Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra
Berhad) ialah sebuah agensi kerajaan ditubuhkan dengan tujuan membangunkan sektor luar bandar. Ia membantu
penduduk menyertai aktiviti ekonomi negara bertujuan meningkatkan taraf hidup
dan nilai kehidupan peserta.
Selepas membuktikan ia mampu menjadi sebuah agensi
pembangunan rakyat luar bandar dan kini bergerak dalam sektor pembinaan, kejuruteraan
dan perdagangan, Felcra diuar-uarkan akan mempunyai ibu pejabatnya sendiri yang tersergam megah.
Malah, seiringan dengan menara 35 tingkat pejabat, Felcra
juga dikatakan akan mendapat untung daripada pembinaan sebuah menara kediaman
43 tingkat, dan pusat membeli-belah di tanahnya di Jalan Sultan Yahya Petra
(Jalan Semarak) di Kuala Lumpur.
Malah, dilaporkan pada awal tahun lalu (2015), Felcra dijanjikan
mempunyai ibu pejabat baharu itu tanpa mengeluarkan satu sen pun.
Sudah pasti mereka yang terlibat dengan Felcra secara
langsung dan tidak langsung, berbangga dengan pencapaian dan apa yang akan
dilakukan oleh Felcra itu.
Namun, apa yang terjadi sejak setahun lalu?
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan projek yang dikenali sebagai Menara Felcra itu pada bulan Mei 2015. |
Semalam (7 Jun 2016), Malaysiakini mengaitkan Felcra
dengan dua isu yang menuntut jawapan telus sama ada daripada kerajaan, Felcra sendiri dan mereka yang
bertanggungjawab terhadap pengurusan agensi itu.
Malaysiakini menyebut, kini timbul persoalan bagaimana Felcra
tanggung RM687 juta untuk pejabat yang sepatutnya percuma selain isu percanggahan pemakluman dalam pelaburan agensi
berkenaan.
Malaysiakini mengaitkan Felcra dengan sebuah syarikat
pemaju iaitu kumpulan WZR Property Sdn Bhd yang dipertanggungjawabkan membiayai
dan membina projek pembangunan campuran bagi pihak agensi itu.
Ia termasuk sebuah menara 35 tingkat pejabat, sebuah
menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah di tanahnya di Kuala
Lumpur. Dilaporkan Felcra pejabat baru itu akan dibina tanpa perlu membayar
satu sen pun.
Surat daripada Menteri Kewangan Diperbadankan pada 18 Feb
2015 menyebut : "Permohonan Felcra Bhd untuk melaksanakan pembangunan
bercampur dengan kod RM550 juta... yang akan dimajukan oleh WZR, diluluskan
memandangkan Felcra tidak perlu mengeluarkan sebarang dana untuk menanggung
pembangunan projek ini.”
Kata Malaysiakini, menurut mereka yang biasa dengan
perkara itu, Felcra akan mendapat 12 tingkat di menara pejabat dan sebuah dewan
bankuet, manakala WZR akan mendapat semula pelaburannya dengan menyewakan
seluruh ruang pejabat dan daripada jualan unit-unit kediaman.
Semuanya ketika itu berjalan dengan baik, dan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan projek yang dikenali sebagai Menara
Felcra itu pada bulan Mei 2015.
Bagaimanapun setahun kemudian, segalanya tidak berjalan
seperti yang dirancang.
Felcra bukan sahaja gagal mendapat ibu pejabat baru
secara percuma tetapi sebaliknya terpaksa membiayai keseluruhan projek.
Persoalannya, apakah benar seperti dakwaan Malaysiakini
bahawa status WZR difahamkan sudah berubah daripada pemaju projek bertukar
menjadi kontraktor yang diupah oleh Felcra.
Juga pakah benar pemaju itu tidak mempunyai wang untuk
membiayai pembinaan itu.
"Apa yang berlaku kontraktor gagal memperolehi
sumber pembiayaan daripada bank,” kata sumber yang menyedari perkara itu tetapi
tidak mahu nama mereka disiarkan, dakwa Malaysiakini.
Malah, WZR juga
berhujah adalah lebih baik bagi Felcra membiayai projek itu sendiri selain Felcra
mampu membuat keuntungan yang lebih sebagai pemaju hartanah bukan hanya sebagai
pemilik tanah.
Bagi isu kedua, iaitu percanggahan pemakluman dalam
pelaburan amanah saham melibatkan nilai RM150 juta, Malaysiakini melaporkan pada 27 Mei
2016 lalu, Pengerusi Felcra Datuk Bung Mokhtar Radin mungkin memberitahu
lembaga pengarah syarikat itu, dan MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) melalui
maklumat bercanggah antara satu sama lain.
Dokumen dikatakan minit mesyuarat Felcra pada 24 November
2014 menunjukkan cadangan RM300 juta untuk pelaburan baru.
Daripada jumlah ini, hanya RM50 juta untuk amanah saham.
Selebihnya RM200 juta diperuntukkan untuk pengurusan tunai dan RM50 juta lagi
untuk deposit tetap.
Mesyuarat itu menyimpulkan bahawa terdapat risiko
kerugian jika harga amanah saham jatuh dan “pengurusan perlu mendapatkan
kelulusan daripada MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan)” sebelum membuat
sebarang pelaburan.
Menurut Malaysakini, dalam surat untuk mendapatkan
kelulusan daripada Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah, Bung
bagaimanapun dikatakan mungkin menukar angka-angka pelaburan itu.
Pada 23 April 2015, Kementerian Kewangan memberikan lampu
hijau untuk melabur RM150 juta dalam amanah saham, dengan syarat ia mesti
selalu dipantau bagi mengelakkan risiko jika harga saham merudum.
Malaysiakini mendakwa ia dimaklumkan oleh satu sumber
bahawa pelaburan amanah saham itu yang dibuat pada 18 Mei 2015 telah susut
nilai sebanyak RM15 juta.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Bung Mokhtar enggan
mengulas.“Saya rasa tak perlu untuk dijawab, ini perbuatan orang khianat,”
katanya.
Isunya ialah apakah benar dakwaan Malaysiakini bahawa
anggota parlimen Kinabatangan itu dikatakan menulis Felcra setuju melabur RM150
juta, bukan RM50 juta, dalam bentuk amanah saham?
Untuk menyokong klulusan itu, Bung Mokhtar didakwa
melampirkan salinan minit mesyuarat bertarikh 24 November yang menyebut Felcra
meluluskan pelaburan itu.
Bagaimanapun Malaysiakini mengakui ia tidak jelas sama
ada Bung melampirkan dokumen sama yang dilihat Malaysiakini atau terdapat
dokumen lain dengan angka yang lain.
Sehingga kini belum ada maklum balas daripada Felcra walaupun
diminta oleh Malaysiakini.
Berbalik kepada isu hubungan syarikat pemaju WZR dengan
Felcra, Malaysiakini melaporkan, WZR dikatakan memberitahu Felcra bahawa ia akan memiliki
aset bernilai RM1.1 bilion berdasarkan nilai pembangunan kasar projek itu (GDV)
dan bukan hanya RM288 juta jika Felcra membiayai
sendiri pembinaan Menara Felcra.
WZR juga didakwa berkata Felcra akan mendapat hasil
RM26.4 juta setahun daripada menyewa plot komersial dan dewan di pusat
konvensyen itu, selain daripada wang mengutip bayaran tempat letak kereta.
Akhirnya Felcra bersetuju mengambil alih projek itu
selepas mesyuarat pada 21 Januari tahun ini. Berikutan itu, Felcra kini dilaporkan memerlukan wang
tambahan.
Malah, mengikut surat Menteri Kewangan Diperbadankan yang
ditujukan kepada Bung sebagai Pengerusi Felcra pada 12 April lalu, WZR kini
adalah kontraktor projek berkenaan.
Ia dipertanggungjawab terhadap reka bentuk dan pembinaan,
manakala pembinaan menara itu telah diambil alih oleh Felcra Properties Sdn
Bhd.
Surat itu juga menyatakan bahawa WZR akan dibayar modal
permulaan sebanyak RM20 juta untuk kerja-kerja permulaan. Kontrak ditawarkan
untuknya tidak akan melebihi RM687.5 juta. Ia akan dibayar secara interim
berdasarkan pembangunan kemajuan.
Nyata sudah kini WZR daripada sebuah syarikat pemaju
menjadi kontraktor.
Namun, menurut satu laporan Kumpulan WZR yang dilantik
itu sebagai kontraktor utama itu akan mambangunkan projek yang meningkat kosnya
sehingga RM 850 juta.
Satu lagi laporan menyebut untuk kerja asas dan piling,
WZR menyerahkan kerja kepada anak syarikat Econpile Holdings Bhd iaitu Econpile(M) Sdn Bhd dengan nilai kerja berjumlah RM120.5 juta.
Menurut Malaysiakini, Bung Mokthar apabila ditanya
mengenai perubahan itu berkata perkara itu "bukan satu isu".
“Sebenarnya tak ada isu, segala yang berlaku diputuskan
dalam mesyuarat penuh BoD (lembaga pengarah) Felcra dan dipersetujuia oleh MKD
(Menteri Kewangan Diperbadankan) selaku pemegang saham, yang lainnya tak dapat
saya maklumkan kerana ia strategi perniagaan,” katanya.
Menurut Bung Mokhtar yang juga adalah ahli parlimen
Kinabatangan, WZR memenangi projek Menara Felcra itu melalui tender terbuka.
Telus?
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Malaysiakini melaporkan, Pengarah Urusan WZR Ahmad Kamal
Kasani juga enggan mengulas ketika dihubungi, dengan alasan beliau berada di
Mekah.
Malaysiakini juga telah menghubungi Kementerian
Kewangan untuk mendapatkan ulasan berhubung dakwaan berkenaan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob diaju soalan berkata beliau tidak nampak ada sebarang
‘salah laku’ dalam projek Menara Felcra. Tidak ada laporan aduan mengenainya.
Beliau juga mengatakan tidak mendengar sebarang
‘kekeliruan atau masalah’ dengan pembangunan berkenaan.
Persoalan kini ialah jika tiada salah laku atau apa-apa yang berkaitan perkara 'tidak betul' kenapakah Malaysiakini sengaja
menimbulkan dua isu ini?
Bagi tujuan ‘kepentingan tertentu’ atau sengaja
menggangu Bung Mokhtar kerana sebab-sebab Malaysiakini yang tersendiri?
No comments:
Post a Comment