Kedutaan
Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur mengeluarkan nasihat perjalanan di Jalan
Alor berikutan kemungkinan ancaman pengganas.
Dalam
satu kenyataan di laman web kedutaan itu pada malam semalam, ia berkata,
nasihat berkenaan dikeluarkan berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai
berhubung kemungkinan tindakan pengganas.
Ia
menasihatkan rakyat AS supaya mengelakkan daripada berada di Jalan Alor, Kuala
Lumpur dan kawasan sekitar hari ini.
"Bagi
semua lokasi lain, Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengingatkan rakyat AS perlu
berhati-hati dan berwaspada terhadap keselamatan diri.
"Pada
masa lalu, badan-badan pengganas mempunyai rancangan mengenai serangan mereka
sejajar dengan tarikh penting dalam kalendar," kata kedutaan itu.
Ia
mengingatkan rakyat AS supaya sentiasa berhati-hati semasa dalam perjalanan
kerana mereka mungkin menjadi sasaran kumpulan ekstremis tanpa mengira negara
mereka berada.
"Teliti
semula rancangan keselamatan diri anda, sentiasa berwaspada terhadap
persekitaran, termasuk acara tempatan dan memantau stesen berita tempatan untuk
perkembangan.
"Sentiasa
berwaspada pada tahap yang tinggi, ambil langkah yang sewajarnya untuk
mempertingkatkan keselamatan diri anda dan mengikut arahan pihak
berkuasa," menurut nasihat kedutaan itu.
The
Straits Times semalam
(Khamis) melaporkan satu amaran turut dikeluarkan dalam laman web
Jabatan Perdagangan dan Hal Ehwal Luar Kerajaan Australia.
"Berikutan
kemungkinan ancaman keganasan, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak berada
di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar pada Khamis, 24 September.
"Kami
terus menasihatkan rakyat Malaysia untuk mempertimbangkan semula mengenai
keperluan untuk mengunjungi kawasan pantai timur Sabah, dan mengamalkan
langkah-langkah keselamatan di Malaysia," menurut amaran itu.