Seorang pegawai kanan Zakat Pulau
Pinang (ZPP) dan tiga lagi pegawai badan itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terlibat dalam kes penyelewengan
wang zakat negeri itu.
Turut ditahan tujuh kontraktor berusia antara 41
dan 52 tahun yang dipercayai sering menerima projek atau tender daripada
pegawai-pegawai ZPP yang ditahan itu.
Pegawai kanan berusia 50 tahun dan tiga pegawai ZPP
masing-masing berusia 35, 39 dan 40 tahun serta tujuh kontraktor itu dibawa ke
Kompleks Mahkamah George Town pada pukul 3 petang semalam untuk perintah tahanan
reman.
Majistret Mohamed Amin Shahul Hamid membenarkan
permohonan reman selama tujuh hari bermula hari ini yang dikemukakan SPRM.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abdul Aziz Aban pada
sidang akhbar di pejabatnya di sini berkata pegawai kanan ZPP itu ditahan di
pejabatnya di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada pukul 10.40 pagi semalam.
“Lelaki itu dipercayai menerima barang-barang
berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa pemilik syarikat kontraktor dan
pembekal ZPP sebagai dorongan kerana memberi projek atau kerja berkaitan
program pembangunan masyarakat ZPP.
“Suspek yang memegang jawatan itu sejak 1995 dipercayai
turut memberi bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan
anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang
(JAIPP),” katanya.
Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan
(b) serta seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh
dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan.
Beliau berkata SPRM mula menjejaki kegiatan yang
dilakukan sejak tahun 2014 hingga Disember lepas, hasil maklumat dan aduan
orang awam.
No comments:
Post a Comment