Wednesday, May 25, 2016

Guan Eng Mungkin Terima Nasib Lebih Teruk Daripada Khir Toyo?


"Penyerahan kertas siasatan (SPRM) terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu kepada Tan Sri Mohamed Apandi Ali (Peguam Negara) adalah selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan."

Dengar khabar, dari Putrajaya, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan menerima nasib sama dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ternyata sudah mempunyai bukti lengkap dan cukup kuat untuk mendakwa Guang Eng.

Maknanya, Guan Eng bukan sahaja akan didapati bersalah tetapi akan hilang statusnya sebagai wakil rakyat – di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, jika disabitkan kesalahan.

Kehadiran atau istilah ‘serbu’ yang digunakan untuk menjelaskan tindakan kedatangan Pegawai SPRM ke rumah Ketua Menteri Pulau Pinang di Jalan Pinhorn 22 Mei lalu, bukan kehadiran biasa.


Walaupun dilaporkan untuk ‘mengambil keterangan berhubung pembelian banglonya yang dikatakan pada harga di bawah nilai pasaran’, kehadiran itu berlainan sekali dengan kehadiran biasa.

Mereka datang dengan dengan lapan pegawai SPRM menggunakan tiga kenderaan dilihat masuk ke perkarangan banglo Guan Eng  kira-kira 3 petang dan beredar kira-kira sejam kemudian.

Bagaimanapun, tiada barangan atau harta benda yang dirampas dari premis itu dan Guan Eng telah membatalkan semua acara beliau pada Ahad untuk membantu siasatan SPRM.

Pembelian banglo pada harga RM2.8 juta itu menjadi kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat bahawa harga itu di bawah nilai pasaran.

Banglo itu dibeli Guan Eng daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon dengan harga hanya RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran semasanya boleh mencecah sehingga RM5 juta.

Juga didakwa bahawa pembelian banglo itu ada kaitan dengan penjualan tanah di Taman Manggis yang pada asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin


Penasihat Undang-Undang Ketua Menteri Ramkarpal Singh menjelaskan, Guan Eng turut diminta memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri pada 10 pagi Ahad.

Selepas membantu siasatan dan selepas keterangan diambil, pasukan SPRM itu telah mengikut Guan Eng  ke rumahnya untuk sambung siasatan.

Memandangkan siasatan masih berjalan, Guan Eng tidak akan memberikan apa-apa keterangan, malah turut berada dalam kediaman Lim ialah peguam R.S.N Rayer dan Gobind Singh Deo.

Pada Jumaat (20 Mei), pemilik rumah banglo tersebut, Phang Li Koon hadir memberi keterangan kepada SPRM. Phang dan pemilik KLIDC (Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd) Datuk Tang Yong Chew hadir bersama-sama peguam mereka.

KLIDC telah membeli tanah itu daripada kerajaan negeri.

Mereka tiba pada kira-kira 8.30 pagi  dan dilihat meninggalkan bangunan SPRM kira-kira 1.30 tengah hari.

Pembelian banglo di Jalan Pinhorn, George Town oleh Lim dengan harga RM2.8 juta mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat dan mendakwa harga itu adalah di bawah nilai pasaran.

Proses jual beli itu juga didakwa mempunyai kaitan dengan penjualan tanah negeri di Taman Manggis yang diperuntukkan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin.

Isterinya, Betty Chew pada 6 Mei lalu turut diminta memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung siasatan pembelian banglo di Jalan Pinhorn itu, selain kes penjualan tanah di Tamanggis, Jalan Zainal Abidin.

Malah, dua minggu lalu, Guan Eng turut dipanggil selama dua hari berturut-turut dengan lebih 10 jam berada di SPRM negeri untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung pembelian banglonya itu.

Isunya ialah bila Guan Eng akan didakwa dan diseretkan ke mahkamah?

Ada mengatakan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabak Bernam dan Kuala Kangsar. Kenapa selepas?

Jika dilakukan sebelum ia akan memberikan gambaran bahawa kerajaan pimpinan BN memang tidak bertolak ansur dengan rasuah.

Cuma mungkin akan timbul pertanyaan, kenapa ada kes cepat didakwa, malah ada yang terang-terang kes rasuah, ia ditangguh-tangguhkan.

Apakah ada masalah pada peringkat siasatan oleh SPRM atau ‘tersangkut’ di pejabat Peguam Negara?


Sejauh ini  SPRM telah memanggil lebih daripada 60 saksi untuk memberi keterangan, malah Guan Eng dan isteri, Betty Chew ternyata memberikan kerjasama.

Menurut kenyataan SPRM hari ini, siasatan terhadap Guan Eng telah lengkap dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara.

Penyerahan kertas siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu kepada Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya Tan Sri Mohamed Apandi berpuas hati terhadap keterangan kertas siasatan yang dikemukakan, maka tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil. Sebaliknya, sekiranya siasatan SPRM didapati tidak mempunyai keterangan yang mencukupi, maka tiada tindakan undang-undang diambil,” menurut kenyataan itu.

No comments: