Thursday, June 16, 2016

Penyelewengan LPG - Ikan Bilis Masuk Pukat, Jerung Berenang Sebebas-Bebasnya....


"..amalan rasuah termasuk membocorkan maklumat operasi dan kutipan bulanan oleh sesetengah anggota agensi penguat kuasa didakwa menjadi punca penyelewengan LPG terus berleluasa."

Isu penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bukan isu kecil. Ia memerlukan tindakan bersungguh-sungguh dan berterusan oleh pihak berkuasa, bukan bermusim.

Kejadian seperti itu mewujudkan kebimbangan bahawa kerugian lebih RM880 juta pada tahun lepas akan berulang pada tahun ini.

Memang pihak berkuasa bertindak, namun sejauh ini rampasan LPG yang cuba diselewengkan hanya kira-kira RM20 juta, selain menahan beberapa anggota sindiket sejak tahun lepas - dilihat dlam  jumlah yang tersangat kecil.

Dengan kata lain, kesn penguatkuasaan yang sekelumit berbanding dengan bencana ketirisan yang dialami kerajaan.

Janji kerajaan memang akan tangani dan perangi habis-habisan sindiket ini. Ini kerana kumpulan inilah yang menyebabkan persepsi seolah-olah kerajaan tidak melihat perkara ini sebagai satu perkara yang amat penting. Itu cakap Menteri.

Hakikatnya,  kementerian bertanggungjawab tidak ada mekanisme yang sesuai dan berkesan untuk menanganinya.

Lebih memalukan, wujud dakwaan bahawa serbuan pihak berkuasa ke atas beberapa stor perniagaan yang menyelewengkan LPG didakwa hanya melibatkan individu peringkat bawahan atau ‘ikan bilis’ sahaja.

Berita Harian pada 19 Februari 2016 yang lalu pernah melaporkan bahawa pihak berkuasa membekukan 17 akaun bernilai RM7.4 juta milik pengarah dan pemilik sebuah syarikat berhubung siasatan kes penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi susulan operasi yang dijalankan

Operasi itu dikoordinasi oleh Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Jabatan Peguam Negara di Ipoh. Ia dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan Perak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman yang dikoordinasikan NRRET ke sebuah stor LPG berlesen di Kawasan Perindustrian Ringan Seri Rapat, di Ipoh pada

Ia membabitkan rampasan tong gas LPG dan kenderaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM1 juta, manakala jumlah subsidi yang disalahgunakan RM70,000. Rampasan di stor berkenaan membabitkan 1,631 tong berisi gas berkuantiti 12 kilogram (kg), 14kg dan 50kg dan 1,404 tong kosong manakala enam kenderaan dirampas adalah sebuah treler dan lima lori yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pembelian dan penjualan gas yang diselewengkan.

Kelmarin dalam serbuan terbaru di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, Kedah, tauke di sebalik perniagaan itu tidak ditangkap, sebaliknya hanya empat warga Myanmar yang ditahan.

Berikutan itu Persatuan Perlindu­ngan Pengguna Malaysia berkata, peniaga yang memiliki lesen LPG industri secara pukal yang menjadi dalang dalam sindiket masih lagi bebas.

Operasi yang dilakukan pihak berkuasa hanya membabitkan pemborong dan tangkapan hanya melibatkan pekerja sahaja tetapi ‘jerung masih bebas’.

Semalam, Presiden persatuan itu, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pihaknya musykil mengapa perkara ini berlaku dan sehingga kini tiada seorang dalang pun yang ditahan. Ini yang kita maksudkan ‘tangan ghaib’ melindungi ‘jerung-jerung’ sehingga mereka berleluasa menjalankan perniagaan haram.

“Pihak berkuasa hanya fokus kepada tong gas berisi berkapasiti 12, 14 dan 50 kilogram sahaja tetapi tidak melihat kepada sindiket yang menjalankan ke­giatan menggunakan tong berskala besar seperti 14,000 kilogram.

“Malah, sindiket mampu me­ngaut keuntungan jutaan ringgit dalam tempoh sebulan dengan menjalankan perniagaan ini ke­rana membeli gas pada harga subsidi tetapi menjualnya kepa­da kilang-kilang pada harga industri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut Mohd. Firdaus kegiatan penyelewe­ngan LPG akan terus berleluasa sekira­nya pihak berkuasa tidak membanteras ‘tangan ghaib’ yang melin­dungi aktiviti haram tersebut.

Mohd. Firdaus menegaskan sekali lagi ba­hawa pihaknya hanya akan menyerahkan bukti berkaitan kegiatan penyelewengan LPG kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan di peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Perkara ini penting bagi membolehkan siasatan yang dijalankan secara telus dan membawa kepada penahanan individu tidak bertanggungjawab.

“Setakat ini, saya hanya me­ne­rima panggilan daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Pe­nguatkuasaan (EAIC) dan mereka meminta untuk berjumpa dalam masa terdekat bagi memboleh­kan siasatan dijalankan,” katanya.

Menghairankan, walaupun isu ini sudah dilaporkan berlaku kesekian lama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) masih belum mempunyai mekanisme yang sesuai dan mampu menangani persoalan ini.

Kementerian itu semalam mengumumkan akan memperkenalkan beberapa mekanisme baharu untuk membanteras isu ketirisan penjualan tong gas petroleum cecair (LPG).

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mekanisme itu hanya akan diumumkan selepas diluluskan oleh Kabinet tidak lama lagi.

"Saya telah memikirkan satu mekanisme baharu supaya selepas ini kami tidak akan beri peluang sindiket (penjualan LPG) ini melakukan keuntungan yang besar.

"Sebenarnya kepentingan yang kami berikan adalah untuk membantu rakyat tetapi sindiket yang mereka lakukan ini semata-mata untuk mencari keuntungan yang besar dalam tempoh jangka pendek," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Pengguna Bersama KPDNKK di Kuala Kangsar (pada kempen pilihan raya kecil ) semalam.


Tindakan yang lambat – mekanisme yang memerlukan kelulusan Kabinet sudah tentu mengambil masa dan kementerian itu hanya menunjukkan reaksi apabila ditanya oleh akhbar.

Hamzah menyatakan hasrat kerajaan itu mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu semalam  mengenai sindiket penyelewengan bahan bersubsidi khususnya LPG terus berleluasa di negara ini.

Laporan akhbar itu menyebut amalan rasuah termasuk membocorkan maklumat operasi dan kutipan bulanan oleh sesetengah anggota agensi penguat kuasa didakwa menjadi punca penyelewengan LPG terus berleluasa.

Kenapa tidak ada tindakan terhadap pegawai dan syarikat terbabit walaupun sudah ada laporan?

Atau sekurang-kurangnya mendakwa mereka jika benar ada usaha memerangi habis-habisan gejala ini.

Jelas dalam isu ini, bukan gas yang bocor tetapi kebocoran (ketirisan ) yang berlaku ialah maklumat operasi dan wang negara RM800 juta setahun.

Kenapa kerajaan terus membiarkannya?

No comments: