Sunday, May 27, 2012

PM Lancar Prospektus FGVH Khamis Ini

Mohd Isa merasmikan Hari Kesihatan FELDA Wilayah Terengganu dan sambutan Hari TB Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di FELDA Ketengah Jaya, Dungun, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan prospektus penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) Khamis ini yang dijangka menyaksikan 37 peratus daripada 2.19 bilion saham akan diperuntukkan bagi manfaat peneroka.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, daripada jumlah itu, 20 peratus akan diperuntukkan kepada sebuah tabung amanah yang akan menjaga kepentingan peneroka, manakala 17 peratus lagi akan ditawarkan untuk jualan kepada 112,635 peneroka dan petugas serta kakitangan FELDA.

“Semua peneroka akan mendapat manfaat berpanjangan daripada penyenaraian ini,” katanya sambil menambah penyenaraian FGVH yang dijangka menjadi proses terbitan awam (IPO) terbesar di Asia tahun ini, diunjurkan dijual pada lebih RM4 sesaham.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan FELDA Wilayah Terengganu dan sambutan Hari TB Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Bandar Ketengah Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Zakaria @ Mohd Ariffin Abdullah dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Anwa Sulaiman.

Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata, FELDA sudah menyediakan panel tujuh bank untuk membantu peneroka menguruskan pembelian saham, jika mereka memerlukan pinjaman serta membuka akaun dagangan saham.

Katanya, FELDA juga mengagihkan saham kepada kerajaan negeri dan pelbagai institusi pelaburan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji.

Mengikut draf prospektus IPO FGVH kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC), daripada 2.19 bilion saham, 1.92 bilion saham yang mewakili 52.5 peratus modal terbitan dan berbayarnya akan ditawarkan untuk langganan pelabur institusi, manakala 273.61 juta saham atau 7.5 peratus lagi akan ditawarkan kepada pelabur awam.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut FGVH yang dijangka disenaraikan pada 28 Jun ini, dianggarkan bakal memiliki modal pasaran berjumlah RM18 bilion. FGVH dijangka melancarkan kempen langganan selepas pelancaran prospektus pada 31 Mei ini dan menentukan harga sesaham untuk pelabur runcit pada 15 Jun.

 Sementara itu, mengulas kempen kesihatan itu, Mohd Isa berkata, ia bertujuan menyuburkan kesedaran kepada peneroka untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan mencegah penularan gejala penyakit TB.

"Kerajaan menyediakan kemudahan kesihatan terbaik terutama daripada aspek pencegahan bagi memastikan penularan penyakit dibendung," katanya mengulas peningkatan kes TB di Gugusan FELDA Kertih, sehingga jabatan kesihatan negeri memilih kawasan itu untuk pelancaran kempen berkenaan.

Pada 2009, ada tujuh kes TB di kawasan itu dan meningkat kepada 11 kes pada 2010, 13 kes (2011) manakala sehingga April 2012, 10 kes TB dikesan.

Bagi meningkatkan aspek penjagaan kesihatan terutama kepada warga FELDA dan penduduk Ketengah Jaya yang jauh dari bandar ini, Mohd Isa berkata, Yayasan FELDA turut meluluskan peruntukan RM85,000 untuk pembelian sebuah alat ultrasound untuk ditempatkan Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Isa yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, selain mencegah penyakit berjangkit, masyarakat termasuk warga FELDA perlu mengelak terkena 'penyakit hati' seperti yang dialami pemimpin pembangkang hingga sanggup berbohong dan memutar belit setiap kebaikan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi memancing undi.

"Penyakit hati seperti yang ditanggung kalangan pemimpin pembangkang lebih berbahaya daripada penyakit berjangkit seperti TB, sekali pun kerana kerajaan BN menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk mengubat penyakit berkenaan...tetapi penyakit hati dan suka berbohong tidak ada ubatnya,” katanya.