Wednesday, October 5, 2016

Lebih RM20 Juta Drampas Daripada 2 Pegawai Kanan Agensi Kerajaan Di Sabah


Tahniah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  kerana berjaya menyelinap masuk ke jabatan-jabatan kerajaan untuk mendedahkan perbuatan tuntutan palsu dan penyelewengan.

Terbaru  dilaporkan, wang tunai dianggarkan lebih RM20 juta dirampas SPRM susulan penahanan dua pegawai kanan agensi kerajaan di Kota Kinabalu, Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek jabatan awam.

Terkini, dua lagi ditahan suruhanjaya itu dan semua empat individu terlibat akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
  
Laporan semalam (Selasa, 4 Oktober 2016), menyebut, SPRM menahan dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Kota Kinabalu, kerana disyaki menyalahgunakan kuasa hingga mampu mengumpul kekayaan melebihi RM50 juta.

Mereka yang berusia 51 dan 54 tahun ditahan di pejabat masing-masing kira-kira 9.15 pagi kerana disyaki memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan itu kepada sanak saudara mereka.


Kedua-dua pegawai kanan berjawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di jabatan kerajaan itu, yang mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010, telah memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

SPRM dilaporkan turut merampas wang tunai berjumlah RM3 juta yang disimpan di dalam peti besi di pejabat seorang daripada pegawai kanan itu. 

Jumlah harta kekayaan yang dikumpul mencecah RM50 juta itu hasil penyalahgunaan kuasa yang dipercayai bermula sejak 2010.

Peruntukan RM3.3 bilion itu hanya merupakan peruntukan yang disalurkan kerajaan Persekutuan dan tidak termasuk peruntukan kerajaan negeri. 

SPRM juga membuat beberapa siri serbuan di beberapa tempat termasuk agensi terbabit dan syarikat-syarikat kontraktor yang terlibat.

Perbuatan kedua-dua pegawai kanan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi menutup periuk nasi berpuluh kontraktor lain yang langsung tidak diberikan peluang memasuki tender agensi terbabit.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Azam...baru hanya sebahagian
Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki,  berkata hari ini, wang tunai berjumlah RM3 juta yang dirampas sebelum ini hanya sebahagian daripada keseluruhan rampasan.

“RM3 juta sebahagian daripadanya. Sebenarnya lebih daripada itu. Saya fikir lebih RM20 juta,” katanya.

Wang tunai mencecah RM10 juta ditemui di kediaman pegawai kanan yang ditahan SPRM di Sabah, semalam.


“Setiap daripada sasaran yang kita tahan itu, setidak-tidaknya tiga lokasi. Termasuk peti besi, rumah, pejabat dan ada juga melibatkan peti besi di bank,” katanya.

Azam berkata,  sidang media berhubung kes berkenaan akan diadakan di Kota Kinabalu petang ini.

Menurutnya, SPRM akan meneruskan siasatan dengan lebih agresif dan menjangkakan lebih ramai lagi ditahan.

Sebelum ini, SPRM turut mendedahkan kegiatan licik seorang kerani wanita di Alor Setar dan tuntutan palsu di Johor Bahru membuktikan bahawa rasuah masih berleluasa di pejabat kerajaan.

Dilaporkan , kerani berusia 31 tahun yang bertugas di bahagian pendaftaran kenderaan JPJ Kedah  ditahan di kerana  mengaut keuntungan dengan menyalahgunakan sistem pendaftaran dokumen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbongkar apabila dia dan suaminya diberkas SPRM.

Suspek disiasat kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket kereta klon yang turut dianggotai suaminya untuk mengubah status lebih 100 ken­deraan mewah yang telah dilupuskan di Singapura agar boleh dijual dengan harga terpakai di negara ini.

Suspek dikatakan meneri­ma komisen RM2,000 hingga RM5,000 bagi setiap kenderaan yang dijual.

Usaha SPRM ‘membersihkan pejabat kerajaan’ ini sewajarnya dipuji apalagi mereka ini mengaut keuntungan dengan menyalahgunakan pejabat kerajaan untuk kepentingan diri.

Di Johor Bahru, 21 September lalu dilaporkan seorang pegawai perubatan bersama dua kerani kewangan Pejabat Kesihatan Daerah di negeri Johor  ditahan SPRM, melibatkan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Simi Abd Ghani yang mengesahkan tangkapan itu berkata, ketiga-tiga wanita berkenaan ditahan di pejabat SPRM negeri, kira-kira 9 malam.

Mereka yang ditahan berumur antara 30-an dan 50-an.  Kesemua mereka disyaki mengemukakan tuntutan palsu terhadap 59 baucar bayaran perkhidmatan pembekalan barang tetapi barang tidak sampai ke pejabat kesihatan.

Menurut kenyataan Simi, berdasarkan siasatan awal, pegawai kesihatan itu didapati bersekongkol dengan enam syarikat pembekalan dengan memberi sebahagian hasil tuntutan kepada syarikat yang terlibat. 


Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. 

No comments: