Wednesday, April 26, 2017

Siasatan Kes Pelaburan Minyak Sawit RM31 Juta Selesai - KPN

Polis  mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan yang menjanjikan pulangan lumayan.
Mereka yang berminat untuk melabur perlu membuat semakan dengan agensi kerajaan sekiranya ditawarkan pelaburan. 
Ia berikutan kes penipuan pelaburan jual beli minyak sawit mentah yang menyebabkan 248 orang mengalami kerugian lebih RM31 juta.
Polis hari ini menyifatkan siasatan kes penipuan pelaburan jual beli minyak sawit mentah itu sudah selesai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata hari ini polis telah mengenal pasti dua lagi suspek yang tangkapan serta rampasan dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

"Kita sudah tangkap suspek utama dan dua lagi dicari. Kita telah kenal pasti siapa yang terlibat. Pada saya kes ini selesai," katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.

Khalid menyaksikan majlis serah terima tugas antara Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani yang bersara wajib sebagai Ketua Polis Pahang dan penggantinya Datuk Rosli Ab Rahman, di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang.


Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat kajian dan mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu sebelum menyertai sesuatu pelaburan.

Buat kajian, jangan ada duit terus dilaburkan dan akhirnya ditipu mereka yang tidak bertanggungjawab," kata Khalid.

Pada 20 April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah mengesahkan penahanan suspek utama kes itu di Pulau Pinang yang berusia lingkungan 50-an yang turut didapati menggunakan gelaran Datuk palsu.

Anak suspek yang berusia 35 tahun ditahan beberapa hari sebelum itu. Kedua-dua mereka disyaki terlibat menipu 248 pelabur dengan menjanjikan pulangan sehingga 30 peratus.

Berita Harian melaporkan pada 17 April lalu JSJK Bukit Aman menahan seorang ahli sindiket skim pelaburan minyak sawit yang memperdaya orang ramai membabitkan kerugian RM31 juta.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 35 tahun yang juga individu penting dalam skim dikenali sebagai 'Crude Palm Oil (CPO)', dilakukan di Lembah Klang, semalam hasil maklumat dan risikan selepas menerima 248 laporan daripada orang awam yang menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.

Sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu dipercayai didalangi seorang lelaki bergelar 'Datuk', menawarkan pelaburan berasaskan jual beli minyak sawit dengan menjanjikan pulangan dividen sehingga 30 peratus, berdasarkan pakej yang diambil.


Dalam serbuan berakhir jam 7 pagi tadi, pihaknya merampas tiga buah kereta mewah jenis Nissan GTR, Lamborghini Avantado dan Porsche Panamera serta dua motosikal jenis BMW GS R1200 dan Harley Davidson Fatboy.

Turut dirampas adalah wang tunai RM53,035 dan mata wang rupiah 18.8 juta (RM6,230) selain geran kenderaan dan tanah.

Lelaki yang ditahan itu adalah anak kepada suspek utama dan berperanan mengendalikan wang syarikat pelaburan terbabit.

Terdapat empat pakej ditawarkan kepada pelabur, iaitu satu tan metrik; dua tan metrik; lima tan metrik dan 10 tan metrik dengan jumlah bayaran antara RM1,855 hingga RM16,422.

Pembayaran dividen pula dijanjikan setiap 12 hari bekerja setiap bulan.

Pada peringkat permulaan, sindiket membayar jumlah dividen dijanjikan bagi meyakinkan pelabur namun, sebaik pelaburan itu berkembang dan jumlah yang dilaburkan juga meningkat sindiket bertindak menutup operasi syarikat dan melarikan diri.

Suspek direman sehingga Khamis minggu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 kerana menipu.

Selain itu, tindakan akan turut diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

No comments: