Friday, May 19, 2017

Khidmat Perlindungan - Orang Tengah Direman, Koperal Simpan RM800,000 Di Rumah


Seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai salah seorang orang tengah yang terlibat dalam 'perkhidmatan perlindungan' yang diberikan beberapa pegawai kanan polis di Melaka telah direman.

Dia akan disiasat di bawah tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama enam hari bagi membantu siasatan.

Majistret Nadia Othman membenarkan lelaki itu direman sehingga 24 Mei ini.

Dia merupakan suspek ke-11 yang ditahan bagi membantu siasatan dakwaan penglibatan pegawai kanan polis yang memberi perlindungan kepada pengusaha pusat judi dan rumah urut di Melaka.

Antara yang ditahan adalah dua Ketua Polis Daerah (OCPD) dari Melaka Tengah dan Jasin masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintenden, dua pegawai berpangkat Asisten Superintenden dan dua Inspektor seorang Koperal.

Dua orang tengah dan pengendali pusat judi yang beroperasi secara haram turut disiasat SPRM.


Semalam, SPRM merampas wang tunai bernilai kira-kira RM800,000 dari stor rumah seorang Koperal di Melaka.

Anggota polis berusia 52 tahun itu merupakan individu kesepuluh yang ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah yang membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

Suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka ditahan di kuarters Polis IPK itu kira-kira 2.15 petang Rabu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan rampasan dan tangkapan itu.

Difahamkan anggota terbabit berperanan mengumpul duit dari pusat judi dan rumah urut.

Semalam juga (Khamis), Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 24 Mei ini terhadap individu tersebut bagi membantu siasatan kes selepas membenarkan permohonan reman yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Individu itu yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9.45 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berserta tangan bergari disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya direman selama lima hari bermula semalam kerana disyaki menerima suapan.

Majistret Nik Isfahanie mengeluarkan perintah reman tersebut selepas membenarkan permohonan SPRM.


Pegawai tersebut ditahan di pejabatnya pada 1.10 tengah hari kelmarin kerana menerima suapan RM5,000 sebagai balasan agar dia tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu yang terlibat dalam kes ugutan jenayah di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu ugutan melalui samaran. 

No comments: