Wednesday, September 21, 2016

Bekas Pengurus Besar, Pemilik Syarikat Didakwa Pecah Amanah RM9 Juta

Juaari Majid (dua, kiri) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu. Hakim Abu Bakar Abd Manat menetapkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin.
Bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dan pemilik sebuah syarikat kelapa sawit masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu. semalam atas kesalahan pecah amanah (CBT) dan bersubahat melakukan pecah amanah melibatkan wang sebanyak RM8,999,999.30.

Bekas Pengurus Besar SLDB George@Juaari Majid, 63, dituduh meluluskan wang sejumlah itu melalui empat transaksi kepada seorang pemilik syarikat kelapa sawit, How Kim San, 55, tanpa pengetahuan dan kelulusan Anggota Lembaga Pengarah SLDB serta Menteri Kewangan Sabah.

George mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

How juga mengaku tidak bersalah selepas dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana bersubahat bersama George melakukan kesalahan pecah amanah itu.

Bagi pertuduhan itu, How berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, George didakwa membuat bayaran kepada How sebanyak RM8,999,999.30 sebagai bayaran pampasan terhadap tanah dan tanaman di Kampung Babason, Sook, Keningau, Sabah sedangkan tanah seluas 165.921 hektar (410 ekar) merupakan milik Kerajaan Negeri Sabah.

How pula dituduh bersubahat menerima bayaran pampasan terhadap tanah berkenaan daripada George sedangkan George menyedari bahawa tanah seluas 165.921 hektar (410 ekar) tersebut merupakan milik kerajaan Negeri Sabah.

George dan How didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Sabah Land Development Board di antara 22 Mac 2013 hingga 14 Ogos 2013.

Hakim Abu Bakar menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin bagi George dan How serta mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 Oktober depan bagi sebutan semula kes itu.

Pendakwaan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala George dan How masing-masing diwakili peguam Erwina Ansari dan Sugumar Balakrishnan.

Kelmarin, Bernama melaporkan SPRM akan menahan semula seorang bekas pengurus besar sebuah agensi kerajaan di Sabah kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM9 juta.

Menurut sumber, ia susulan daripada siasatan sebelum ini yang mana suspek pernah disiasat selepas SPRM menerima maklumat daripada orang awam pada 2014.

Laporan itu menyebut, SPRM mendapati wujudnya unsur rasuah yang menjurus kepada pengubahan wang haram melibatkan lebih kurang RM9 juta setelah menjalankan siasatan secara berterusan dan terperinci.

Berdasarkan hasil siasatan, suspek dipercayai meluluskan pembayaran tersebut kepada sebuah syarikat kelapa sawit kononnya sebagai pampasan selepas kerajaan negeri meluluskan tanah tersebut kepada sebuah agensi kerajaan untuk tujuan pembangunan komersial.

Menurut sumber, selepas kerajaan negeri Sabah meluluskan tanah tersebut kepada agensi kerajaan berkenaan, pemilik syarikat berkenaan mengemukakan permohonan pampasan bernilai RM9 juta merangkumi kos tanaman sawit dan nilai tanah yang dimiliki kerajaan negeri Sabah daripada bekas pengurus itu, sedangkan tanah ladang kelapa sawit milik kerajaan itu diusahakan tanpa kelulusan.

SPRM akan turut menahan pemilik syarikat kelapa sawit tersebut atas kesalahan bersubahat dengan bekas pengurus terbabit untuk membuat tuntutan palsu.


No comments: