Kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan
(NACC) Thailand diyakini mampu membanteras kegiatan rasuah rentas sempadan.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata
kerjasama berkenaan itu telah diwujudkan pada Oktober tahun lepas,
selepas perjanjian persefahaman dimeterai antara kedua pihak pada 2012.
Beliau berkata menerusi kerjasama itu kedua-dua pihak
akan membantu bagi mengesan saksi dan individu yang dikehendaki, yang melarikan
diri ke luar negara bagi mengelak ditahan pihak berkuasa untuk tujuan siasatan.
"Setakat ini kita ada satu kes dengan meminta NACC
di Songkhla (Selatan Thailand) bagi mengesan seorang wanita yang kini berada di
Danok, Thailand bagi membantu siasatan berhubung satu kes berkaitan
rasuah," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan delegasi
dari NACC Thailand, di Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar, hari ini.
Sejumlah 31 delegasi NACC menyertai lawatan itu yang
diketuai Presiden NACC Wilayah Songkhla, Prof Madya Pairote Duangwiset.
Katanya perkara berkenaan dalam proses tindakan NACC,
kerana SPRM tidak mempunyai kuasa untuk ke negara jiran itu bagi menangkap
suspek atau saksi yang melarikan diri ke Thailand.
Mohd Fauzi berkata kerjasama seumpama itu dapat
mempercepatkan proses siasatan kedua-dua pihak sekali gus dapat menyelesaikan
pelbagai kes rasuah rentas sempadan.
Sementara itu, beliau berkata menerusi kerjasama tersebut
NACC Thailand turut mempelajari bagaimana SPRM melakukan penguatkuasaan anti
rasuah di negara ini untuk dipraktikkan di negara mereka.
"Mereka mahu masyarakat di negara itu memberi
kerjasama membanteras rasuah seperti yang dilakukan di negara ini. Kita juga
telah cadangkan kepada mereka untuk anjurkan pelbagai aktiviti bagi membanteras
rasuah," katanya.
No comments:
Post a Comment