Wednesday, May 25, 2016

Rafizi Serah Bukti Rasuah ‘Wang dan Perempuan’ Kerajaan Selangor Ke SPRM


Rafizi tidak layan Azmin. Apakah akan ada ‘pertelingkahan politik’ dalam PKR Selangor selepas ini?

Kini sah sudah bukti berkaitan dakwaan’ rasuah wang dan perempuan’ dalam kerajaan Selangor bukan untuk pengetahuan parti (PKR) semata-mata.

Isu rasuah kerajaan negeri Selangor itu akan dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PKR sudah membuat keputusan itu melalui mesyuarat biro politik parti malam semalam dengan  mengarahkannaib presidennya Rafizi Ramli menyerahkan laporan mengenai rasuah itu kepada SPRM.

Walaupun Azmin tidak senang dengan keputusan yang diambil Rafizi, jelas biro politik PKR melihat isu itu sebagai sesuatu yang perlu diketengahkan.

Dengan melaporkan kepada SPRM, kerajaan Selangor dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  kini berdepan dengan siasatan mengenai wujudnya perbuatan rasuah di negeri berkenaan.

Suasana ini pastinya tidak akan menggembirakan Azmin kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Disember tahun lalu mengingatkan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya agar tidak menyalahgunakan kuasa sekaligus terlibat dalam kegiatan rasuah.

Titah baginda, sekiranya rasuah berlaku ia akan mendorong kepada kemerosotan ekonomi, ketidakstabilan politik dan wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.

“Apabila rasuah ini dibiarkan berleluasa, maka hasil negeri akan disalahgunakan dan pendapatan negeri akan lesap … justeru rakyat tidak akan berpuas hati, negeri akan menjadi kacau bilau dan rakyat tidak dapat hidup dengan selesa dan harmoni,” titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor bersempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-70 di Istana Alam Shah.


Rafizi sebelum ini mendakwa mahu menyerahkan bukti dakwaan habuan wang dan perempuan ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada mesyuarat berkenaan.

Berikutan itu, suhu mesyuarat tersebut dikatakan menjadi 'panas' daripada kebiasaannya di tengah-tengah kemelut dan perselisihan antara pimpinan utama parti itu.

Rafizi berkeras  menyerahkan bukti itu walaupun Timbalan Presiden PKR, yang juga Menteri Besar Selangor telah mengatakan tiada keperluan untuk menyiasat perkara itu.

Rafizi, beru-beru ini  mengesahkan beliau menulis mesej yang dihantar kepada perbualan kumpulan tertutup menggunakan aplikasi komunikasi WhatsApp berhubung dakwaan habuan wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.
  
Beliau turut  mengakui didatangi oleh beberapa individu yang melahirkan kebimbangan mengenai beberapa isu bersabit amanah dan tata kelola secara umum dengan memberi contoh tuduhan salahlaku.

Rafizi berkata ada 'orang bona fide' datang kepadanya dengan aduan itu dan beliau kini sedang mengumpul semua maklumat dan bukti.

"Tuduhan itu bukan individu yang menjawat kerusi wakil rakyat (baik di Dewan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara) atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah Kerajaan Selangor," jelas Rafizi.

Kenyataan Rafizi itu dibuat selepas surat dari penjara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR supaya berhati-hati dengan Dr Mahathir. Ada melihat surat itu sebagai kebimbangan Anwar bahawa pengaruhnya semakin merosot.

Pada 20 Mei lalu, Azmin menganggap  dakwaan 'wujud permintaan perempuan apabila berurusan dengan kerajaan negeri' itu satu tuduhan jijik dan kempen fitnah terancang.

"Menuding jari kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bukti sokongan dan kemudiannya menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak adalah satu tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat," tegasnya dalam satu kenyataan.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata orang yang menuduh itu telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri kerana melakukan serangan jahat dan semberono. 

Pada Azmin, dalam mewujudkan sebuah kerajaan bersih dan bebas rasuah, pentadbiran negeri mengalu-alukan pemberi maklumat tetapi ia perlu disertakan dengan sekurang-kurangnya 'sekelumit bukti'.

Azmin sebagai ketua pentadbir negeri berkata semua pihak bertanggungjawab untuk memelihara nama baik dan maruah kakitangan awam serta eksekutif daripada sebarang tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab.

Kemarahan Azmin tidak dapat dibendung lagi apabila menyifatkan dakwaan yang menyebabkan pentadbirannya berdepan fitnah “jijik”, “jahat”, “semberono” dan terancang bagi melemahkan semangat penjawat awam negeri pastinya akan berlanjutan.

Azmin bengang kerana jelas Rafizi sudah menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak yang diaggap tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, menyerlahkan pertelingkahan puak-puak dalam PKR.

Mengenai mesyuarat semalam, Presiden PKR,  Datuk Seri Wan Azizah Ismai menjelaskan: “Biro politik telah membuat ketetapan bahawa Saudara Rafizi Ramli perlu membawa bukti-bukti yang ada pada beliau terus ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

Dalam kenyataannya lewat malam semalam  Azizah berkata biro itu juga akan meneliti dakwaan itu dan anggotanya yang terlibat akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin.

No comments: