Wednesday, May 25, 2016

SPRM Sudah Lawat Kawasan Banjir Kilat Di Kuala Lumpur - Loga Bala


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) telah membuat lawatan di kawasan terlibat dengan banjir kilat yang melanda ibu negara pada 12 Mei lepas, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk J.Loga Bala Mohan.

Beliau berkata siasatan terperinci perlu dibuat sebelum sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam elemen rasuah sehingga mengakibatkan banjir kilat.

"Dia (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kata mungkin ada, kemungkinan dan kita siasat, kalau dapat dibuktikan, sudah tentu kita akan ambil tindakan tetapi ini tidak bermakna telah ada korupsi berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul khas kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur di Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, semalam.

Loga menjawab celahan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mengenai kemungkinan banjir kilat itu berlaku kerana terdapat elemen korupsi seperti yang dinyatakan Ahmad Zahid.

Usul berkenaan dibawa oleh Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang antaranya menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertanggungjawab atas kemusnahan harta benda terutamanya kenderaan selain mahu langkah efektif diambil bagi menjamin keselamatan orang ramai ketika banjir kilat.

Menjelas lanjut, Loga berkata banjir kilat yang melanda ibu negara antara lain disebabkan hujan luar biasa yang menyebabkan paras air naik mendadak di kawasan terlibat.

"Hujan pada hari tersebut yang direkodkan oleh JPSWP (Jabatan Pengairan dan Saliran Wliayah Persekutuan adalah berjumlah 106.5 milimiter dan ia adalah luar biasa.

Kolam takungan sedia yang tidak dapat menampung hujan menyebabkan peningkatan air secara mendadak di jalan terlibat," katanya.

Beliau berkata sistem perparitan yang diselenggara oleh DBKL di kawasan terlibat banjir kilat dilaksanakan secara berjadual dan tahap pembersihan sisa pepejal juga mengikut skop tugas dan frekuensi kerja syarikat.

Katanya permohonan peruntukan tambahan telah dibuat kepada kerajaan yang antara lain bertujuan menggantikan paip armco sedia ada serta membina beberapa lagi kolam takungan.

"DBKL juga akan menaik taraf sistem koordinasi di Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS), kamera litar tertutup dan skrin dinding akan dipasang serta digabungkan talian optik dari ITIS ke Bilik Gerakan Bencana Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara masa nyata bagi tujuan pemantauan," katanya.

No comments: