Apakah barangan
yang paling dikejar pengguna ketika ini?
Jawapannya minyak masak. Kenapa? Kerana banyak kedai runcit, pasar
raya dan pasar besar sedang menghadkan penjualannya.
Ada yang menayangkan papan tanda ‘ dua botok untuk satu
keluarga satu hari'.
Berita kekurangan minyak masak yang disubsidi kerajaan ini bukan sahaja berkisar di Malaysia tetapi
akhbar-akhbar di Singapura turut melaporkan berita ini.
Kekurangan bekalan minyak masak didapati berlaku di
kebanyakan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara sejak beberapa hari
lalu sehingga menimbulkan keluhan ramai pengguna serta peniaga makanan.
Di beberapa negeri, walaupun subsidi minyak masak belum
lagi ditarik balik, tetapi beberapa kesan sudah dapat dilihat.
Dalam sekelip mata, botol dan paket minyak masak
bersubsidi, sudah lenyap dari rak-rak di pasar raya di Pulau Pinang.
Ini berikutan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk
membelinya berikutan pengumuman bahawa harga minyak masak akan meningkat bulan
depan ekoran penghapusan subsidi.
Di Kuantan, dilaporkan tiada masalah bekalan minyak masak berlaku di di
daerah itu, namun isu lain pula timbul
iaitu harga yang dibeli oleh peniaga daripada pemborong lebih tinggi daripada
biasa.
Seorang pengusaha kedai runcit, Mohamad Hafizul Naim Muchlis
berkata, untuk satu kotak yang mempunyai 17 peket minyak masak, dia membelinya
daripada pemborong dengan harga RM45 termasuk cukai barang dan perkhidmatan
(GST).
Sehubungan itu, harga satu peket minyak masak akan jadi
RM2.63 sen, tetapi saya masih kena jual pada harga RM2.50 yang merupakan harga
kawalan.
Mohamad Hafizul...masalah |
Beberapa peniaga runcit yang ditemui dalam tinjauan
Utusan Malaysia di Kuala Lumpur mendakwa, perkara itu berlaku setelah mereka
tidak menerima bekalan daripada pemborong sejak minggu lalu sebaik tersebarnya
khabar angin mengenai kemungkinan harga minyak sawit akan naik berikutan
penstrukturan semula subsidi.
Ketika ini hanya terdapat minyak masak berasaskan kacang
tanah dan jagung sahaja yang tidak melibatkan subsidi kerajaan banyak dijual di
kedai-kedai.
Pemborong pula maklumkan yang pesanan akan dihantar awal
bulan depan iaitu selepas Deepavali.
Keadaan ini pastinya sukar untuk pekedai untuk maklumkan
apa kepada pelanggan malah ada yang curiga kononnya pekedai engaja menyimpan
stok bagi meraih keuntungan apabila harga dinaikkan kelak.
Berikutan itu peruncit berharap masalah ini dapat diatasi
segera dan pada masa sama tidak ada pemborong yang sengaja menyimpan bekalan.
Kenapa kejadian seperti ini berlaku sedangkan kerajaan
sudah memberi jaminan bahawa subsidi tidak akan ditarik balik. Selain itu
jaminan turut diberikan menteri dan pegawai KPDNKK sudah memberi jaminan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan subsidi minyak masak
tidak akan dimansuhkan seperti yang didakwa persatuan tersebut.
Namun kenapa berlakunya kekurangan minyak di pasaran?
Apakah kerana berita yang melaporkan bahawa minyak masak
di seluruh negara dijangka terputus dalam dua minggu akan datang berikutan
ramai pengguna akan membeli sebelum harga dinaikkan pada 1 November depan.
Pada 21 Oktober lalu,Sinar Online melaporkan Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia,
Hong Chee Meng berkata, dengan kenaikan minyak masak antara RM0.40 hingga
RM1.90, sudah pasti akan berlaku pembelian panik daripada pengguna sama ada
orang perseorangan mahupun peniaga.
Chee Meng berkata, keputusan kerajaan untuk mengurangkan
subsidi minyak masak akan menyebabkan rakyat jelata terus tertekan setelah
harga barang-barang keperluan harian yang lain semakin hari semakin mahal.
Beberapa hari sebelum itu sudah ada khabar angin bahawa
harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan depan, berikutan
susulan pemansuhan subsidi oleh kerajaan.
Kenyataan Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya
(Meoma) pada 20 Oktober seperti dipetik Oriental Daily berkata, di bawah
program penstabilan minyak masak baharu yang akan mula dilaksanakan November
ini, harga 1kg minyak masak peket plastik dinaikkan 40 sen kepada RM2.90,
manakala minyak masak botol 5kg naik RM1.90 kepada RM15.25.
Program baharu itu dibahagikan kepada 2 peringkat, di
mana peringkat pertama mulai 1 November ini sehingga 31 Disember nanti,
manakala peringkat kedua mulai 1 Januari 2017 dan hanya minyak masak peket
plastik akan menikmati subsidi kerajaan pada tahun depan.
Untuk peringkat pertama, subsidi minyak masak campuran
botol seberat 500g, 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg serta minyak masak sawit tulen botol
seberat 500g, 1kg, 2kg dan 3kg, akan dimansuhkan.
Ini bermakna, tanpa harga siling ditetapkan kerajaan,
harga minyak masak perlu mengikut apungan pasaran dan ditentukan peniaga.
Minyak masak sawit tulen botol seberat 5kg masih
diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini, sebelum ia dihapuskan mulai 1
Januari 2017.
Sebelum ini, pengeluar minyak masak diberikan kebebasan
untuk menggunakan subsidi yang diberikan kerajaan, tetapi mulai bulan depan,
mereka perlu memperuntukkan 70% subsidi itu untuk menghasilkan minyak masak
peket plastik 1kg, baki 30% lagi untuk minyak masak botol 5kg.
Beikutan ini, dikatakan harga makanan yang dijual juga
dijangka meningkat.
Menyalahkan peniaga dan orang ramai kerana kurangnya
bekalan minyak masak?
Jika demikian, apakah tindakan kerajaan terhadap pembawa
dan penyebar berita bahawa kerajaan akan menarik subsidi minyak masak ini?
Kelmarin Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta
kementerian tidak hanya menyiasat peniaga yang menyorokkan stok minyak masak
daripada terus dijual kepada pembeli di pasaran.
Sebaliknya menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim
Johan, pemeriksaan juga harus dibuat ke atas kilang-kilang pengeluar minyak
masak yang dikhuatiri sengaja menyekat bekalan pengedaran minyak masak.
PPIM khuatir ada pembekal yang sengaja mengurangkan
jumlah pengedaran minyak masak sehingga bulan depan. Ini membolehkan mereka
memperoleh lebih keuntungan berbanding penjualan harga minyak masak dengan
harga subsidi asal.
Ketika ini, terdapat 260 pemborong dan pembekal minyak
masak di seluruh negara.
PPIM sudah melakukan tinjauan di sesetengah lokasi dan
memang didapati kebanyakan premis perniagaan telah kehabisan minyak masak.
Sebelum ini ada nasihat agar orang ramai tidak perlu buat
belian panik memandangkan bekalan minyak masak masih mencukupi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi
dan Kepengunaan Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, di Kelantan sebanyak
4,800 metrik tan bekalan minyak dibekalkan di negeri ini untuk tempoh sebulan.
Jumlah itu dijamin mencukupi untuk seluruh penduduk di
Kelantan dalam tempoh terbabit termasuk pada musim perayaan Deepavali yang akan
disambut akhir bulan ini.
Dalam keadaan sebegini, apakah yang akan dilakukan
kerajaan?
Kita amat yakin kerajaan tidak akan berdiam diri tetapi
lama mana lagi?
Jika semakin lama kerajaan menunggu untuk bertindak, akan
semakin besar kepercayaan rakyat memang berita yang dibawa oleh Presiden
Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia akan menjadi kenyataan.
Lagipun, kerajaan tidak menyebut langsung soal subsidi
minyak masak ini akhir-akhir ini sama ada ketika pembentangan Bajet 2017 atau
sidang media berkaitan dengannya.
Sedangkan isu ini sedang panas dan kini rakyat menunggu keputusan
tindakan kerajaan untuk mengembalikan tawaran yang mencukupi kepada pengguna.
Yang dimahukan rakyat ialah rak-rak minyak masak penuh
semula sama ada di kedai runcit, pasar raya atau pasar borong untuk menafi atau
menyatakan bahawa berita yang dibawa oleh Persekutuan Persatuan Peniaga
Barangan Runcit Malaysia dan Meoma itu tidak benar sama sekali.
Sebaliknya jika keadaan berubah, apakah rakyat dan
pengguna mahu dipersalahkan jika wujud persepsi bahawa memang benar harga
minyak masak akan naik bulan depan.