Oleh Akhbar Satar (akhbar.satar@gmail.com)
Penulis ialah
Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP
Sekali lagi Polis Bukit Aman baru-baru ini mencatat kejayaan besar
menahan 10 lelaki selepas menyerbu lapan makmal memproses dadah jenis syabu di
Shah Alam dan Hutan Melintang Perak membabitkan rampasan bernilai
RM36 juta.
Siasatan mendapati suspek membawa masuk bahan utama untuk
memproses dadah jenis syabu yang diseludup masuk dari India.
Ada beberapa faktor berlakunya penyeludupan dadah,
seperti kelemahan penguatkuasaan, ada permintaan, sindiket jenayah terancang
dan isu integriti agensi penguat kuasa.
Penyeludupan dadah adalah jenayah terancang terbesar di
dunia selepas penyeludupan senjata api dan pemerdagangan manusia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
menyatakan negara kerugian RM7 bilion setahun kerana penyeludupan.
Kelemahan agensi
penguatkuasa menyebabkan negara mudah dibolosi oleh penyeludup dadah.
Kebanyakan pegawai penguat kuasa bukan sahaja tidak mempunyai kepakaran untuk
menjejaki sindiket dadah, bahkan juga kurang terlatih
Kedua, terdapat
banyak permintaan untuk membekalkan dadah, terutama sekali golongan belia di
kawasan luar bandar dan kawasan FELDA yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Mereka juga dikaitkan dengan masalah sosial.
Ketiga ia
membabitkan sindiket jenayah merentas sempadan. Pengedaran dadah adalah satu
kegiatan dilakukan oleh sindiket tempatan yang mempunyai rangkaian dengan
penjenayah terancang di luar negara.
Oleh yang demikian, mereka mendapat bekalan dengan mudah
dan menggunakan teknik yang sukar dikesan pihak berkuasa.
Faktor selanjutnya adalah disebabkan segelintir pegawai
penguat kuasa tidak mempunyai integriti.
Cawangan Khas PDRM mengatakan 80 peratus daripada agensi
penguat kuasa di sempadan menerima rasuah daripada sindiket dadah, senjata api
dan penyeludupan manusia. Perbuatan ini bukan sahaja boleh menyebabkan
kemasukan dadah secara besar-besaran bahkan juga boleh mencemarkan imej negara.
Pegawai penguat kuasa yang bertugas di lapangan terbang
sewajarnya mempunyai ilmu criminal profiling dan risikan yang dapat membantu
mengesan orang yang disyaki membawa masuk dadah.
Ini disebabkan modus operandi penyeludup masa kini sangat
canggih dan menggunakan pelbagai teknik sukar dikesan oleh agensi penguat kuasa
jika sekiranya mereka tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran itu.
Kamera litar khas Jika dilihat di lapangan terbang New
York, mereka menggunakan kamera litar khas yang boleh mengesan siapa sahaja
yang diragui terbabit dalam kegiatan membawa masuk dadah.
Agensi penguat kuasa juga patut menyediakan pegawai yang
berpengalaman dan berpengetahuan untuk ditempatkan di lapangan terbang,
pelabuhan dan pintu masuk sempadan.
Sediakan alat pengimbas berkualiti tinggi yang dapat mengesan
penyeludupan dadah dengan lebih mudah. Di dalam pembelian alat imbas ini,
pastikan ia mempunyai spesifikasi terbaik dan yang ditetapkan. Ia boleh
mengekang pembolosan. Pastikan pegawai yang bertanggungjawab mengenai pembelian
alat mesti mempunyai integriti tinggi.
Dalam menangani isu sindiket penyeludupan dadah ini,
setiap anggota agensi penguat kuasa seharusnya mempunyai rangkaian sumber yang
banyak.
Melalui sumber akan dapat maklumat mengenalpasti sindiket
dan penyeludup dadah. Untuk mencapai maklumat ini pegawai memerlukan
kebijaksanaan dan juga kemahiran yang tinggi.
Di antara kelemahan yang patut di atasi ialah kurangnya
perkongsian maklumat di antara agensi penguat kuasa.
Setiap agensi bertindak bersendirian disebabkan kurangnya
komunikasi dan masing-masing berlumba lumba untuk membuat tangkapan dan
mendapat publisiti.
Mesin pengimbas canggih Agensi penguat kuasa di Australia
melakukan profiling terhadap pesawat yang tiba dari negara berisiko tinggi.
Negara pengeluar atau hab dadah akan diberi tumpuan dengan membuat pemeriksaan
lebih rapi sehingga menggunakan anjing untuk menghidu dadah di dalam bagasi.
Mesin pengimbas yang mereka gunakan adalah canggih dan
setiap penumpang dikehendaki menjalani pemeriksaan dalam beberapa peringkat
mesin pengimbas.
Adalah wajar jika sekiranya teknik sebegini dapat
dipraktikkan di negara ini supaya penyeludupan dadah dan lain-lain dapat
dibendung serta juga menghalang sindiket penyeludupan memilih Malaysia sebagai
destinasi mereka.
Pegawai yang bertugas di lapangan terbang dan sempadan
hendaklah memberi lebih tumpuan kepada mengesan dadah yang diseludup masuk di
pintu masuk ke negara ini. Mereka yang bertugas di sempadan seperti di Sungai
Golok, Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam juga mesti mempunyai kemahiran dan
menrekrut sumber untuk mengesan sindiket dan penyeludup.
Walau dengan alat yang canggih sekalipun tanpa pegawai
yang berintegriti, maka kegiatan penyeludupan dadah, senjata dan pemerdagangan
manusia akan tetap berleluasa.
Tajul asal – ‘Perlu Integriti Cegah Seludup Dadah’
Diterbitkan
oleh BH Online, JUMAAT, 22 APRIL 2016
No comments:
Post a Comment