkata siasatannya hanya akan tertumpu kepada sama
ada wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa dan tidak akan campur tangan dalam
siasatan oleh polis.
Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris
melaporkan kontena yang tiba dari Australia membawa peralatan radar tentera
berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit hilang ketika transit di pelabuhan
berkenaan.
Laporan akhbar itu yang memetik sumber berkata, barang
terbabit sepatutnya di hantar ke Belanda melalui pelabuhan itu, namun, ia tidak
mempunyai permit yang diperlukan, menyebabkan barangan itu ditahan.
Laporan turut menyebut bahawa radar tentera yang didakwa hilang dari PTP itu
sebenarnya sudah dikesan.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)
Datuk T Subromaniam berkata radar berkenaan sudah sampai ke destitasi
sepatutnya iaitu Pelabuhan Rotterdam, Belanda.
"Siasatan yang dijalankan JKDM sebenarnya menjurus
kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalaman ketika melepaskan
dagangan yang memerlukan permit di bawah akta Pemerdagangan Strategik
2010," katanya dalam kenyataan,
Terdahulu, akhbar The Star melaporkan
sistem peralatan radar tentera bernilai jutaan ringgit yang dalam transit ke
Belanda dilaporkan hilang.
Menurut laporan tersebut barangan dari Australia itu
ditahan JKDM sementara menunggu dokumen yang diperlukan oleh Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurut laporan akhbar itu, semua peralatan ketenteraan
yang dibawa masuk dan keluar dari mana-mana pelabuhan di negara ini memerlukan
permit khas daripada MITI.
Susulan
itu, insiden berkenaan mendapat perhatian ramai, termasuk Presiden PKR Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) campur tangan bagi menyiasat kes berkenaan.