Saturday, October 22, 2016

Pegawai JKM Kena Penjara Setahun Kerana Pecah Amanah


Sebagai seorang pegawai tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia sepatutnya menyalurkan wang bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukannya, sebaliknya dia memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank suaminya.

Selepas dua tahun melakukan perbuatan keji itu, pegawai wanita terbabit kini bukan sahaja dalam proses perceraian dengan suaminya, malah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam dan dihukum penjara setahun serta denda RM9,000 kerana melakukan pecah amanah wang berjumlah RM13,100 milik jabatan itu.

Hakim Asmadi Hussein menjatuhkan hukuman tersebut selepas Salwana Mokhtar, 34, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang didakwa dilakukannya di JKM Sabak Bernam di Lot 16,17,18 Taman Gemilang, Sungai Besar.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara setahun ke atas Salwana bermula semalam dan tambahan enam minggu sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

Sepanjang prosiding kes tersebut, ibu kepada tiga anak itu tidak putus-putus menitiskan air mata.

Mengikut pertuduhan pertama, Salwana yang merupakan pegawai tadbir kewangan di JKM Sabak Bernam didakwa dengan curangnya telah menyebabkan wang bantuan kebajikan kepada warga emas berjumlah RM900 dimasukkan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik suaminya, Mohd. Hafiz Yatimi pada 31 Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan curangnya menyebabkan wang bantuan kebajikan kepada warga emas, pesakit kronik terlantar, orang kurang upaya (OKU) tidak bekerja, kanak-kanak dan elaun pekerja cacat berjumlah RM9,200 dimasukkan ke dalam akaun BSN milik suaminya antara 2 Februari dan 30 Disember 2015.

Sementara pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menyebabkan wang bantuan kebajikan kepada warga emas, pesakit kronik terlantar, OKU tidak bekerja, kanak-kanak dan elaun pekerja cacat berjumlah RM3,000 dimasukkan ke dalam akaun BSN milik suaminya antara 4 Februari dan 31 Mac tahun ini.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Syakimah Ibrahim mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan serta boleh didenda.

Terdahulu, Siti Syakimah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang merupakan seorang penjawat awam dan perbuatan yang dilakukan ini menyebabkan orang yang berhak menerima bantuan kebajikan telah dinafikan hak.

Salwana yang menyesal atas perbuatannya pula memohon supaya hukuman diringankan memandangkan dia kini dalam proses penceraian dengan suami manakala tiga anaknya yang masih kecil berumur dua hingga lapan tahun memerlukan perhatiannya.

Utusan Online

No comments: