Datuk Khalid Omar (tengah) diiringi pegawai SPRM di pekarangan Mahkamah Sesyen Melaka semalam. |
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR)
Melaka, Datuk Khalid Omar didakwa di Mahkamah Sesyen di Melaka semalam atas 16
pertuduhan menerima suapan dan pengubahan wang haram berjumlah hampir
RM1.28 juta.
Tertuduh yang berusia 56 tahun mengaku tidak
bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman
Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, penjawat awam
itu didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1,088,332.08 yang boleh
dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)
2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang diwakili peguam Azrul
Zulkifli Stork boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda
nilai aktiviti haram itu atau mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan empat hingga 16, Khalid didakwa menerima
suapan sebanyak RM196,200 sebagai upah kerana melakukan suatu perbuatan
berhubung hal ehwal prinsipal.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang membawa
hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali
ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di
sekitar daerah Melaka Tengah antara Mac 2014 sehingga Ogos lalu.
Mahkamah membenarkan Khalid diikat jamin sebanyak
RM250,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada
mahkamah.
Kes itu disebut semula pada 4 November depan.
Di KUALA LUMPUR, kelmarin, seorang bekas pegawai di
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dihukum penjara tiga
tahun dan denda RM9.25 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di
Kuala Lumpur kelmarin atas tujuh pertuduhan meminta dan memperoleh suapan bagi projek
kemasyarakatan kerajaan melibatkan RM18.6 juta.
Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap
Hazmi Samsudin, 41, yang bertugas sebagai penolong pegawai di unit Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian berkenaan ketika kejadian selepas
mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di
akhir kes pembelaan.
Walau bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Hazmi
yang diwakili peguam, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim untuk menangguhkan pelaksanaan
hukuman penjara dan denda sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.
Permohonan itu dibenarkan dengan syarat jumlah jaminan
terhadap Hazmi dinaikkan daripada RM70,000 kepada RM80,000.
Allaudeen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi
setiap pertuduhan menjadikan jumlahnya 21 tahun dan denda berjumlah
RM9,248,554 bagi kesemua pertuduhan atau penjara empat tahun enam bulan
sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.
Dia hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun
selepas mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara tersebut berjalan
serentak.
Hazmi hanya menundukkan kepala sewaktu di kandang
tertuduh selepas mendengar keputusan itu manakala ibu dan bapanya yang hadir ke
mahkamah kelmarin dilihat mengalirkan air mata.
Bagi pertuduhan pertama, Hazmi didakwa meminta suapan
bagi projek kemasyarakatan 1Azam bagi menaik taraf dan membaik pulih balai
raya, dewan masyarakat, surau dan masjid membabitkan 10 peratus daripada nilai
keseluruhan projek bernilai RM18 juta daripada empat individu Zainal Arifin
Lahuri, Zamzuri Abdullah, Fadzil Anuar Ahmad dan Mohd. Khairil Isma Abdullah
Bacha.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No. 1, Jalan PH
2, Putra Heights, Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, Selangor,
pada hujung tahun 2010.
Menurut pertuduhan kedua hingga ketujuh, Hazmi didakwa
memperoleh rasuah 10 peratus bagi setiap enam projek kerajaan di Manjung, Perak
termasuk menaik taraf dan membaik pulih dewan yang keseluruhannya bernilai
RM596,628 melalui enam syarikat berlainan dengan perantaraan seorang individu
bernama Zainal Arifin.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Aras 1-6, Blok E, Kompleks
Pejabat Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Dato Onn, di sini antara Mei dan Jun 2011.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a)
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah
Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan
denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya
daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib.
Utusan Online