Thursday, January 19, 2017

Rasuah RM3 Juta - Penolong Jurutera Kanan JKR Direman 7 Hari

Suspek ditahan di pejabatnya semalam.
Seorang penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan wang bernilai RM3 juta.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaludin Elias pagi tadi.

Lelaki berusia 56 tahun itu dibawa ke pekarangan lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar di pukul 10.10 pagi dengan diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa keluar dari kompleks mahkamah itu kira-kira pukul 11 pagi.

SPRM menahan penjawat awam itu  di rumahnya di Kampung Sungai Daun, Alor Setar pukul 11.30 pagi semalam selepas dipercayai melakukan kesalahan terbabit membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Seksyen 17(a) ASPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi AMLATFPUAA 2001 pula, akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.

Suspek ditahan oleh SPRM semalam.
Menurut sumber, SPRM  sudah merakamkan percakapan seramai 12 individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik, kakitangan jabatan berkenaan dan tujuh orang kontraktor.

"Suspek dipercayai melakukan kesalahan terbabit sejak 2012 dan siasatan kini tertumpu kepada beberapa kontraktor kroni dan mengenal pasti jumlah sebenar wang suapan yang diterimanya sejak memegang jawatan itu empat tahun lalu.

"Sekiranya kontraktor terbabit tidak mahu membayar wang rasuah, suspek akan menyenaraihitamkan mereka. Suspek akan meminta rasuah menerusi aplikasi WhatApps dari syarikat yang dilantik menerusi permohonan sebut harga," katanya.

Sumber berkata, pembayaran rasuah kepada suspek akan diberi secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau di dalam kenderaan milik suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek sudah menganugerahkan sebanyak 28 projek kepada tujuh kontraktor yang ada kepentingan bernilai RM650,000.

"SPRM juga dikatakan telah menyita fail yang ada kaitan dengan projek kerja naik taraf jalan di daerah Sik pada 2016," katanya.

SPRM juga sedang menyiasat jumlah wang suapan yang telah diterima oleh suspek dan suspek dipercayai telah menerima wang suapan daripada sekurang-kurangnya enam kontraktor di negeri ini sejak mula memegang jawatan itu empat tahun lalu.

Difahamkan, suspek akan menghubungi dan meminta rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan projek menerusi aplikasi WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menetapkan jumlah, lokasi dan waktu untuk menyerahkan wang rasuah setelah syarikat mereka dilantik menerusi permohonan sebut harga .

Menurut sumber lagi, SPRM telah menyita fail-fail sebut harga bagi projek kerja di Daerah Sik, Kedah pada 2016 ketika melakukan penggeledahan di pejabat suspek pada jam 8.30 pagi.

No comments: