"SPRM minta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu ini atau mengambil kesempatan terhadap siasatan yang sedang dijalankan (oleh mereka) bagi kepentingan masing-masing."
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan kes penyelewengan dana awam projek infrastruktur Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bernilai RM3.3 bilion tidak melibatkan ahli politik di peringkat negeri itu atau kerajaan Pusat.
SPRM memaklumkan, setakat ini, siasatan kes itu hanya menjurus kepada penglibatan pegawai-pegawai kerajaan yang menerima rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
"Setakat ini, ia tidak melibatkan mana-mana ahli politik sama ada di peringkat Negeri Sabah atau kerajaan persekutuan.
"Sehubungan itu SPRM meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu ini atau mengambil kesempatan terhadap siasatan yang sedang dijalankan bagi kepentingan masing-masing," kata kenyataan yang dikeluarkan petang kelmarin.
Sebelum ini diviralkan melalui media sosial, seorang bekas menteri disyaki terlibat dengan kes ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan ahli politik berkenaan kini menggerakkan sebuah parti baru di Sabah.
Pada 9 Oktober lalu, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menafikan beliau dan bekas kementeriannya itu mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion membabitkan sebuah jabatan kerajaan di Sabah.
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, beliau juga tidak mengenali dua orang pegawai kanan jabatan itu yang ditahan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan itu.
Sehari selepas itu (10 Oktober 2016), Ketua Menteri
Sabah, Datuk Seri Musa Aman menasihatkan
semua pihak supaya berhenti menyebarkan spekulasi berhubung isu penyalahgunaan
kuasa membabitkan pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan negeri yang
disiasat SPRM.
Katanya, isu itu
tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka di media kerana ia boleh
menjejaskan siasatan agensi berkenaan.
"Ini adalah siasatan yang penting, jadi biarkan SPRM
menjalankan tugas mereka. Berhenti membuat kenyataan yang tiada kesudahan dan
mengeluarkan pendapat berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Musa berkata, semua pihak yang berkaitan perlu memberi
kerjasama penuh supaya siasatan SPRM dapat dikendalikan dengan lancar.
Kenyataan SPRM itu sedikit sebanyak 'membersihkan Shafie' yang dilaporkan menjadi sasaran beberapa kumpulan media sosial yang mengaitkan beliau dengan kes JANS ini.
SPRM semalam menahan
tiga lagi pegawai JANS menjadikan keseluruhan
jumlah suspek yang ditahan setakat ini 27 orang.
Penahanan menerusi Ops Water Fasa II itu berlaku di diantara
pukul 7 malam dan 11.45 malam di daerah suspek bertugas iaitu Lahad Datu
dan Kota Kinabalu.
Semua terlibat ditahan berhubung siasatan kes
penyelewengan dana infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.
"Ketiga-tiga mereka adalah Juruteknik Air di tiga
daerah berlainan di Sabah ditahan semalam (Khamis) untuk membantu siasatan
SPRM," kata sumber berkenaan.
Sumber itu berkata, menerusi operasi terkini yang
dilancarkan, SPRM merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM5.9 juta.
Kata sumber itu lagi, ketiga-tiga suspek direman tujuh
hari bermula semalam (Jumaat).
"Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret
Lahad Datu ke atas dua suspek, manakala seorang lagi di Mahkamah Majistret Kota
Kinabalu," katanya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya(operasi)SPRM, Dato Azam Baki
ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurut kenyataan SPRM, kes ini melibatkan sejumlah
dokumen perolehan yang banyak dan pegawai SPRM kini sedang giat meneliti semua
dokumen yang dirampas.
Kenyataan SPRM menyebut, pihaknya juga memerlukan masa
bagi menyelesaikan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan
Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
"SPRM memandang serius perkara ini dan memberi
jaminan siasatan dijalankan dengan telus dan profesional tanpa campur tangan
mana-mana pihak," katanya.
Sehubungan itu, suruhanjaya itu meminta masyarakat supaya
tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini kerana ia boleh menjejaskan
siasatan.
Bagaimanapun, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai
maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu siasatan.
Setakat kelamarin, 24 ditahan termasuk 19 berumur 29
hingga 59 tahun yang ditahan kelmarin merupakan jurutera dan ketua jabatan itu
di peringkat bahagian serta daerah.
Operasi fasa kedua pada Rabu itu turut membabitkan rampasan
wang tunai RM4.2 juta dan beberapa akaun bank yang dibeku mencecah RM3.6 juta.
Menurut laporan Utusan Online, salah seorang daripada 19
suspek itu mempunyai resort dan inap desa, rumah bak istana serta kereta mewah.
Menurut sumber, suspek yang merupakan antara jurutera
bahagian di Jabatan Air Sabah dipercayai menjadikan seorang wanita yang juga
pekerja bawahannya sebagai proksi bagi melindungi kekayaan luar biasa yang
dimilikinya.
Kata sumber, suspek dipercayai menjadikan wanita itu
sebagai pemegang dana selain menggunakan syarikat yang dinamakan atas nama
wanita tersebut untuk membolot semua projek Jabatan Air Sabah.
“Hasil daripada ‘pakatan’ mereka, wanita tersebut dilihat
mampu mempunyai perniagaan dan harta yang melebihi kemampuannya sebagai seorang
yang berpangkat rendah.
“Akaun syarikat dan akaun wanita itu juga dikatakan
tersimpan ratusan ribu ringgit, malah mungkin juga mencecah jutaan ringgit,”
kata sumber.
Walau bagaimanapun sumber itu menegaskan, kesemua
maklumat kekayaan suspek masih dalam siasatan SPRM.
Sejak Ops Water dilancarkan pada 4 Oktober lalu, sehingga
kini pasukan penyiasat telah merakam percakapan 90 saksi.
Terdahulu, lima suspek yang ditahan pada fasa pertama Ops
Water telah dibebaskan dengan jaminan selepas menjalani tempoh tahanan reman.
Lima suspek yang ditahan pada fasa pertama termasuk
pengarah dan timbalan pengarah JANS, abang timbalan pengarah bergelar Datuk dan
seorang akauntan serta penasihat Kementerian Kewangan Sabah yang juga bekas
timbalan pengarah jabatan berkenaan.
Seterusnya, SPRM menahan 19 pegawai JANS dan mereka kini
masih menjalani tahanan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, sejumlah wang tunai, barang kemas, geran
tanah, kenderaan mewah dan beg tangan bernilai lebih RM150 juta telah dirampas.
Suspek utama iaitu dua pegawai kanan awam itu disyaki
memberikan kontrak kepada beberapa syarikat yang dimiliki adik-beradik mereka,
menyebabkan kontraktor lain tidak mendapat projek air di Sabah bernilai RM3.3
bilion dari kerajaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment