Wednesday, May 10, 2017

Pengurus Projek TNB Direman Lima Hari Berkaitan Tender Perbekalan

Dua individu termasuk seorang pengurus projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan tender pembekalan barangan pengubahsuaian pejabat TNB di sekitar Kuala Lumpur.
 Tempoh reman berkuat kuasa semalam  hingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas mahkamah mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut jurucakap SPRM, kedua-dua suspek lelaki dan perempuan masing-masing berumur 55 dan 51 tahun itu ditahan oleh pasukan penguat kuasa SPRM di sebuah lokasi di Lembah Klang pada awal pagi semalam.

Katanya, selaku pengurus projek, lelaki tersebut telah bertindak mengagihkan tender projek kepada kontraktor lain sedangkan ia sepatutnya diagihkan kepada syarikat-syarikat panel di bawah TNB.

Sebagai habuan di atas pemberian tender berkenaan, lelaki itu dikatakan telah menerima sebuah kereta BMW 5 Series daripada suspek, iaitu seorang wanita yang juga pemilik syarikat pengubahsuaian terbabit.Kerja-kerja pengubahsuaian tersebut dipercayai berlaku pada 2014 di beberapa pejabat TNB di Kuala Lumpur, kata jurucakap tersebut.

Laporan mengenai penahanan pecah amanah ZPP kelmarin.
Di Geroge Town pula SPRM Pulau Pinang menahan seorang lagi kontraktor bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dan pecah amanah membabitkan Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengarah SPRM negeri Datuk Abdul Aziz Aban berkata kontraktor wanita  berusia 42 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini kira-kira pukul 8 malam semalam.

"Wanita itu kini direman selama enam hari bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan,"katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Katanya pihaknya percaya lebih ramai lagi terutama kontraktor yang menjalankan projek dengan ZPP akan ditahan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa pihak terutamanya pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan ZPP bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan saya percaya penahanan mereka akan dapat membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dan pecah amanah itu,"katanya.

Kelmarin, SPRM menahan 11 individu termasuk pegawai kanan ZPP berusia 50 tahun serta tiga pegawai agensi itu bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat yang diperuntukkan bagi projek pembangunan masyarakat sejak tiga tahun lalu.


Turut ditahan tujuh kontaktor berusia antara 41 dan 52 tahun dan kesemua mereka direman selama seminggu sehingga 15 Mei ini.

No comments: